SMK Mutiara Ke Hadapan Dalam Usaha Melestarikan Alam Sekitar Dalam Sambutan “HARI BUMI”

Labuan, 22 April – Sekolah Menengah Kebangsaan Mutiara telah menyambut Hari Bumi dengan  mengadakan  Majlis Penutupan Kempen “Stop Pollution,Go-Lution” . Sambutan Hari Bumi dan kempen yang dijalankan bertujuan menjaga kelestarian alam sekitar  di Wilayah Persekutuan amnya dan di SMK Mutiara khususnya. Kempen ini juga dapat meningkatkan kesedaran warga sekolah untuk membuang sisa e-waste secara bertanggungjawab.

Hari Bumi peringkat Wilayah Persekutuan Labuan disambut dengan jalinan kerjasama bersama Jabatan Alam Sekitar dan Perbadanan Labuan. Manakala kumpulan Eco-Alfa Go dengan kerjasama Kumpulan Pengakap ke 15, Kelab STEM +, Panitia Bahasa Inggeris, Panitia Sains dan Unit Bimbingan dan kaunseling telah  menganjurkan Sambutan Hari Bumi di Peringkat SMK Mutiara.

Pengarah Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan iaitu Encik Yusup bin Haji Mohamad  dalam ucapan alu-aluannya berasa amat berbangga dengan usaha SMK Mutiara kerana mereka telah berjaya menganjurkan  kempen dan sambutan Hari Bumi melalui kumpulan murid Eco-Alfa Go yang telah menyertai pertandingan program Toyota Eco Youth 2020/2021 peringkat kebangsaan.

Sambutan Hari Bumi mengingatkan manusia agar mempunyai rasa tanggungjawab dan sayang akan alam sekitar dalam kalangan warga sekolah.

“Walaupun kempen  hanya dilaksanakan dalam masa sebulan, saya berharap sikap sayang akan bumi sentiasa berterusan sampai bila-bila.” Encik Yusup Haji Mohamad

Beliau juga mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat seperti Jabatan alam Sekitar,Perbadanan Labuan, Jabatan Muzium Malaysia, Jabatan Tanah dan Galian, Pengakap Labuan , Majlis Belia Labuan, Syarikat Supply Base, Labuan United, Elora Apparel dan Skipper Corner dalam usaha membantu sekolah melahirkan individu yang mencintai bumi dan alam sekitar.

Ucapan Alu-aluan Oleh Pengarah Pendidikan Labuan, Encik Yusup Bin Haji Mohamad sempena Sambutan Hari Bumi, SMK Mutiara

Manakala dalam ucapan perasmian Encik Amir Hamzah bin Hj Musa selaku Pengarah Jabatan Alam Sekitar menyatakan bahawa kempen yang dilaksanakan sangat menarik dan kreatif. Kempen ini selari dengan usaha masyarakat dunia dalam menyambut Hari Bumi yang jatuh pada  22 April 2021 setiap tahun.

Menurutnya,Hari Bumi bermula pada tahun 1970 dan merupakan hari dedikasi untuk bumi dengan harapan akan menyedarkan penduduk bumi mengenai kepentingan menghargai bumi. Tema Hari Bumi pada tahun ini ialah “Pulihkan Bumi Kita“ (Restore Our Earth) . Tema ini  memberi mesej kepada manusia bahawa bumi sedang sakit dan sedang mengalami kemusanahan.  

Salah satu contoh tanda bumi sedang sakit apabila suhu masa ini semakin meningkat. Malangnya, tidak ada doktor khas  untuk memulihkan bumi seperti mana manusia yang sakit, boleh mendapatkan ubat dengan berjumpa doktor. Justeru, Stop pollution, Go – Lution merupakan  satu contoh aktiviti yang bisa merawat dan memulihkan bumi“, Kata Encik Amir Hamzah yang berharap kempen ini menjadi satu budaya bagi mendidik manusia menghargai bumi.

Ucapan Perasmian Penutupan Kempen “Stop Pollution,Go-Lution” sempena Sambutan Hari kempen Oleh Pengarah Alam Sekitar W.P Labuan ,Encik Amir Hamzah Bin Haji Musa.

Kempen yang menyokong Hari Bumi ini, berlangsung selama sebulan bermula 14 April hingga 30 April 2021. Antara aktiviti yang dijalankan ialah Jom Kitar Semula, E-Waste Collection, Papan Info Alam Sekitar, Kuiz Alam Sekitar, HIP – Pertandingan Menulis Esei Bahasa Inggeris bertemakan alam sekitar, Ramadan dan kelestarian Alam dan Jom Hipicking di Sekolah.

Selain itu jalinan kerjasama antara pihak Jabatan Muzium Labuan juga telah dilaksanakan dalam kempen “ Jom Hipicking di Chimney Walking Trail”  yang terdiri daripada adik Matthew Chew Kah Ming, Daniel Dean Jason, Muhammad Najmi bin Mohd Hasnizan, Nur Syafiqah binti Friddin dan Puan Angela Joseph selaku guru pembimbing juga telah membangunkan satu aplikasi Go-Lution yang bertujuan memberikan motivasi supaya sama-sama menjaga kelestarian alam sekitar melalui aktiviti HiPicking Go – Lution. Aplikasi ini boleh merekodkan jumlah sampah  yang telah dikutip di samping menyimpan rekod laluan dan jarak yang dilalui. Individu yang aktif mengunakan aplikasi ini boleh mengumpul mata digital untuk mendapatkan lencana legend. Penglibatan komuniti dalam kempen ini juga tidak terkecuali.

Di samping itu diadakan juga pertandingan mewarna , melukis poster dan  “Upcycle” yang dibuka penyertaannya kepada semua sekolah rendah dan menengah. Seramai 195 orang menyertai pertandingan ini  dan nama pemenang  petandingan telah diumumkan dalam majlis sambutan Hari Bumi tersebut.

Sambutan Hari Bumi diharapkan dapat melahirkan masyarakat yang berilmu dan bertanggungjawab bagi menjaga kebersihan alam sekitar. Masyarakat perlu memelihara dan memulihara alam sekitar agar selamat untuk diduduki oleh generasi akan datang. Pelbagai alternatif boleh dilaksanakan oleh penghuni bumi agar bumi tidak terancam oleh kemusnahan yang dilakukan oleh manusis sendiri.

Berita Oleh : SMK Mutiara

Kumpulan Eco-Alfa Go, SMK MUTIARA bergambar bersama dengan Encik Amir Hamzah dan barisan pentadbir sekolah.




PROGRAM GALAKAN MEMBACA : JOM BACA 10 MINIT

LABUAN : Majlis Pelancaran Jom Baca 10 Minit peringkat SMK Mutiara telah diadakan pada 22 April 2021 bermula pada pukul 11.00 – 11.10 pagi. Aktiviti yang dianjurkan  oleh Pusat Sumber Sekolah  ini telah disempurnakan oleh Pengetua SMK Mutiara , Encik Yahya bin Ahmad Puteh.

Dalam Majlis yang sama juga, Pengetua SMK Mutiara, Encik Yahya bin Ahmad Puteh telah berbesar hati menyumbangkan hadiah wang tunai kepada murid-Murid Yang Membaca Paling Banyak serta Merekod Bahan Bacaan dengan matlamat memberikan motivasi kepada murid-murid. Bukan kepada murid-murid sahaja, bahkan hadiah wang tunai yang lumayan juga disediakan untuk guru-guru yang menyahut cabaran, Guru Yang Paling Banyak Mmbaca.

Program Membaca 10 minit   merupakan satu program yang diadakan bagi meningkatkan minat membaca dalam  kalangan murid. Antara matlamat yang ingin dicapai sepanjang program ini ialah mewujudkan budaya mementingkan ilmu. dan memupuk  budaya membaca dalam diri pelajar. Walaupun tabiat membaca amat sukar disemai tetapi dengan adanya usaha-usaha sebegini,diharap dapat membuka mata murid-murid bahawa sebagai permulaan,, dalam  sepuluh minit pun sudah mencukupi untuk membiasakan diri membaca.

Murid membaca selama 10 minit di kelas masing-masing

Jom Baca 10 minit juga melibatkan peranan guru-guru yang masuk ke kelas untuk memastikan murid-murid melakukan kegiatan membaca. Kerjasama seperti ini sudah pasti dapat mengukuhkan tabiat membaca yang kurang dititikberatkan oleh murid-murid. Dalam masa 10 minit, semua warga sekolah diminta berhenti seketika daripada tugasan yang dilakukan untuk memberi laluan pada aktiviti membaca. Pelbagai aktiviti dan insentif diberikan bagi menggalakkan dan memotivasikan murid-murid mahupun guru supaya rajin membaca dan merekodkan bahan yang telah dibaca sebagai kesinambungan aktiviti NILAM.(Nadi Ilmu Amalan Membaca).

Tema Jom Baca 10 minit bagi tahun ini ialah “Baca itu Terapi”.Penggunaan bahan bacaan sebagai bentuk terapi dipanggil biblioterapi. Biblioterapi ialah satu bentuk terapi yang menggunakan buku sebagai bahan untuk membantu individu yang berdepan dengan isu psikologi, sosial dan emosi. Hal ini bermakna ,jika anda mengalami stres atau tidak tenang,cubalah membaca buku yang diminati untuk merawatnya.

Antara manfaat membaca adalah untuk menggalakkan kita berfikir. Satu aktiviti yang produktif dan sangat baik untuk kesihatan mental. Aktiviti membaca  boleh meningkatkan empati, menajamkan fikiran dan memberi kesan positif kepada tingkah laku. Selain itu,membaca juga dapat meningkatkan jati diri, kreativiti dan keyakinan seseorang di samping meningkatkan kemahiran berkomunikasi. Kita juga boleh berkongsi bahan bacaan dengan rakan-rakan atau orang lain bagi mempelbagaikan genre bahan bacaan.

Guru-guru SMK Mutiara Membaca di tempat masing-masing bagi menyahut Program Jom Membaca 10 Minit

Tidak dapat dinafikan bahawa  konsep membaca bukan hanya terletak pada buku fizikal semata-mata. Dalam suasana pendemik Covid-19 masa ini, norma baharu budaya membaca pasti berubah. Oleh itu kegiatan membaca lebih banyak dilakukan secara maya iaitu dalam talian. Namun untuk mendapatkan kesan lebih efektif, buku fizikal lebih dominan kerana dapat dipegang dan boleh mengenali bau buku.serta penerangan yang terperinci.

Pendek kata, minat membaca harus dipupuk dari kecil kerana melentur buluh biarlah daripada rebungnya. Ibu bapa memainkan peranan penting mendidik anak-anak mencintai dan menyayangi buku yang memberikan pelbagai ilmu pengetahuan. Manakala pihak sekolah terutamanya unit pusat sumber sekolah  akan melaksanakan pelbagai aktiviti galakan membaca selaras dengan kehendak Kementerian Pendidikan Malaysia bagi memastikan murid-murid sentiasa sedar akan tanggungjawab dan keperluan membaca.

Turut hadir dalam majlis pelancaran tersebut ialah Penolong Kanan Hal Ehwal Murid, Encik Masri bin Ayong, Penolong Kanan Kokurikulum, En Jostelen bin Lamibai, Guru Kanan Bidang Bahasa, Puan Nah Mat dan dan Guru Penyelaras Media iaitu Puan Shamsiah Binti Ambo.

Berita Oleh : SMK Mutiara

Dari kiri: Encik Yahya Bin Ahmad Puteh (tengah) bersama Puan Samsiah Ambo, Encik Jostelen Lamibai, Encik Masri Ayong dan Puan Nah Matdan




2,200 Peserta Jayakan Kolokium Kajian Tindakan Peringkat Kebangsaan Anjuran Jabatan Pendidikan Labuan

Labuan, 23 April – Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan telah berjaya melaksanakan Kolokium Kajian Tindakan Teknik 12 Langkah Peringkat Kebangsaan pada Khamis lalu.

Kolokium yang telah diadakan sepenuhnya secara dalam talian itu telah dihadiri oleh seramai 2,200 peserta dari seluruh negara.

Timbalan Pengarah Sektor Perancangan, Jabatan Pendidikan Labuan, Encik Mohd Nizam Yasim, berkata, kolokium ini adalah kesinambungan daripada bengkel Kajian Tindakan Teknik 12 Langkah yang telah diadakan sebanyak 4 siri bermula 4 Mac hingga 8 April 2021.

“Kolokium ini adalah bertujuan menyediakan peluang dan ruang kepada para peserta bengkel berkongsi kajian tindakan yang telah dijalankan sepanjang tempoh bengkel. Sebanyak lebih 60 penyertaan pembentangan telah diterima dari seluruh negara.

“Pada hari ini kita telah menjemput 10 peserta dari seluruh negara untuk membuat pembentangan dan berkongsi dapatan kajian masing-masing,”katanya yang juga pengurus program tersebut.

Perasmian kolokium telah disempurnakan oleh Pengarah Pendidikan WP. Labuan, Yusup Haji Mohamad dari pejabatnya di Kompleks Ujana Kewangan Labuan.

Perasmian oleh Pengarah Pendidikan Encik Yusup Haji Muhamad

Dalam ucapannya, beliau menyeru agar semua pendidik sentiasa bersedia untuk menempuh cabaran di dalam dunia VUCA (volatility, Uncertainty, Complexity, Ambiguity).

“Kajian tindakan adalah medan terbaik bagi para pendidik berkongsi ilmu dan dapatan kajian. Peluang ini disediakan untuk manfaat bersama bagi memenuhi matlamat akhir aspirasi pendidikan negara iaitu kemenjadian murid,”ujarnya.

Seorang peserta dari Kedah, Puan Elina Tan Sharif Tan, turut menyatakan rasa bertuah kerana diberi peluang menyertai kolokium ini secara dalam talian.

“Banyak maklumat dan input baharu yang saya perolehi sejak bengkel siri 1 hingga 4. Hari ini saya berpeluang mendengar pembentangan kajian tindakan yang hebat dari seluruh negara,” tambah beliau.

Salah seorang pembentang, Encik Herman Mohamad Gapar dari Selangor berasa sangat bertuah kerana telah dibimbing oleh pasukan jurulatih utama yang sangat berpengalaman dan begitu komited.

“Teknik 12 Langkah yang dipelopori oleh Cikgu Suriani Alland Oxley telah berjaya memudahkan saya membuat kajian tindakan. Terima kasih kerana berkongsi inovasi ini untuk manfaat bersama,” katanya.

Puan Suriani Alland Oxley merupakan Pegawai SISC+ JPN Labuan yang juga Ketua Jurulatih Utama (KJU).

Sementara itu, menurut Ketua Urusetia, Puan Faridah Amit, pembentangan hari ini melibatkan 10 peserta yang telah dipilih oleh panel yang dilantik.

Antara pembentang terpilih ialah Puan Chin Kui Kiun (Sabah), Puan Nurfarhana Abdol Sappar (Labuan), Encik Mohd Azman Huhin (Melaka), Puan Hemarani a/p Munisamy (Johor) dan Encik Mohd Shahrun Hambug (Labuan).

Pembentang lain ialah Puan Habibah Ja’afar (Pahang), Encik Aqil Othman (Sabah), Puan Mylsa Avinnie Musah (Labuan) dan Encik Nelson anak Peter (Sarawak).

“Sebanyak 50 pembentangan lagi akan dibuat di dalam kolokium siri kedua yang dijangka akan dilaksanakan pada 22 Mei 2021.” tambah Puan Faridah yang juga Penolong Pengarah Sektor Perancangan JPN Labuan.

Kolokium kali ini bersiaran dari Sektor Sumber Teknologi Pendidikan Negeri Wilayah Persekutuan Labuan di Sungai Lada.

Ketua pasukan penyiaran, Puan Shamsuria Ebni berasa lega dan berpuashati kerana kolokium ini telah berjalan lancar.

“Saya dan ahli pasukan yang lain berasa bertuah kerana bersama-sama terlibat dalam kolokium kali ini terutamanya dalam memastikan aspek teknikal penyiaran berjalan lancar,” jelas beliau yang juga guru Penolong Kanan di SKK SK Rancha-Rancha, Labuan.

Encik Nelson anak Peter dari Sarawak sedang membuat pembentangan secara dalam talian

Encik Mohd Shahrun Hambug dari Labuan sedang membuat pembentangan

Encik Mohd Nizam tidak lupa mengucapkan terima kasih kepada semua yang terlibat menjayakan program yang memberi manfaat kepada warga pendidik di seluruh negara.

“Terima kasih kepada semua peserta yang komited menghasilkan dan berkongsi kajian tindakan.

“Juga kepada jurulatih utama dan pasukan penyiaran yang bertungkus lumus menjayakan bengkel dan kolokium,”tambah Encik Mohd Nizam sambil tersenyum puas.

Kolokium tersebut telah disiarkan secara langsung melalui Youtube Live dan Facebook.

Berita Oleh : Sektor Perancangan

Encik Herman Mohamad Gapar, pembentang dari Selangor

Barisan Jurulatih Utama dan Pasukan Penyiaran




Kunjung Hormat Ahli Lembaga Pengurus Sekolah SJK(C) Chi Wen Ke Jabatan Pendidikan Erat Kerjasama Komuniti

Labuan, 21 April – Lembaga Pengurus Sekolah(LPS) SJKC Chi Wen, Wilayah Persekutuan Labuan telah mengadakan kunjungan hormat kepada Pengarah Pendidikan W.P.Labuan di pejabatnya di Tingkat 10 Ujana Kewangan, hari ini.

Kunjungan ini dibuat sempena pelantikan Encik Yusup bin Haji Mohamad sebagai Pengarah Pendidikan yang baharu yang berkuatkuasa pada 1 Mac 2021 yang lalu.

Delegasi 5 ahli jawatan kuasa tertinggi LPS telah diketuai oleh Pengerusinya Encik Philip Yeo Ah Seng. Turut serta ialah Encik William Chong (setiausaha) dan Encik Cheong Hock Ting (bendahari). Selain itu, Guru Besar SJKC Chi Wen, Puan Pan Yii Yng dan Penolong Kanan Pentadbiran, Puan Liew Sin Sin turut hadir.

Ketibaan mereka pada jam 11.00 pagi telah disambut oleh Penolong Pengarah, Sektor Pengurusan Sekolah, Puan Zaleha bin Hassan.

Dalam pertemuan itu, Encik Philip mewakili ahli Lembaga Pengurus Sekolah mengucapkan tahniah kepada Encik Yusup kerana telah dilantik menerajui Jabatan Pendidikan W.P. Labuan.

Selain itu, pihak Lembaga Pengurus Sekolah turut memohon bantuan JPN membuat susulan ke KPM berkaitan peruntukan penyenggaraan bagi sekolah-sekolah bantuan kerajaan yang masih belum diterima untuk tahun ini.

Dalam maklumbalas, Encik Boney Joumil menyatakan bahawa semua permohonan penyelenggaraan untuk semua Sekolah Bantuan Kerajaan (SBK) telah dihantar ke KPM.

“Walau bagaimanapun, pihak JPN akan membantu membuat susulan berkaitan perkara ini supaya penyelenggaraan infrastruktur dapat dilaksanakan segera. Namun begitu, tanggungjawab penyelenggaraan untuk SBK masih di bawah pihak Lembaga Pengurus Sekolah” ujarnya lagi.

Encik Yusup memberikan ucapan aluan kepada rombongan Lembaga Pengurus Sekolah SJK(C) Chi Wen

Isu penyuraian murid di luar kawasan sekolah turut dibangkitkan. Hal ini telah menimbulkan keresahan dalam kalangan ibubapa terutamanya pada waktu tengahari.

Ketika mengulas perkara ini, Encik Yusup memaklumkan bahawa kerjasama dengan pihak polis amat perlu dalam situasi sebegini. Pihak JPN akan berusaha mendapatkan kerjasama PDRM bagi mengurangkan kesesakan lalulintas di kawasan tersebut.

Terdahulu dalam ucapannya, Encik Yusup mengucapkan terima kasih atas kunjungan pihak lembaga dan berharap dapat mengeratkan hubungan pihak lembaga dan jabatan.

“Saya berharap agar pihak lembaga dan JPN dapat bertukar pandangan dan cadangan untuk dibincangkan secara bersama. Melalui perbincangan seumpama ini kita dapat melihat keperluan sekolah dalam memastikan sekolah memberi khidmat terbaik untuk kemenjadian murid” menurut beliau lagi.

Encik Yusup juga mengucapkan tahniah kepada SJKC Chi Wen kerana telah berjaya menubuhkan Persatuan Ibubapa dan Guru (PIBG). PIBG adalah wadah terbaik untuk membantu pihak sekolah dalam memastikan pelibatan komuniti dalam operasi sekolah.

Hadir sama dalam pertemuan tersebut ialah Timbalan Pengarah Sektor Pengurusan Sekolah, Puan Maimoon binti Matnoh, Timbalan Pengarah Sektor Perancangan(SPr) , Encik Mohd Nizam bin Yasim, Timbalan Pengarah Sektor Pembangunan Murid (SPM), Tuan Haji Abdul Rahman Ahmad.

Berita Oleh : Sektor Perancangan

Gambar kenangan : duduk dari kiri Puan Maimoon, Encik Philip, Encik Yusup, Encik Mohd Nizam, Tuan Haji Abdul Rahman, Encik Boney ( berdiri kanan) dan Puan Pan Yii Yng (berdiri tengah) bersama rombongan Lembaga Pengurus Sekolah




Pengarah Pendidikan Lakukan Kunjung Hormat Ke Perbadanan Labuan

Labuan, 19 April – Pengarah Pendidikan Jabatan Pendidikan W.P Labuan telah mengadakan kunjungan hormat kepada Pengerusi Perbadanan Labuan di pejabatnya di Tingkat 10, Menara Perbadanan hari ini. Kunjung hormat ini bersempena pelantikan Encik Yusup bin Haji Mohamad sebagai Pengarah Pendidikan yang baharu berkuat kuasa 1 Mac yang lalu.

Rombongan dari Jabatan Pendidikan seramai 5 orang turut disertai oleh Timbalan Pengarah Pendidikan, Sektor Perancangan Encik Mohd Nizam bin Yasim dan Ketua Penolong Pengarah, Sektor Sumber Teknologi Pendidikan, Encik Awang Marten bin Datuk Haji Abdul Rahman. Selain itu, turut hadir ialah KPP Sektor Pengurusan, Puan Lina Encharang dan KPP Sektor Infrastruktur dan Perolehan, Encik Boney Joumil.

Dalam pertemuan itu, Encik Yusup Mohamad telah menerangkan hal-hal berkaitan pengoperasian sekolah terutamanya dalam tempoh PKPP. Menurut beliau, setakat ini semua sekolah beroperasi dalam keadaan pematuhan SOP di tahap yang terbaik bagi mengekang penularan Covid19 dalam premis sekolah.

Selain itu, beliau turut memaklumkan beberapa projek pembangunan baharu termasuk pembinaan Kolej Tingkatan 6 dan pembinaan satu blok gantian yang mengandungi 12 bilik darjah di SMK Labuan.

Terdahulu, Pengerusi Perbadanan Labuan. Dato’ Sri Haji Amir bin Haji Hussien mengucapkan tahniah kepada Encik Yusup kerana telah dilantik menerajui Jabatan Pendidikan W. P. Labuan. Beliau turut melahirkan rasa bangga atas pelantikan anak tempatan menerajui agensi kerajaan yang terbesar di pulau ini.

“Pihak PL sedia untuk memberi bantuan, sokongan dan kerjasama kepada Jabatan Pendidikan dalam memastikan anak-anak di wilayah ini mendapat manfaat pendidikan terbaik” ujar beliau.

“Pihak Perbadanan Labuan mungkin boleh menyelaras bantuan untuk mendapatkan bekalan pelitup separuh muka untuk diagihkan kepada murid-murid di dalam kategori B40” tambah beliau lagi.

Hadir sama dalam pertemuan tersebut ialah Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif PL (Perbandaran), Encik Fadzilah bin Haji Mahmud, Pengarah Jabatan Sosio Ekonomi PL, Encik Helmi bin Bali dan Pegawai Pelancongan, Kebudayaan dan Kesenian PL, Encik Shahrulizam bin Sapar.

Berita Oleh : Sektor Perancangan

Perbincangan 2 hala antara Jabatan Pendidikan WP Labuan dan Perbadanan Labuan




Labuan Membaca

Labuan, 16 April- Perpustakaan Awam Perbadanan Labuan (PAPL) telah melangsungkan pertandingan Bercerita Cerita Pendek Bahasa Melayu bermula 01 hingga 08 April 2021. Pertandingan ini terbuka kepada semua peserta yang berminat seluruh Labuan khususnya. Pertandingan ini diadakan sempena Kempen Galak Guna Perpustakaan Bil 1/2021.

Adik Sofiyah Sumayyah Binti Amir Paisal dari kelas 6 Genius merupakan wakil tunggal SK Pekan Satu. Adik Sofiyah dikehendaki merakam video bercerita bertemakan “Sains, Teknologi, Kejuruteraan, Seni dan Matematik (STEAM)”. Video adik Sofiyah yang bertajuk “OTAK” dimuatnaik di laman sosial Facebooknya dengan “tag on” Facebook Perpustakaan Awam Labuan.

Guru Besar SKPS Puan Anita Shyamini A/P S. Azman mengucapkan tahniah kepada adik Sofiyah kerana berani menyahut cabaran menyertai pertandingan ini. Pertandingan seperti ini amat baik kerana ianya mampu merangsang murid untuk terus membaca khususnya buku-buku ilmiah. “Ribuan terima kasih dan tahniah kepada adik Sofiyah kerana telah mengharumkan nama SKPS dengan mendapat tempat ketiga serta menerima hadiah sebanyak RM 300.00 daripada PAPL” tambah beliau lagi.

Akhir sekali,Cikgu Nurul Hakimahselaku Ketua Panitia BM SKPS melahirkan rasa kesyukuran dan terima kasih kepada semua kerana menyokong adik Sofiyah sama ada secara langsung atau tidak langsung dalam menyediakan video tersebut. Program #LabuanMembaca yang telah diuar-uarkan oleh PAPL mampu meningkatkan lagi minat membaca murid-murid di Labuan khususnya. Tambahnya lagi, tanpa komitmen yang tinggi daripada semua pihak, maka kejayaan seumpama ini tidak  dapat dicapai sepertimana yang diharapkan.




Urus Stres Dengan Bijak, Beri Manfaat Kepada Warga SK Kerupang

Labuan, 16 Apr – Menyedari stres amat sinonim dalam kehidupan harian dan memberi impak negatif sekiranya tidak diurus dengan betul, organisasi tertinggi Sekolah Kebangsaan (SK) Kerupang telah mengambil langkah proaktif dengan melantik Unit Bimbingan dan Kaunseling SK Kerupang bagi menganjurkan satu taklimat pengurusan stres.

Sehubungan dengan itu, pada 15 April 2021, Unit Bimbingan dan Kaunseling SK Kerupang telah berjaya merealisasikan penganjuran taklimat pengurusan stres dengan menjemput Encik Fazil @ Fadzil Bin Mohd Jamil, Ketua Kaunselor Pendidikan Negeri (KKPN) sebagai penceramah. Taklimat ini telah diadakan di Tapak Perhimpunan Terbuka SK Kerupang yang dihadiri oleh semua warga pendidik dan pembantu tadbir SK Kerupang.

Taklimat Pengurusan Stres telah membuka tirai aturcara dengan pimpinan bacaan doa daripada Ustaz Muhammad Hakim Bin Muhammad Ariff Teoh.

Guru Besar, SK Kerupang, Puan Hajah Aini Binti Haji Salleh telah menzahirkan ucapan berbanyak terima kasih kepada penceramah atas kesudian memenuhi jemputan bagi memberi taklimat dan perkongsian pengurusan stres dengan betul kepada seluruh warga SK Kerupang.

Beliau menyatakan kepentingan pengurusan stres dalam kalangan guru–guru dan pembantu tadbir, terutamanya semasa bekerja di era yang serba mencabar ini. Seterusnya dapat memelihara persekitaran budaya kerja yang berdaya maju dan cemerlang.

“Besarlah harapan saya agar perkongsian ini dapat memberi manfaaat dan membantu warga SK Kerupang untuk mengurus stres dengan baik”, Puan Hajah Aini.

Encik Fazil telah memulakan sesi perkongsian dengan berkongsi pengertian terhadap stres, diikuti dengan objektif perkongsian taklimat pengurusan stres, perkongsian tentang punca stres, perkongsian tentang tanda – tanda dan impilkasi stres serta perkongsian mengenai cara – cara mengatasi stres.

Beliau telah menutup perkongsian dengan memberi penekanan terhadap kepentingan mengurus stres dengan betul yang melibatkan tiga elemen penting iaitu mental, emosi dan tingkah laku.

Guru Besar mengharapkan agar program yang seumpama ini dapat terus dianjurkan lagi pada masa akan datang memandangkan program ini memberi manfaat yang besar kepada semua warga SK Kerupang.

Berita Oleh : SK Kerupang

Encik Fazil dan Puan Hjh Aini bersama warga SK Kerupang




Mesyuarat Agung PIBG SMK Taman Perumahan Bedaun Tahun 2021

Labuan, 10 April – SMK Taman Perumahan Bedaun (SMK TPB) telah melaksanakan Mesyuarat Agung PIBG bagi tahun 2020/2021 dengan Norma Baharu secara atas talian Google Meet bertempat di kediaman masing-masing.  Mesyuarat yang dijalankan bermula jam 9.00 pagi hingga 11.50 pagi itu turut dihadiri oleh Pegawai Angkat Sekolah, Encik Mohd. Firlii Firzuan Lee Abdullah, ibu-bapa dan guru-guru SMK TPB. Mesyuarat ini telah dipengerusikan oleh YDP PIBG SMK TPB iaitu En. Peter Wong.

Seramai 120 orang ibu bapa dan guru telah telah menghadiri mesyuarat ini secara atas talian termasuk juga melalui saluran FaceBook SMK TPB yang disiarkan secara langsung kepada ibu bapa bagi yang tidak dapat mengikuti secara Google Meet.

Pengetua SMK TPB, Encik Ag. Rozlan b. Manan dalam ucapannya berkata reputasi sekolah selama dua tahun telah menunjukkan peningkatan yang memberangsangkan dari aspek kurikulum mahupun kokurikulum. Selain itu, pihak sekolah sedang giat menjalankan kerja-kerja naik taraf beberapa fasiliti dan penyelengaraan bangunan sekolah agar menjadi lebih kondusif dan selamat kepada warga sekolah khususnya murid-murid.

Pengetua membentangkan program-program sekolah untuk peningkatan pencapaian peperiksaan SPM

YDP PIBG, Encik Peter Wong pula dalam ucapannya berkata usaha guru-guru  yang komited dalam mendidik anak-anak perlu disokong oleh ibu bapa dengan memberikan sokongan dan kerjasama yang jitu agar kecemerlangan sekolah dapat dikekalkan.

Bendahari PIBG, Encik Ivan Lai telah membentangkan laporan prestasi kewangan PIBG bagi tahun 2019 dan tahun 2020. Selain itu juga, beberapa usul telah dibentangkan dalam mesyuarat agung PIBG ini telah mendapat kelulusan sebulat suara oleh ahli mesyuarat demi kemajuan dan penambahbaikan pendidikan murid-murid SMK TPB sejajar Motto sekolah ini iaitu Kemenjadian Setiap Murid Aspirasi Kami. Antara usul yang dipersetujui adalah tambahan sumbangan PIBG bagi anak-anak yang berada dalam kelas peperiksaan PT3 dan juga SPM. Tambahan dana ini adalah salah satu bentuk sokongan padu  dan komitmen ibu bapa dalam membantu pihak  sekolah mengekalkan prestasi cemerlang pencapaian 100 peratus lulus SPM seperti tahun sebelumnya.

YDP PIBG, En. Peter Wong dalam ucapan penangguhannya berkata, ibu bapa perlu memberi kerjasama dan sokongan jitu terhadap usaha pihak sekolah dan guru-guru dalam setiap aktiviti dan pembangunan murid secara menyeluruh. Beliau juga mengucapkan terima kasih atas komitmen ibu bapa memastikan ank-anak sentiasa menjaga SOP yang telah digariskan dalam memastikan persekitaran sekolah kekal selamat untuk sesi persekolahan berlangsung.

Mesyuarat Agung PIBG SMK TPB tamat pada jam 11.50 pagi dan telah berlangsung dengan baik dan lancar hasil kejasama semua pihak dalam menjayakannya.  Turut hadir  penolong kanan pentadbiran Pn. Chai Yee San, Penolong Kanan HEM En. Awang Adi bin Tuah dan Penolong kanan Kokurikulum Pn. Lau Chin Ying.

Berita Oleh : SMK Taman Perumahan Bedaun

Ibu bapa dan guru mengikuti mesyuarat secara atas talian menggunakan saluran Google Meet dan juga FB Live SMK TPB.

Perlantikan Ahli Jawatankuasa PIBG SMK Tmn Perumahan Bedaun bagi sesi 2021/2022




Mesyuarat Agung Tahunan PIBG SMK Labuan 2021 Secara Maya

Labuan, 12 Apr – Mesyuarat Agung Tahunan PIBG SMK Labuan bagi tahun 2021 telah berlangsung secara maya dengan kehadiran 98 orang ahli, sabtu lepas.

Pengetua merangkap penasihat PIBG SMK Labuan, Encik Ismail Abdullah dalam ucapannya berkata SMK Labuan sentiasa mengamalkan pematuhan SOP dan pembudayaan Norma Baharu COVID-19 dalam garis panduan yang ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara, Kementerian Kesihatan Malaysia dan Kementerian Pendidikan Malaysia.

Pengajaran dan Pembelajaran (PDP) secara  bersemuka di sekolah bagi semua tingkatan dilaksanakan dengan teratur dan mematuhi SOP.

Katanya lagi, Program Kecemerlangan PT3, SPM dan STPM akan diteruskan dengan norma baharu, seperti melaksanakan aktiviti Bengkel Teknik Menjawab, Kelas Tambahan, Program Khas Lulus 100% SPM dan STPM.

Kokurikulum dalam norma baharu akan diberi perhatian untuk memberi peluang murid terlibat dan mendapat markah kokurikulum yang sewajarnya.

Encik Ismail turut menghargai segala bantuan dan sumbangan PIBG dalam bentuk wang ringgit, material dan sokongan moral serta semangat kepada sekolah khususnya kepada guru-guru yang gigih berusaha untuk kebaikan anak-anak murid SMK Labuan.

“Semoga PIBG SMK Labuan terus menyokong dan membantu usaha-usaha sekolah demi kejayaan dan kecemerlangan murid-murid. Kerjasama yang padu sangat penting apatah lagi dalam suasana pandemik Covid-19 yang masih menjadi cabaran utama kepada sekolah dan ibu bapa. Sekolah terus menjunjung slogan SMK Labuan Juara : Setiap Murid Bernilai “, Encik Ismail Abdullah.

Suasana di bilik mesyuarat (Pengetua, YDP dan NYDP)

YDP PIBG SMK Labuan, Tuan Haji Md Yusof bin Haji Chuchu berkata PIBG merupakan satu medium yang berkesan untuk mengeratkan lagi hubungan antara pihak sekolah dengan komuniti.

Justeru, PIBG sewajarnya bergerak seiring dengan perkembangan sekolah dan menjadi penyumbang kepada kejayaan dan kecemerlangan sesebuah sekolah.

“Sokongan yang padu daripada semua pihak merupakan senjata penting bagi menjana kecemerlangan anak-anak kita. Oleh yang demikian, pihak PIBG akan terus menyokong segala usaha pihak sekolah dalam mengadakan pelbagai aktiviti yang bersesuaian dengan norma baharu.” Tuan Haji Md Yusof

Dalam kita berhadapan dengan pandemik yang agak membimbangkan kita semua, kita masih sedaya upaya berusaha dalam mencapai kejayaan secara holistik dan perkara ini menggambarkan usaha dan doa kita serta kerjasama yang terjalin kukuh antara guru dan ibu bapa selama ini diberkati oleh Allah SWT.

Mesyuarat telah bersetuju melalui cadangan serta sokongan iaitu kadar sumbangan dikekalkan sebanyak RM50 untuk setiap keluarga. Kadar ini dikekalkan sejak tahun 2012.

Mesyuarat juga bersetuju agar kutipan sumbangan sebanyak RM20 bagi setiap murid Tingkatan 3, 5 dan 6 untuk Program Kecemerlangan PT3, SPM dan STPM.

Hadir sama dalam mesyuarat tersebut, Naib Yang DiPertua PIBG SMK Labuan, Encik Nordin Ahmad, AJK PIBG, ibu bapa dan guru-guru SMK Labuan.

Berita Oleh : SMK Labuan

AJK PIBG : dari kiri Puan Asnur Liza Baharuddin (AJK), Puan Normazrena Kadam (Setiausaha), Encik Ismail (Penasihat), Tuan Hj Md Yusof (YDP), Encik Nordin (Naib YDP), Encik Teng How Ching (Bendahari), Encik Azlan Tumingan (AJK)




Kunjung Hormat Persatuan Kontraktor G1 ke Jabatan Pendidikan Erat Kerjasama

Labuan, 9 April : Persatuan Kontraktor G1 Wilayah Persekutuan Labuan telah mengadakan kunjungan hormat kepada Pengarah Pendidikan W.P. Labuan di pejabatnya di Tingkat 10 Ujana Kewangan sempena pelantikan Encik Yusup bin Haji Mohamad sebagai Pengarah Pendidikan yang baharu, hari ini.

Rombongan ahli jawatankuasa tertinggi persatuan telah diketuai oleh Tuan Haji Ceh Mat Haji Mustafa, Pengerusi Persatuan Kontraktor G1 Wilayah Persekutuan Labuan.

Ketibaan rombongan seramai 10 orang pada jam 9.00 pagi telah disambut oleh Ketua Penolong Pengarah, Sektor Infrastruktur dan Perolehan (SIP), Encik Boney Joumil.

Dalam pertemuan itu, Encik Che Mat mewakili ahli persatuan mengucapkan tahniah kepada Encik Yusup kerana telah dilantik menerajui Jabatan Pendidikan W. P. Labuan.

Beliau turut menyuarakan hasrat ahli persatuan untuk mempertimbangkan beberapa prosedur sedia ada bagi memudahkan penyertaan ahli dalam sebutharga bagi kerja-kerja di bawah kawalan Jabatan Pendidikan.

“Terdapat beberapa perkara yang membebankan pihak kontraktor G1 seperti pengesahan setiap salinan penyata bank bagi setiap dokumen sebutharga. Selain itu kami juga berharap agar senarai kontraktor yang berjaya dipamerkan untuk rujukan penyebutharga” katanya.

Encik Che Mat menyuarakan hasrat ahli persatuan Kontraktor G1 kepada Encik Yusup

Dalam maklumbalas, Encik Boney menyatakan bahawa pihak jabatan terikat dengan peraturan-peraturan Kementerian Pendidikan Malaysia yang perlu dipatuhi.

“Setiap penilaian sebutharga di peringkat jabatan sangat telus dan teratur dengan melibatkan tiga peringkat penilaian di mana individu yang berlainan terlibat di setiap peringkat” jelas beliau lagi.

Dalam ucapan balas, Encik Yusup turut berharap agar pihak kontraktor dapat memberi sumbangan dengan menyediakan perkhidmatan yang terbaik berkaitan kerja-kerja penyenggaraan dan pembinaan di sekolah.

“Matlamat kita ialah menyediakan fasiliti dan kemudahan fizikal yang terbaik kepada anak-anak di Labuan. Apapun yang kita buat di sekolah, akhirnya nikmat dapat dirasai oleh anak-anak di pulau ini” tambah beliau lagi.

Hadir sama dalam pertemuan tersebut ialah Timbalan Pengarah Sektor Perancangan(SPr) , Encik Mohd Nizam bin Yasim, Timbalan Pengarah Sektor Pembangunan Murid (SPM), Tuan Haji Abdul Rahman Ahmad.

Berita Oleh : Sektor Perancangan