Program Pembangunan Pemimpin Kecil Anjuran SMK Rancha-Rancha Dapat Sambutan Seluruh Malaysia

Penceramah jemputan Ustaz Muhammad Noor Azlan bin Idris Guru Cemerlang Perpustakaan dan Media

W.P LABUAN, 5 MEI 2021 — Seramai 1188 orang guru dan murid dari sekolah rendah dan menengah seluruh Malaysia telah mengikuti program Kursus Pembangunan Pemimpin Kecil  anjuran Pusat Sumber DSDN SMK Rancha-Rancha  bersama Sektor Sumber Teknologi Pendidikan, Jabatan Pendidikan W.P Labuan yang dianjurkan baru-baru ini. Program ini merupakan suatu aktiviti pembelajaran luar bilik darjah yang dijalankan untuk melahirkan pelajar yang berkebolehan dan berketrampilan  dalam organisasi.

Program ini merupakan susulan kepada program Dailog Pemimpin Muda peringkat negeri W.P Labuan yang telah dijalankan pada 19 hb Februari 2020 yang bertujuan membangunkan bakat kepimpinan dalam kalangan pelajar. Pada tahun ini, pelaksanaan program Pembangunan Pemimpin Kecil telah dijalankan secara atas talian dengan menggunakan platform google meet dan youtube.

Sasaran program anjuran Pusat Sumber DSDN SMK Rancha-Rancha untuk program ini ialah guru-guru serta pelajar sekolah menengah dan rendah di seluruh Malaysia. Antara sekolah yang telah menyertai program ini ialah MRSM Tun Ghafar Baba Melaka, SMK Saujana Utama Selangor, SMK Lajau W.P Labuan, SMK Agama Arau Perlis, SMK Putrajaya Presint 9(2) W.P Purtajaya, SMK Che Tom Kedah, SMK Ulu Sapi Telupid Sandakan Sabah, SMK Kamarul Ariffin Johor, SMK Sulatanah Hajjah Kalsom Kuantan Pahang, SMK Kidurong Bintulu Sarawak, SMK Kubang Kerian Kota Bharu Kelantan, SMK Dato Ibrahim Yaacob W.P Kuala Lumpur, SM Agama Bestari Subang Jaya Selangor dan SMK Rancha-Rancha W.P Labuan.

Pengetua SMK Rancha-Rancha, Ustaz Wan Azman bin Wan Awang sewaktu menyampaikan ucapan alu-aluan kepada peserta program berkata “ pembangunan kemahiran kepimpinan merupakan suatu perkara yang amat penting dalam melahirkan insan yang lebih berdedikasi, berkaliber serta meningkatkan potensi pelajar bagi menjadi pemimpin yang baik di masa hadapan. Setiap individu berkemampuan untuk menjadi seorang pemimpin, namun tidak semua pemimpin mampu untuk memimpin. Ini kerana kemahiran kepimpinan memerlukan bimbingan dan asahan untuk individu tersebut memahami kemahiran yang perlu untuk menjadi seorang pemimpin yang berkesan.

Pengetua SMK Rancha-Rancha, Ustaz Wan Azman bin Wan Awang

Antara objektif pelaksanaan program ini adalah melahirkan pasukan Pengawas Pusat Sumber Sekolah yang erat dari    segi silaturahim agar kerjasama dapat dipupuk untuk masa depan. Dalam masa yang sama juga memberi pendedahan kepada disiplin dan kerjasama pasukan demi memajukan sesuatu organisasi. Selain itu, membekalkan pengetahuan awal mengenai cabaran semasa dan akan datang mengenai dunia kepimpinan dan status diri sebagai pemimpin yang memberi pengaruh kepada rakan sebaya di sekolah sertra meningkatkan rasa keseronokan dan kenikmatan dalam dunia kepimpinan bagi mewujudkan kumpulan pemimpin yang dapat melaksanakan tugas dalam satu pasukan yang mantap. Akhir sekali dapat melahirkan para pemimpin kecil yang mempunyai keyakinan diri yang tinggi dan cerdik dalam memanfaatkan nilai persahabatan di sekolah untuk menambah ilmu pengetahuan di samping membimbing rakan sebaya menuju ke arah kecemerlangan.Dan diharapkan melalui program ini dapat melaksanaka perkongsian ilmu pengurusan PSS untuk memajukan lagi Pusat Sumber Sekolah seluruh Malaysia.

Penolong Pengarah SSTP Jabatan Pendidikan W.P Labuan Puan Norsiah binti Sulaiman berkata “ Sifat-sifat kepimpinan ini haruslah diterapkan kepada setiap individu bermula daripada kecil lagi agar mereka lebih faham betapa pentingnya tanggungjawab dan peranan seorang pemimpin. Ini kerana anak muda pada zaman kini kebanyakannya kurang memahami kemahiran untuk menjadi seorang pemimpin yang baik ”. Maka, program seperti Kursus Pembangunan Pemimpin Kecil  ini sedikit sebanyak dapat mendedahkan pelajar mengenai kepentingan membangunkan kemahiran kepimpinan dalam diri mereka.

Penyertaan dari pelajar SMK Rancha Rancha

Cikgu Sapri bin Idris selaku Guru Perpustakaan dan Media SMK Rancha-Rancha berkata “ beberapa aspek pembangunan kepimpinan telah ditekankan dalam program ini. Antaranya ialah memupuk sifat-sifat kepimpinan dan mengenali diri sendiri sebagai seorang pemimpin; meningkatkan kemahiran komunikasi yang baik sebagai pemimpin; serta menerapkan teknik pengurusan konflik sebagai pemimpin ” .

Cikgu Sapri bin Idris selaku Guru Perpustakaan dan Media SMK Rancha-Rancha

Melalui program ini, penceramah jemputan iaitu Ustaz Muhammad Noor Azlan bin Idris Guru Perpustakaan dan Media Cemerlang Sekolah Menengah Syed Abu Bakar Baling, Kedah berharap dapat memberi pendedahan kepada pelajar tentang kepentingan sifat dan kemahiran kepimpinan dalam kehidupan seharian. Beliau berharap setiap aktiviti yang dijalankan di pusat sumber sekolah memfokuskan beberapa ciri kepimpinan supaya pelajar-pelajar ini dapat mengasah sifat kepimpinan mereka sekaligus dapat membantu meningkatkan keyakinan diri dan sifat kepimpinan dalam diri masing-masing.

Seorang peserta program iaitu saudara Muhammad Zainal Ariffin bin Zainuddin Ketua Pengawas Pusat Sumber Sekolah daripada SMK Rancha-Rancha berkata “ saya sangat teruja menyertai program ini kerana program ini dapat memberi panduan kepada saya untuk saya melaksanakan tanggungjawab sebagai pemimpin kecil sekolah dengan lebih amanah dan berintegrirti. Selain itu, kemahiran kepimpinan yang didedahkan kepada pelajar-pelajar ini membuatkan mereka sedar bahawa mereka bakal menjadi pelapis pemimpin kepada masyarakat dan negara ini pada masa akan datang dan mereka perlu mempersiapkan diri mereka dengan kemahiran yang sepatutnya. Justeru, golongan pelajar  perlu didedahkan dengan konsep kepimpinan yang dapat menjamin kelangsungan operasi sekolah dengan berimpak.

Muhammad Zainal Ariffin bin Zainuddin Ketua Pengawas Pusat Sumber Sekolah daripada SMK Rancha-Rancha

Seorang peserta program pelajar daripada Sekolah Menengah Syed Abu Bakar Baling, Kedah,  Nur Ain Anisa Bt Badrol Hizam berkata “Sebagai pemimpin, untuk menjalankan tugas-tugas yang mendorong orang bawahan, seseorang pemimpin atau ketua perlu menjadi seorang yang mudah disukai oleh orang bawahannya. Ini tidak bermakna pemimpin itu menjadi seorang yang popular disebabkan dia tidak mahu bersikap tegas dan mengambil tindakan yang tidak popular ke atas orang bawahan yang melanggar peraturan. Sebagai contoh pemimpin ulung dan unggul dalam Islam ialah Nabi Muhammad s.a.w. yang terserlah keperibadian, akhlak, corak pemikiran dan cara pentadbirannya sehingga disegani oleh setiap negara ketika itu.

Nur Ain Anisa Bt Badrol Hizam

Secara umumnya, program berjaya mencapai matlamatnya dan berlangsung dengan jayanya

Berita Oleh : SMK Rancha Rancha

image_pdfimage_print