20 Warga Jabatan Pendidikan Hadiri Bengkel Penulisan Dokumen Rasmi

Peserta bengkel sedang berbincang mengenai tatacara penulisan dokumen rasmi yang baik

Labuan, 6 Mei – Sebagai usaha meningkatkan tahap kompetensi dalam kalangan pegawai dan Anggota Khidmat Pelaksana (AKP), Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan telah menganjurkan Bengkel Tatacara Penulisan Dokumen Rasmi Kerajaan semalam. Bengkel yang bermula jam 8.30 pagi telah diadakan di Bilik Kiamsam, Sektor Sumber Teknologi Pendidikan di Sungai Lada.

Program kelolaan Sektor Sumber Manusia (SSM) itu telah dihadiri oleh seramai 10 pegawai dan 10 AKP yang mewakili semua sektor di jabatan ini. Menurut penyelaras bengkel, Cik Nurul Ain Hamdan bengkel ini bertujuan untuk meningkatkan pengetahuan, kemahiran dan kompetensi pegawai dan AKP dalam urusan-urusan berkaitan dengan penulisan dokumen rasmi.

 “Terdapat tiga elemen penting yang diterapkan dalam bengkel kali ini iaitu penulisan surat rasmi, minit mesyuarat dan laporan berita. Kita berharap agar semua pegawai dan AKP dapat mematuhi surat-surat pekeliling dan arahan-arahan semasa yang dikeluarkan oleh MAMPU dan Arkib Negara Malaysia dalam menjalankan tugas” kata beliau lagi yang juga merupakan Penolong Pengarah di SSM.

Bengkel sehari ini telah dkendalikan sepenuhnya oleh Timbalan Pengarah Sektor Perancangan, Encik Mohd Nizam bin Yasim. Dalam bengkel tersebut, Encik Mohd Nizam menegaskan bahawa semua penjawat awam perlu mengetahui dan mematuhi peraturan-peraturan semasa yang sedang berkuatkuasa dalam menjalankan tugas.

“Rujukan yang dibuat juga mestilah daripada sumber-sumber yang autentik dan sahih yang dikeluarkan oleh pihak-pihak yang berautoriti seperti MAMPU, DBP dan ARKIB. Penulisan dokumen terutamanya surat rasmi yang betul dan tepat dari segi format dan ejaan dapat memberi imej yang baik kepada sesebuah organisasi” tegas beliau lagi.

Salah seorang peserta, Arraqib Al Kassim berkata beliau sangat bertuah kerana diberi peluang mengikuti bengkel ini.

“Saya sebagai pegawai baharu di jabatan ini dapat mengetahui dengan lebih mendalam kaedah-kaedah penulisan dokumen rasmi. Kaedah penyampaian penceramah juga santai dan mudah difahami termasuk contoh-contoh yang diberikan” ujar beliau lagi.

Seorang lagi peserta, Roziman Sabtu menyarankan agar bengkel sebegini dapat diadakan secara berterusan bagi memberi pendedahan menyeluruh kepada semua warga pendidikan pada masa akan datang.

“Penulisan laporan aktiviti berbentuk berita juga mampu memberi nilai tambah kepada setiap aktiviti yang dijalankan selain promosi kepada organisasi kita” tambah beliau.

Sesi bengkel diakhiri dengan permainan kuiz menggunakan aplikasi Quizizz. Ustaz Mohd Syahir Mohamad Yusof telah berjaya mendapat skor tertinggi dan terpilih sebagai peserta terbaik sepanjang bengkel dijalankan.

Berita Oleh : Sektor Perancangan

Ustaz Mohd Syahir dipilih sebagai peserta terbaik sepanjang bengkel berlangsung
Penceramah Encik Mohd Nizam (tengah) merakam kenangan bersama peserta bengkel Tatacara Penulisan Dokumen Rasmi Kerajaan

image_pdfimage_print