2,200 Peserta Jayakan Kolokium Kajian Tindakan Peringkat Kebangsaan Anjuran Jabatan Pendidikan Labuan

Para pembentang Kajian Tindakan menunggu giliran pembentangan dalam streamyard

Labuan, 23 April – Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan telah berjaya melaksanakan Kolokium Kajian Tindakan Teknik 12 Langkah Peringkat Kebangsaan pada Khamis lalu.

Kolokium yang telah diadakan sepenuhnya secara dalam talian itu telah dihadiri oleh seramai 2,200 peserta dari seluruh negara.

Timbalan Pengarah Sektor Perancangan, Jabatan Pendidikan Labuan, Encik Mohd Nizam Yasim, berkata, kolokium ini adalah kesinambungan daripada bengkel Kajian Tindakan Teknik 12 Langkah yang telah diadakan sebanyak 4 siri bermula 4 Mac hingga 8 April 2021.

“Kolokium ini adalah bertujuan menyediakan peluang dan ruang kepada para peserta bengkel berkongsi kajian tindakan yang telah dijalankan sepanjang tempoh bengkel. Sebanyak lebih 60 penyertaan pembentangan telah diterima dari seluruh negara.

“Pada hari ini kita telah menjemput 10 peserta dari seluruh negara untuk membuat pembentangan dan berkongsi dapatan kajian masing-masing,”katanya yang juga pengurus program tersebut.

Perasmian kolokium telah disempurnakan oleh Pengarah Pendidikan WP. Labuan, Yusup Haji Mohamad dari pejabatnya di Kompleks Ujana Kewangan Labuan.

Perasmian oleh Pengarah Pendidikan Encik Yusup Haji Muhamad

Dalam ucapannya, beliau menyeru agar semua pendidik sentiasa bersedia untuk menempuh cabaran di dalam dunia VUCA (volatility, Uncertainty, Complexity, Ambiguity).

“Kajian tindakan adalah medan terbaik bagi para pendidik berkongsi ilmu dan dapatan kajian. Peluang ini disediakan untuk manfaat bersama bagi memenuhi matlamat akhir aspirasi pendidikan negara iaitu kemenjadian murid,”ujarnya.

Seorang peserta dari Kedah, Puan Elina Tan Sharif Tan, turut menyatakan rasa bertuah kerana diberi peluang menyertai kolokium ini secara dalam talian.

“Banyak maklumat dan input baharu yang saya perolehi sejak bengkel siri 1 hingga 4. Hari ini saya berpeluang mendengar pembentangan kajian tindakan yang hebat dari seluruh negara,” tambah beliau.

Salah seorang pembentang, Encik Herman Mohamad Gapar dari Selangor berasa sangat bertuah kerana telah dibimbing oleh pasukan jurulatih utama yang sangat berpengalaman dan begitu komited.

“Teknik 12 Langkah yang dipelopori oleh Cikgu Suriani Alland Oxley telah berjaya memudahkan saya membuat kajian tindakan. Terima kasih kerana berkongsi inovasi ini untuk manfaat bersama,” katanya.

Puan Suriani Alland Oxley merupakan Pegawai SISC+ JPN Labuan yang juga Ketua Jurulatih Utama (KJU).

Sementara itu, menurut Ketua Urusetia, Puan Faridah Amit, pembentangan hari ini melibatkan 10 peserta yang telah dipilih oleh panel yang dilantik.

Antara pembentang terpilih ialah Puan Chin Kui Kiun (Sabah), Puan Nurfarhana Abdol Sappar (Labuan), Encik Mohd Azman Huhin (Melaka), Puan Hemarani a/p Munisamy (Johor) dan Encik Mohd Shahrun Hambug (Labuan).

Pembentang lain ialah Puan Habibah Ja’afar (Pahang), Encik Aqil Othman (Sabah), Puan Mylsa Avinnie Musah (Labuan) dan Encik Nelson anak Peter (Sarawak).

“Sebanyak 50 pembentangan lagi akan dibuat di dalam kolokium siri kedua yang dijangka akan dilaksanakan pada 22 Mei 2021.” tambah Puan Faridah yang juga Penolong Pengarah Sektor Perancangan JPN Labuan.

Kolokium kali ini bersiaran dari Sektor Sumber Teknologi Pendidikan Negeri Wilayah Persekutuan Labuan di Sungai Lada.

Ketua pasukan penyiaran, Puan Shamsuria Ebni berasa lega dan berpuashati kerana kolokium ini telah berjalan lancar.

“Saya dan ahli pasukan yang lain berasa bertuah kerana bersama-sama terlibat dalam kolokium kali ini terutamanya dalam memastikan aspek teknikal penyiaran berjalan lancar,” jelas beliau yang juga guru Penolong Kanan di SKK SK Rancha-Rancha, Labuan.

Encik Nelson anak Peter dari Sarawak sedang membuat pembentangan secara dalam talian
Encik Mohd Shahrun Hambug dari Labuan sedang membuat pembentangan

Encik Mohd Nizam tidak lupa mengucapkan terima kasih kepada semua yang terlibat menjayakan program yang memberi manfaat kepada warga pendidik di seluruh negara.

“Terima kasih kepada semua peserta yang komited menghasilkan dan berkongsi kajian tindakan.

“Juga kepada jurulatih utama dan pasukan penyiaran yang bertungkus lumus menjayakan bengkel dan kolokium,”tambah Encik Mohd Nizam sambil tersenyum puas.

Kolokium tersebut telah disiarkan secara langsung melalui Youtube Live dan Facebook.

Berita Oleh : Sektor Perancangan

Encik Herman Mohamad Gapar, pembentang dari Selangor
Barisan Jurulatih Utama dan Pasukan Penyiaran

image_pdfimage_print