Kunjung Hormat Ahli Lembaga Pengurus Sekolah SJK(C) Chi Wen Ke Jabatan Pendidikan Erat Kerjasama Komuniti

Encik Philip Yeo Ah Seng memberikan cenderahati kepada Encik Yusup

Labuan, 21 April – Lembaga Pengurus Sekolah(LPS) SJKC Chi Wen, Wilayah Persekutuan Labuan telah mengadakan kunjungan hormat kepada Pengarah Pendidikan W.P.Labuan di pejabatnya di Tingkat 10 Ujana Kewangan, hari ini.

Kunjungan ini dibuat sempena pelantikan Encik Yusup bin Haji Mohamad sebagai Pengarah Pendidikan yang baharu yang berkuatkuasa pada 1 Mac 2021 yang lalu.

Delegasi 5 ahli jawatan kuasa tertinggi LPS telah diketuai oleh Pengerusinya Encik Philip Yeo Ah Seng. Turut serta ialah Encik William Chong (setiausaha) dan Encik Cheong Hock Ting (bendahari). Selain itu, Guru Besar SJKC Chi Wen, Puan Pan Yii Yng dan Penolong Kanan Pentadbiran, Puan Liew Sin Sin turut hadir.

Ketibaan mereka pada jam 11.00 pagi telah disambut oleh Penolong Pengarah, Sektor Pengurusan Sekolah, Puan Zaleha bin Hassan.

Dalam pertemuan itu, Encik Philip mewakili ahli Lembaga Pengurus Sekolah mengucapkan tahniah kepada Encik Yusup kerana telah dilantik menerajui Jabatan Pendidikan W.P. Labuan.

Selain itu, pihak Lembaga Pengurus Sekolah turut memohon bantuan JPN membuat susulan ke KPM berkaitan peruntukan penyenggaraan bagi sekolah-sekolah bantuan kerajaan yang masih belum diterima untuk tahun ini.

Dalam maklumbalas, Encik Boney Joumil menyatakan bahawa semua permohonan penyelenggaraan untuk semua Sekolah Bantuan Kerajaan (SBK) telah dihantar ke KPM.

“Walau bagaimanapun, pihak JPN akan membantu membuat susulan berkaitan perkara ini supaya penyelenggaraan infrastruktur dapat dilaksanakan segera. Namun begitu, tanggungjawab penyelenggaraan untuk SBK masih di bawah pihak Lembaga Pengurus Sekolah” ujarnya lagi.

Encik Yusup memberikan ucapan aluan kepada rombongan Lembaga Pengurus Sekolah SJK(C) Chi Wen

Isu penyuraian murid di luar kawasan sekolah turut dibangkitkan. Hal ini telah menimbulkan keresahan dalam kalangan ibubapa terutamanya pada waktu tengahari.

Ketika mengulas perkara ini, Encik Yusup memaklumkan bahawa kerjasama dengan pihak polis amat perlu dalam situasi sebegini. Pihak JPN akan berusaha mendapatkan kerjasama PDRM bagi mengurangkan kesesakan lalulintas di kawasan tersebut.

Terdahulu dalam ucapannya, Encik Yusup mengucapkan terima kasih atas kunjungan pihak lembaga dan berharap dapat mengeratkan hubungan pihak lembaga dan jabatan.

“Saya berharap agar pihak lembaga dan JPN dapat bertukar pandangan dan cadangan untuk dibincangkan secara bersama. Melalui perbincangan seumpama ini kita dapat melihat keperluan sekolah dalam memastikan sekolah memberi khidmat terbaik untuk kemenjadian murid” menurut beliau lagi.

Encik Yusup juga mengucapkan tahniah kepada SJKC Chi Wen kerana telah berjaya menubuhkan Persatuan Ibubapa dan Guru (PIBG). PIBG adalah wadah terbaik untuk membantu pihak sekolah dalam memastikan pelibatan komuniti dalam operasi sekolah.

Hadir sama dalam pertemuan tersebut ialah Timbalan Pengarah Sektor Pengurusan Sekolah, Puan Maimoon binti Matnoh, Timbalan Pengarah Sektor Perancangan(SPr) , Encik Mohd Nizam bin Yasim, Timbalan Pengarah Sektor Pembangunan Murid (SPM), Tuan Haji Abdul Rahman Ahmad.

Berita Oleh : Sektor Perancangan

Gambar kenangan : duduk dari kiri Puan Maimoon, Encik Philip, Encik Yusup, Encik Mohd Nizam, Tuan Haji Abdul Rahman, Encik Boney ( berdiri kanan) dan Puan Pan Yii Yng (berdiri tengah) bersama rombongan Lembaga Pengurus Sekolah

image_pdfimage_print