Pengarah Pendidikan Lakukan Kunjung Hormat Ke Perbadanan Labuan

Kunjung hormat ke Perbadanan Labuan disambut oleh Dato Sri' Hj Amir

Labuan, 19 April – Pengarah Pendidikan Jabatan Pendidikan W.P Labuan telah mengadakan kunjungan hormat kepada Pengerusi Perbadanan Labuan di pejabatnya di Tingkat 10, Menara Perbadanan hari ini. Kunjung hormat ini bersempena pelantikan Encik Yusup bin Haji Mohamad sebagai Pengarah Pendidikan yang baharu berkuat kuasa 1 Mac yang lalu.

Rombongan dari Jabatan Pendidikan seramai 5 orang turut disertai oleh Timbalan Pengarah Pendidikan, Sektor Perancangan Encik Mohd Nizam bin Yasim dan Ketua Penolong Pengarah, Sektor Sumber Teknologi Pendidikan, Encik Awang Marten bin Datuk Haji Abdul Rahman. Selain itu, turut hadir ialah KPP Sektor Pengurusan, Puan Lina Encharang dan KPP Sektor Infrastruktur dan Perolehan, Encik Boney Joumil.

Dalam pertemuan itu, Encik Yusup Mohamad telah menerangkan hal-hal berkaitan pengoperasian sekolah terutamanya dalam tempoh PKPP. Menurut beliau, setakat ini semua sekolah beroperasi dalam keadaan pematuhan SOP di tahap yang terbaik bagi mengekang penularan Covid19 dalam premis sekolah.

Selain itu, beliau turut memaklumkan beberapa projek pembangunan baharu termasuk pembinaan Kolej Tingkatan 6 dan pembinaan satu blok gantian yang mengandungi 12 bilik darjah di SMK Labuan.

Terdahulu, Pengerusi Perbadanan Labuan. Dato’ Sri Haji Amir bin Haji Hussien mengucapkan tahniah kepada Encik Yusup kerana telah dilantik menerajui Jabatan Pendidikan W. P. Labuan. Beliau turut melahirkan rasa bangga atas pelantikan anak tempatan menerajui agensi kerajaan yang terbesar di pulau ini.

“Pihak PL sedia untuk memberi bantuan, sokongan dan kerjasama kepada Jabatan Pendidikan dalam memastikan anak-anak di wilayah ini mendapat manfaat pendidikan terbaik” ujar beliau.

“Pihak Perbadanan Labuan mungkin boleh menyelaras bantuan untuk mendapatkan bekalan pelitup separuh muka untuk diagihkan kepada murid-murid di dalam kategori B40” tambah beliau lagi.

Hadir sama dalam pertemuan tersebut ialah Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif PL (Perbandaran), Encik Fadzilah bin Haji Mahmud, Pengarah Jabatan Sosio Ekonomi PL, Encik Helmi bin Bali dan Pegawai Pelancongan, Kebudayaan dan Kesenian PL, Encik Shahrulizam bin Sapar.

Berita Oleh : Sektor Perancangan

Perbincangan 2 hala antara Jabatan Pendidikan WP Labuan dan Perbadanan Labuan

image_pdfimage_print