Pengoperasian Persekolahan SMK Labuan Dalam Norma Baharu Berjalan Lancar

Kehadiran murid sesi pagi terkawal dengan murid beratur dan mengimbas suhu terlebih dahulu sebelum memasuki kawasan sekolah

Labuan, 6 April : SMK Labuan memulakan hari pertama persekolahan dalam norma baharu pada 5 April 2021 dengan lancar. Kehadiran murid disambut seawal jam 6.00 pagi oleh Pengetua Encik Ismail bin Abdullah bersama guru-guru bertugas SMK Labuan.

Turut sama membuat kunjungan pada awal pagi melihat suasana kehadiran murid ialah Pengarah Jabatan Pendidikan WP Labuan Encik Yusup bin Hj Mohamad, Ketua Penolong Pengarah Sektor Pentaksiran dan Peperiksaan Tuan Haji Sawal bin Salleh serta Yang DiPertua PIBG Tuan haji Md Yusof bin Hj Chuchu.

Jumlah murid berdaftar SMK Labuan ialah seramai 1611 orang iaitu Tingkatan 1 (301), Tingkatan 2 (299), Tingkatan 3 (297), Tingkatan 4 (286), Tingkatan 5 (237) dan Tingkatan 6 Atas (191).

Proses kehadiran murid sesi pagi (Tingkatan 4 dan 5) seramai 523 orang pagi tadi berjalan lancar bermula jam 6.00 pagi hingga 7.00 pagi.

Pelajar  Tingkatan 6 Atas akan mula hadir ke sekolah pada 13 April setelah selesai Peperiksaan STPM Semester 3 yang berlangsung pada 5 hingga 12 April 2021. Proses kehadiran 897 murid sesi petang juga berjalan lancar bermula jam 11.30 pagi hingga jam 12.00 tengah hari.

Encik Ismail ketika sesi temubual bersama RTM Labuan

Pengetua SMK Labuan Encik Ismail bin Abdullah sangat menghargai segala bantuan dan sumbangan terutamanya guru-guru serta staf SMK Labuan, PIBG SMK Labuan serta bekas pelajar SMK Labuan yang telah membolehkan sekolah membeli keperluan seperti 400 kerusi untuk lokasi transit murid-murid sesi petang, 11 kanopi untuk lokasi transit serta 7 buah papan putih beroda untuk 7 buah kelas.

Semua ini adalah keperluan untuk mematuhi persekolahan dalam norma baharu yang melibatkan beberapa Prosedur Operasi Standard terutamanya penjarakan fizikal, kebersihan serta mengelakkan pertembungan atau perkumpulan murid sesi petang dan sesi pagi.

Jadual waktu balik secara berperingkat telah berjaya mengurangkan kesesakan di luar kawasan sekolah pada waktu balik sesi pagi dan sesi petang.

Encik Ismail berharap agar pengoperasian sekolah pada hari-hari berikutnya akan lebih lancar dan teratur. Terima kasih kepada  pihak PDRM atas bantuan mengawal aliran trafik di hadapan sekolah. Terima kasih juga kepada ibu bapa yang memberi dorongan untuk anak-anak hadir ke sekolah setelah sekian lama tidak dapat menjalani sesi pembelajaran bersemuka.

Berita Oleh : SMK Labuan

Dari kiri : Tuan Haji Sawal, Encik Yusup, Encik Ismal dan Tuan Haji Md Yusof

image_pdfimage_print