Pembugaran Program Nilam Oleh Pusat Sumber DSDN SMK Rancha-Rancha Menyuburkan Budaya Membaca Dalam Kalangan Warganya

Perkongsian Pintar dilaksanakan secara atas talian menggunakan platform Google Meet

Labuan, 4 April 2021 : Budaya dan aktiviti membaca menjadi pasak keteguhan  seseorang individu, malah sesuatu komuniti  dan sesebuah negara. Bagi memastikan rakyat di negara ini mengamalkan sikap suka membaca, kerajaan telah melancarkan Dekad Membaca Kebangsaan  . Usaha kerajaan ini adalah untuk menarik penyertaan orang ramai dalam program dan aktiviti berkaitan pembacaan bagi menyuburkan minat membaca, memupuk kesedaran betapa pentingnya membaca sepanjang hayat, mengamalkan membaca dari pelbagai sumber bahan bacaan dan menjadikan membaca sebagai satu budaya.

Bertitik tolak daripada hakikat itulah, Pusat Sumber DSDN SMK Rancha-Rancha telah melaksanakan  pembugaran program NILAM peringkat sekolah dengan penglibatan warga sekolah khususnya pentadbir, guru dan staff SMK Rancha-Rancha secara atas talian dengan menggunakan platform google meet. Program NILAM norma baharu ini,  membolehkan pelajar dan guru boleh melayari IQ DELIMA untuk membuat catatan  samada melalui komputer atau pun telefon bimbit.

Sebelum itu, pengetua sekolah Ustaz Wan Azman bin Wan Awang semasa menyampaikan ucapan alu-aluan program menegaskan SMK Rancha-Rancha memandang serius pelaksanaan program NILAM. Ia adalah usaha murni Kementerian Pendidikan Malaysia.  Ia mencakupi semua aktiviti galakan membaca yang dijalankan di sekolah yang melibatkan penilaian pembacaan yang berterusan sepanjang tahun yang diakhiri dengan pengiktirafan yang bersesuaian. Program ini telah mula dilaksanakan  dengan rasminya pada tahun 1999 bagi murid tahun satu di sekolah rendah dan tingkatan satu atau peralihan di sekolah menengah, iaitu melalui Surat Pekeliling Ikhtisas Kementerian Pelajaran Malaysia Bil 13/1998 : Program Membina Tabiat Membaca bertarikh 22 Mei 1998.

Pengetua Sekolah Menengah Kebangsaan Rancha-Rancha Ustaz Wan Azman bin Wan Awang

Penolong Kanan Pentadbiran Sekolah En. Sahnuddin bin Ariffin berkata, Program NILAM yang ditambahbaik  mula dijalankan secara sepenuhnya mulai sesi persekolahan tahun 2018. Ia merupakan kesinambungan kepada program NILAM sebelum ini. Walau bagaimanapun, NILAM yang ditambahbaik ini lebih mementingkan kualiti pembacaan berbanding kualiti bahan yang dibaca. Ia merupakan gabungan aktiviti pembacaan (kuantiti dan kualiti bahan) dan juga aktiviti-aktiviti pengayaan selepas pembacaan (peningkatan pengetahuan dan kemahiran selepas pembacaan) yang mana ia berfokuskan kepada aspek kualiti selepas pembacaan. Secara umumnya, ia menggalakkan penglibatan semua warga sekolah/ masyarakat/ komuniti setempat/ pertubuhan kerajaan dan bukan kerajaan  dalam pelaksanaan program serta pembinaan tabiat membaca dalam kalangan murid-murid.

Penolong Kanan Pentadbiran En. Sahnuddin bin Ariffin

Cikgu Sapri bin Idris , Guru Perpustakaan dan Media SMK Rancha-Rancha menjelaskan melalui NILAM IQ DELIMA  murid mempunyai banyak pilihan dalam memilih bahan bacaan. Mereka boleh memilih sama ada bahan bacaan buku ataupun bahan bukan buku. Bahan bacaan buku terdiri daripada buku berbentuk fizikal dan juga buku digital/ e-book. Sementara bahan bukan buku pula adalah bahan bercetak (katalog berilmiah, manual pengguna, buku skrap, jurnal, brosur berilmiah, majalah, artikel/rencana, komik, peta, cerpen, carta, poster, buletin) dan bahan bukan cetak (video klip berinformasi, CD perisian pendidikan, kit pembelajaran, e-bahan pembelajaran).

Jumlah bacaan buku murid masih dikekalkan seperti mana yang terdapat dalam NILAM terdahulu. Akan tetapi, ia telah ditambahbaik dari sudut kualitatif melalui kuantiti buku yang dibaca. Pengukuran kualiti bacaan diukur melalui jumlah bahan yang dibaca. Semakin banyak bahan yang dibaca, semakin tinggi bintang  yang akan diberikan. Sekolah juga boleh menghasilkan aktiviti yang lebih berkesan dan inovatif bagi merangsang minat murid dalam pembacaan.

Pengurus Program Cikgu Sapri bin Idris Guru Perpustakaan dan Media SMK Rancha-Rancha

Ketua Bidang Bahasa Cikgu Zaharah binti Mat Jali ketika sesi percambahan ilmu berkata pada masa kini didapati trend membaca murid-murid sekarang telah mengalami evolusi yang mana kaedah dan bahan bacaan telah banyak  berubah sejajar dengan  kemajuan  teknologi yang murid-murid praktikkan ketika ini.  Menurutnya terdapat dua perkara yang perlu diberikan perhatian jika pihak sekolah ingin mendalami  trend membaca dalam kalangan murid-murid. Yang pertama ialah apakah jenis buku yang mendapat perhatian paling tinggi dalam kalangan murid-murid. Dalam kajian yang dibuat oleh Bahagian Perkembangan Kurikulum didapati murid-murid lebih suka membaca buku-buku yang berkisar mengenai sesuatu yang ”hampir’ dengan mereka, sesuai dengan usia dan persekitaran mereka. Selain dari buku-buku bukan fiksyen yang berbentuk ilmiah, murid-murid lebih terarah untuk membaca buku-buku yang berkaitan dengan remaja, hubungan dalam konteks usia remaja, grafik yang menarik dengan teks yang mudah difahami.

Perkara kedua yang membentuk trend membaca dalam kalangan murid-murid pula ialah bentuk buku yang dibaca. Trend dan minat murid-murid sekarang lebih terarah kepada sesuatu yang bersifat teknologi dan ICT. Kita melihat ini sebagai sesuatu yang positif dan Program NILAM juga sememangnya sentiasa ditambahbaik seiring dengan kemajuan teknologi sedia ada. Dalam pelaksanaan Program NILAM kita meminta murid membaca sebanyak mungkin buku dan kemudian mencatatnya dalam Buku Rekod NILAM. Buku-buku yang dimaksudkan ialah buku-buku berbentuk fizikal yang dipinjam dari Pusat Sumber Sekolah, Perpustakaan Awam ataupun yang mereka beli sendiri.

Program Perkogsian pintar Pusat Sumber DSDN SMK Rancha-Rancha kali ini telah menjemput panel istimewa merupakan seorang Guru Perpustakaan dan Media SMK Putrajaya Presint 9( 2 ) iaitu Cikgu Nurafidah binti Mohd Khalid. Beliau merupakan Ikon GPM Putrajaya 2018 dan 2020.. Cikgu Nurafidah menjelaskan melalui penguasaan kemahiran literasi maklumat , negara dapat membangunkan ekonomi berasaskan pengetahuan k-ekonomi dan k-masyarakat. Selain itu, dapat memperkukuhkan pembangunan modal insan untuk menghasilkan tenaga manusia berpengetahuan .Matlamat Pendidikan Negara ialah melahirkan insan yang beriman, berakhlak mulia, berilmu,   berterampilan dan sejahtera selaras dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan juga akan tercapai. Konsep Pengajaran dan Pembelajaran Bestari yang berpusatkan pelajar dan dipermudahkan dengan bantuan ICT secara tidak langsung pembangunan ICT dalam pendidikan dapat dipercepatkan.  Aspek literasi maklumat juga akan menjadikan pelajar berdikari secara beransur-ansur untuk menghayati konsep pendidikan seumur hidup.

Selain itu, penceramah jemputan juga menyentuh tentang program bacaan yang boleh menarik minat murid-murid menjadikan amalan budaya membaca sebagai salah satu cara hidup seharian. Sekolah khususnya guru-guru perlu mencari idea bagaimana untuk meningkatkan motivasi membaca dalam kalangan  pelajar. Beliau menyarankan pihak PSS perlu memberi tumpuan kepada aktiviti yang mencetuskan minat pelajar dan membantu meningkatkan harga diri mereka. Penyelidikan mengesahkan bahawa motivasi kanak-kanak adalah faktor utama dalam membaca yang berjaya. Dalam menyelesaikan dan mengurangkan mood murid-murid kurang gemar membaca,kajian perlu dilakukan dengan penglibatan semua peringkat komuniti.

Penceramah jemputan Cikgu Nurafidah Mohd Khalid daripada SMK Puterajaya   Presint 9 ( 2 )

Konkulisinya, program NILAM  yang mula diadakan pada tahun 1999 bermatlamat agar murid-murid di  Malaysia sebati dengan budaya membaca, seterusnya menjadikan tabiat suka membaca sebagai satu amalan hidup. Berdasarkan laporan World’s Most Literate Nation, Malaysia berada pada kedudukan ke-53 dalam senarai negara membaca. Kajian juga mendapati keutamaan pelajar membaca ialah untuk tujuan pembelajaran dan sedikit untuk bacaan senggang. Suatu pendekatan yang wajar dilaksanakan untuk memupuk tabiat membaca ialah dengan usaha pembugaran  Program NILAM.

image_pdfimage_print