Permuafakatan Warga Sekolah, PIBG Dan Bekas Pelajar Membantu Persiapan Pengoperasian Sekolah SMK Labuan Dalam Norma Baharu

Antara 11 kanopi yang telah disumbangkan oleh pihak PIBG SMK Labuan

Labuan, 4 April : Permuafakatan antara warga sekolah, PIBG dan bekas pelajar telah berjaya membantu persiapan pengoperasian sekolah SMK Labuan dalam norma baharu.

SMK Labuan merupakan sekolah yang melaksanakan pengoperasian Model Dua sesi. Cabaran utama pihak sekolah ialah untuk menyediakan lokasi transit bagi semua 901 murid sesi petang sebagai tempat menunggu sementara sebelum murid-murid sesi pagi balik bermula jam 12.15 tengah hari.

Seramai 600 murid dapat ditampung menggunakan kemudahan sedia ada iaitu Dewan Mutiara, Galeri Kristal dan Garaj kenderaan guru. Sekolah perlu menyediakan lokasi transit untuk 300 orang murid lagi.

Hasil permuafakatan, PIBG SMK Labuan telah menyumbangkan 11 buah khemah besar bersaiz 20 kaki x 20 kaki sebagai lokasi transit 300 murid sesi petang. Pihak sekolah telah melancarkan kutipan “Patak-Patak Guru dan Staf SMK Labuan” yang berjaya mengumpul sumbangan sebanyak RM6,000.00 dalam masa kurang 24 jam.

AJK PIBG juga telah membantu membuat kutipan sumbangan dalam kalangan bekas pelajar SMK Labuan tahun 1980an dan berjaya mengumpulkan sumbangan sebanyak RM2,400.00.

Ini membawa kepada jumlah keseluruhan mencecah lebih RM8,000.00 dan dapat menyelesaikan isu untuk membeli 300 buah kerusi bagi menampung tempat duduk murid.

Untuk rekod, SMK Labuan akan menerima kehadiran seramai 1618 murid Tingkatan 1 hingga Ting 6 Atas sempena pengoperasian sekolah dalam norma baharu di seluruh negara.

Jumlah murid sesi pagi ialah seramai 717 orang  iaitu Tingkatan 4 (286), Tingkatan 5 (237) dan Tingkatan 6 Atas (194). Jumlah murid sesi petang pula ialah seramai 901 orang iaitu Tingkatan 1 (305), Tingkatan 2 (299) dan Tingkatan 3 (297).

Encik Ismail bersama Tuan Haji Md Yusof setelah pemasangan kanopi selesai

Pengetua SMK Labuan Encik Ismail Abdullah mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada PIBG di bawah pimpinan Yang DiPertua Tuan Haji Md Yusof bin Haji Chuchu, Naib Yang DiPertua Encik Nordin Ahmad serta AJK ibu bapa Puan Susanna Koh yang mengambil inisiatif untuk membantu pihak sekolah menyelesaikan cabaran yang dihadapi.

Semua persiapan yang dilakukan adalah bertujuan untuk melaksanakan pengoperasian sekolah dalam norma baharu. Insha Allah SMK Labuan sudah bersedia untuk menerima kehadiran murid bermula 5 April 2021 nanti.

Berita Oleh : SMK Labuan

image_pdfimage_print