Pemuafakatan Komuniti Selesaikan Isu Pengoperasian Sekolah

Pemuafakatan Komuniti yang dipengerusikan oleh Encik Yusup

Labuan, 26 Mac : Jabatan Pendidikan telah mengambil inisiatif dengan mengadakan pemuafakatan bersama komuniti dalam menyelesaikan isu pengoperasi sekolah sepanjang tempoh PKPP, kelmarin.

Pemuafakatan melibatkan beberapa agensi dan pertubuhan bagi mencari kaedah terbaik bagi mengatasi isu kepadatan, penjarakan fizikal di dalam bilik darjah dan isu-isu berkaitan penyuraian murid.

Antara agensi yang hadir dalam sesi pemuafakatan tersebut ialah Jabatan Kesihatan W.P Labuan, wakil PIBG, wakil Ahli Lembaga Pengurusan sekolah dan pentadbir sekolah.

Sesi perbincangan telah dipengerusikan oleh Pengarah Pendidikan W.P Labuan, Encik Yusup bin Haji Mohamad.

“Hasil daripada pemantauan oleh Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) W.P. Labuan, terdapat beberapa perkara yang perlu ditambahbaik di peringkat sekolah bagi memastikan sesi pembelajaran bersemuka dapat dilaksanakan dalam keadaan selamat”

“Kita mahu anak-anak yang hadir untuk sesi pembelajaran secara bersemuka sentiasa berada dalam keadaan selamat. Ini termasuklah langkah-langkah kawalan keselamatan di seluruh kawasan sekolah dan tidak terhad kepada di dalam bilik darjah sahaja” kata beliau.

Timbalan Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri, Dr. Mohd Zaki bin Abd Hamid berkata pematuhan kepada SOP adalah sangat penting bagi mengekang penularan pandemik terutamanya di peringkat sekolah.

Pihaknya juga sentiasa bersedia untuk memberi kerjasama kepada mana-mana pihak dalam membantu menambahbaik langkah-langkah kawalan premis dalam mencegah Covid-19 daripada terus merebak.

Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Timbalan Pengarah Sektor Perancangan, Encik Mohd Nizam bin Yasim, Timbalan Pengarah Sektor Pengurusan Sekolah, Puan Maimoon binti Matnoh dan KPP Sektor Infrastruktur dan Perolehan, Encik Boney Jumil.

Berita Oleh : Sektor Perancangan

image_pdfimage_print