Semua Sekolah Menengah Patuhi SOP Pengoperasian Hari Pertama Persekolahan 2021

Labuan, 21 Jan – Tinjauan oleh pegawai-pegawai Jabatan Pendidikan Negeri hari ini mendapati pengoperasian hari pertama persekolahan di 10 buah sekolah menengah di Labuan telah berjalan dengan lancar. Semua pegawai angkat sekolah telah diminta untuk membuat tinjauan dan memberi khidmat bantu berkaitan tatacara pengoperasian sekolah bagi memastikan kesiapsiagaan sekolah dalam mematuhi SOP yang telah diwartakan oleh Majlis Keselamatan negara (MKN) dan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

Sesi tinjauan yang turut disertai oleh Jabatan Kesihatan Negeri dan Pegawai Perhubungan Sekolah (PPS) daripada PDRM telah diselaraskan oleh Puan Maimoon binti Matnoh, Timbalan Pengarah Sektor Pengurusan Sekolah. Menurut beliau, tinjauan pada hari ini adalah bagi memastikan 10 sekolah menengah termasuk Kolej Vokasional telah bersedia untuk menerima murid Tingkatan 5 kohort 2020 dan Tingkatan 6.

“Tinjauan ini juga termasuk pematuhan kepada model pengawalan keberadaan murid di pintu pagar sekolah yang telah dikeluarkan oleh KPM mengikut kesesuaian lokaliti sekolah. Hal ini sangat penting kerana pihak JPN sentiasa mengutamakan keselamatan murid dalam tempoh PKP ini. Murid-murid dan guru-guru perlu sentiasa mematuhi norma-norma baharu dalam amalan harian dan aktiviti pembelajaran sepanjang masa” ujar beliau lagi.

Encik Yusup bin Mohamad, Timbalan Pengarah di Sektor Pembelajaran (SPb) yang meninjau keadaan di SMK Taman Perumahan Bedaun mendapati pihak sekolah telah bersedia sepenuhnya untuk menerima murid seawal jam 6 pagi.

“Pihak sekolah telah berjaya menyusun dengan baik pergerakan murid bermula daripada pintu pagar sekolah sehingga ke dalam bilik darjah. Kita dapati murid-murid juga patuh kepada arahan guru untuk beratur dengan tertib, membuat pemeriksaan suhu badan, sanitasi tangan dan seterusnya bergerak ke kelas masing-masing untuk memulakan sesi pembelajaran.” kata beliau.

Tinjauan di SMK Mutiara pula turut disertai oleh Pegawai Perhubungan Sekolah (PPS) daripada IPD Labuan, ASP Haslina bin Hassan. Beliau turut memuji kesiapsiagaan dalam menangani pandemik Covid19 di peringkat sekolah.

“Saya sempat meninjau di dalam bilik darjah juga mendapati bilik darjah telah disusun mengikut jarak yang sesuai dengan SOP yang telah ditetapkan. Sabun pembersih tangan telah disediakan oleh pihak sekolah di tempat-tempat yang strategik bagi membolehkan murid-murid mengamalkan pembersihan tangan secara kerap” ujar beliau.

Sesi persekolahan di SMK Lajau juga berlangsung dengan baik. Menurut Puan Maimoon binti Matnoh, Timbalan Pengarah Sektor Pengurusan Sekolah, pihak sekolah telah berjaya menyusun pergerakan murid dengan baik dengan mengamalkan penjarakan fizikal bermula daripada pintu pagar sekolah hingga ke bilik darjah. Dalam sesi lawatan ke kelas-kelas, beliau sempat memberi motivasi kepada murid-murid yang telah ‘bercuti’ lama.

“Kami berpuas hati dengan tahap kesiapsiagaan sekolah menerima kehadiran murid hari ini. Guru-guru juga kelihatan begitu komited dan teruja untuk mengadakan sesi PdP secara bersemuka bersama-sama dengan murid” kata beliau.

Pengarah Pendidikan, Puan Khaziyati binti Osman sempat meninjau sesi persekolahan di SMK Labuan yang menerima murid paling ramai hari ini. Kunjungan ini juga turut disertai oleh kakitangan Jabatan Kesihatan Negeri yang telah diketuai sendiri oleh pengarahnya, Dr. Ismuni Bohari. Menurut pengetuanya, Encik Ismail Abdullah berkata seramai 232 murid Tingkatan 5 kohort 2020 dan 312 pelajar Tingkatan 6 hadir ke sekolah hari ini.

Puan Khaziyati melahirkan penghargaan dan terima kasih kepada semua pihak terutamanya pentadbir sekolah yang begitu komited dalam memastikan pematuhan kepada SOP bagi mengelak penularan pandemik Covid19 di dalam premis sekolah.

“Jabatan Pendidikan sangat komited untuk terus mengamalkan norma-norma baharu dalam tempoh kritikal ini. Saya berharap agar amalan ini konsisten daripada hari pertama sehingga ke hari terakhir persekolahan. Kerjasama daripada pelbagai pihak sangat dialu-alukan bagi memberi cadangan penambahbaikan kepada SOP sedia ada bagi meningkatkan keberkesanan kawalan penularan Covid19 terutamanya daripada Jabatan Kesihatan Negeri dan PDRM” kata beliau lagi.

Ketika mengulas dapatan laporan kehadiran murid hari ini, Encik Abdul Rahman Ahmad, Timbalan Pengarah Sektor Pembangunan Murid (SPM) memaklumkan seramai 911 murid daripada 984 murid tingkatan lima kohort 2020 atau 93.89% murid telah hadir sesi bersemuka di sekolah hari ini.

Sesi persekolahan hari ini tidak melibatkan murid pra sekolah, sekolah rendah dan murid-murid Tingkatan 1 hingga 5 kohort 2021.

Berita Oleh : Encik Mohd Nizam Yasim, Sektor Perancangan, JPWPL

Murid SMK Pantai mengimbas suhu terlebih dahulu sebelum memasuki kawasan sekolah

image_pdfimage_print