Perkukuh Jalinan Kerjasama DI Antara JPWPL Dan MAIWP

Khaziyati Osman (duduk empat dari kiri), Wan Maizatun Binti Wan Hassan (duduk empat dari kanan), Yusup Hj Mohamad (duduk tiga dari kiri), Ahmad Saifuddin bin Hj Md. Tahir (duduk tiga dari kanan),Tuan Nurul Amali Bin Shamsuddin (duduk dua dari kiri), Tn Wan Jamaludin Bin Wan Bidin (duduk dua dari kanan) bergambar bersama ahli rombongan dan pegawai-pegawai JPWPL.

Labuan, 26 Ogos – Lawatan Kerja Rasmi Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) ke Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan (JPWPL) bertempat di Sektor Sumber Pendidikan Negeri (SSTP) yang julung kali diadakan kelmarin telah mencapai kata sepakat yang jelas terhadap kesiapsiagaan pendaftaran SMA MAIWP sebagai Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK) yang pertama di wilayah ini.

Lawatan Kerja Bahagian Pembangunan Insan, Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan seramai 10 ahli rombongan telah diketuai oleh Timbalan Pengurus Bahagian Pembangunan Insan, Wan Maizatun Binti Wan Hassan. Turut hadir Pengetua Sekolah Menengah Agama Kuala Lumpur, Tuan Nurul Amali Bin Shamsuddin, Pengetua Sekolah Menengah Integrasi Sains Tahfiz (SMISTA) MAIWP,Tn Wan Jamaludin Bin Wan Bidin, Ketua Unit Pendidikan Menengah, Bahagian Pembangunan Insan, Abdul Halim Bin Sulaiman.

Hadir sama dalam sesi lawatan kerja tersebut ialah Pengurus MAIWP Labuan (MAIWPL) iaitu Ahmad Saifuddin bin  Hj Md. Tahir, Pengetua SMA MAIWP , Mohd Hasnizan Bin Hasin serta pegawai-pegawai daripada MAIWPL. Timbalan Pengarah Sektor Pembelajaran Encik Yusup Bin Hj Mohamad, Timbalan Pengarah Sektor Pembangunan Murid Encik Abdul Rahman Bin Ahmad, Ketua Penolong Pengarah Sektor Pendidikan Islam Kamariah Binti Salim selaku urusetia lawatan, Ketua-ketua penolong pengarah dan penolong-penolong pengarah.

Pengarah Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan, Khaziyati binti Osman mengalu-alukan semua ahli rombongan ke pulau yang indah ini untuk Lawatan Kerja Rasmi Bahagian Pembangunan Insan, Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) ke Jabatan Pendidikan W.P.Labuan dan melahirkan rasa syukur di atas usaha yang bersungguh-sungguh pihak MAIWP untuk pendaftaran SMA MAIWP sebagai SABK.

 “Saya difahamkan Lawatan Kerja Rasmi, Bahagian Pembangunan Insan, Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan pada petang ini adalah untuk membincangkan berkaitan SMA MAIWP Labuan. Semoga urusan pendaftaran sebagai Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK) dapat direalisasikan. Ia merupakan satu usaha murni kerajaan untuk membantu dan memperkasakan sekolah – sekolah agama di Malaysia khususnya di W.P.Labuan. Ini merupakan peluang yang sangat berharga bagi kecemerlangan pendidikan di Wilayah Persekutuan Labuan.” katanya.

Menurutnya lagi, bagi memenuhi permintaan komuniti setempat terhadap pendidikan agama. Terdapat 3 buah sekolah yang menawarkan Kelas Aliran Agama (KAA) di iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan Mutiara untuk tingkatan 1 hingga 5 dengan jumlah pelajar seramai 162 orang, KAA di SMK Rancha-Rancha untuk tingkatan 1 hingga 3 dengan jumlah pelajar seramai 66 orang dan KAA di SMK Taman Perumahan Bedaun untuk tingkatan 1 hingga 3 dengan jumlah pelajar seramai 58 orang.

Kini, JPWPL dalam proses merangka pemusatan Kelas Aliran Agama di sebuah sekolah menengah agar perlaksanaan kelas aliran agama lebih teratur dan sistematik. Pelan jangka panjang pemusatan ini sehingga 2023.

Timbalan Pengurus Bahagian Pembangunan Insan MAIWP, Wan Maizatun Binti Wan Hassan turut merakamkan ucapan tahniah di atas pelantikan Puan Khaziyati sebagai Pengarah JPWPL yang baharu.

“Alhamdulillah, kami di Bahagian Pembangunan Insan MAWIP amat berbesar hati di atas lawatan mesra kali pertama di JPWPL dan berdoa agar lawatan kerja ini dapat mengukuhkan lagi jalinan kerjasama yang lebih erat di antara MAWIP dengan JPWPL. Mesej utama dalam lawatan ini adalah berkaitan halatuju dan masa hadapan SMA MAIWP menjadi SABK”. Katanya.

Menurutnya lagi, SMA MAIWP Labuan telah beroperasi selama 10 tahun dengan cemerlang. Kini, pihak MAIWP telah bersedia untuk menyerahkan SMA MAIWP kepada Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) khususnya dari segi kepakaran pendidikan.

Pengoperasian SMA MAIWP Labuan bermula 15 Januari 2011. Ia merupakan tanda keperihatinan kerajaan dalam memenuhi hala tuju pendidikan Sekolah Rendah Agama Islam di Wilayah Persekutuan Labuan, Sabah dan Sarawak ke peringkat yang lebih tinggi. SMA MAIWP Labuan merupakan cawangan SMA MAIWP Kuala Lumpur yang telah diwujudkan sejak tahun 2007. SMA MAIWP Labuan berorentasikan Sekolah Menengah Berasrama Penuh Aliran Agama yang pertama di Wilayah Persekutuan Labuan di mana semua pelajar perlu tinggal di asrama yang dikendalikan di Darul Kifayah.

Dalam sesi lawatan tersebut turut diadakan perkongsian pengoperasian SMA MAIWP Kuala Lumpur yang disampaikan oleh pengetuanya Tuan Nurul Amali Bin Shamsuddin. Manakala perkongsian pengoperasian SMA Sekolah Menengah Integrasi Sains Tahfiz, Kuala Lumpur (SMISTA) disampaikan oleh Tuan Wan Jamaludin Bin Wan Bidin.


Khaziyati binti Osman (dua dari kiri) menyampaikan cenderamata kenangan kepada Wan Maizatun binti Wan Hassan (tengah). Turut sama Yusup Hj Mohamad (kiri), Ahmad Saifuddin bin Hj Md. Tahir (dua dari kanan),Tn Wan Jamaludin Bin Wan Bidin (kanan).

Kamariah binti Salim sedang mengajukan soalan berkaitan pengoperasian SABK semasa sesi dialog bersama MAIWP.

image_pdfimage_print