Guru SMK Mutiara Dapat Bimbingan Pengisian Deskripsi Tugas Melalui egHRMIS

Labuan- Seramai lebih 50 guru SMK Mutiara telah menerima taklimat dan bimbingan secara langsung berkaitan pengisian Deskripsi Tugas (Job Description) melalui platform egHRMIS secara online pada Rabu lalu.

Bimbingan yang diadakan di bilik mesyuarat SMK Mutiara telah dipimpin oleh Encik Azreyn bin Haji Mamma, pegawai daripada Sektor Sumber Manusia, Jabatan Pendidikan W.P Labuan.

Menurut pengetua SMK Mutiara, Encik Mohd Nizam bin Yasim, bengkel tersebut diadakan bagi memudahkan guru-guru membuat pengisian Deskripsi Tugas masing-masing di dalam platform HRMIS. Pengisian JD ini adalah keperluan baharu sebagai alternatif kepada penggunaan myPortfolio yang dibuat secara manual.

“Penggunaan HRMIS sebagai platform pengurusan kerajaan telah memasuki era pendigitalan secara menyeluruh secara berperingkat. Setiap guru sebagai Pemilik Kompetensi (CO) perlu menyenggara dan memastikan maklumat dan data berkaitan diri, perkhidmatan dan tugas masing-masing perlu sentiasa kemaskini dan mudah diakses pada masa yang diperlukan” ujarnya lagi.

Fasilitator bengkel, Encik Azryen menyifatkan inisiatif pihak sekolah ini adalah langkah proaktif khususnya dalam memberi kefahaman secara lebih mendalam kepada guru-guru berkaitan perkara ini.

“Bengkel ini diadakan secara ‘hands on’ bagi memberi kefahaman yang jitu kepada pemilik-pemilik kompetensi (CO) dalam mengurus HRMIS masing-masing. Guru-guru juga mendapat panduan yang lebih jelas bagi memastikan aspek-aspek teknikal pengisian dapat dibuat dengan betul” kata beliau lagi.

Guru-guru yang hadir telah melahirkan rasa puashati dengan bimbingan yang telah diberikan malah ada dalam kalangan mereka berjaya menyiapkan pengisian JD masing-masing dalam tempoh 2 jam bengkel berlangsung.

Di akhir bengkel, pihak sekolah telah menyampaikan sijil penghargaan kepada Encik Azreyn dan Jabatan Pendidikan W.P Labuan. Sijil-sijil telah disampaikan oleh pengetua sekolah.

Turut hadir di dalam bengkel tersebut ialah penolong-penolong kanan dan guru-guru kanan mata pelajaran.

image_pdfimage_print