Puteri Helena Yasmeen Tokoh Nilam Bahasa Inggeris Labuan 2020

Puteri Helena Yasmeen (kanan) bersama Guru Pembimbing Puan Maslina

Labuan, 9 Mac 2020 – Puteri Helena Yasmeen pelajar SMK Labuan telah berjaya meraih Tokoh Nilam Bahasa Inggeris Peringkat Wilayah Persekutuan Labuan Tahun 2020.

Anugerah Tokoh Nilam ini telah berlangsung pada 4 hingga 6 Mac 2020 di Sektor Sumber dan Teknologi Pendidikan, WP Labuan.

Pertandingan ini bertujuan untuk memberi pengiktirafan kepada murid yang telah berjaya menjalankan Program Nilam dengan memenuhi kriteria yang ditetapkan selain memberi penghargaan atas usaha gigih murid dalam aktiviti pembacaan.

Antara kategori yang dipertandingkan ialah Anugerah Tokoh Nilam Bahasa Melayu (Sekolah Rendah dan Menengah) dan Anugerah Tokoh Nilam Bahasa Inggeris (Sekolah Rendah dan Menengah) serta Folio terbaik Bahasa Melayu dan Bahasa Ingggeris (Sekolah Rendah dan Menengah).

Puteri Helena dibimbing oleh Guru Perpustakaan Media (GPM) SMK Labuan Puan Maslina Arifin.

Sementara itu, Pengetua SMK Labuan Ismail Abdullah mengucapkan terima kasih atas usaha kolaboratif antara GPM dengan Panitia Bahasa Inggeris dan Bahasa Melayu membantu persiapan peserta SMK Labuan.

“Usaha ini juga untuk membentuk sikap murid untuk rajin membaca serta memupuk kebolehan murid berkomunikasi dengan yakin,” Encik Ismail Abdullah

Majlis telah dirasmikan oleh Ketua Penolong Pengarah Sektor Sumber Teknologi Pendidikan, Encik Ag Marten bin Datuk Haji Abd Rahman.

Beliau berharap kepada murid-murid agar aktiviti-aktiviti dan pendedahan yang diberikan akan menjadikan mereka lebih berkeyakinan untuk terus aktif dalam pembacaan serta mampu mempengaruhi dan memimpin murid-murid lain untuk sama-sama membaca.

Pertandingan peringkat kebangsaan akan diadakan di Sektor Sumber Teknologi Pendidikan, Jabatan Pendidikan Selangor pada 30 Mac hingga 1 April depan.

Berita Oleh : SMK Labuan

Puteri Helena Yasmeen menerima anugerah Tokoh Nilam BI daripada Encik Ag Marten

image_pdfimage_print