Sukantara SMK Mutiara Berlangsung Meriah, Pupuk Budaya Saing Positif

Murid sedang bertanding dalam acara lontar peluru

Labuan, 22 Januari 2020 – Sekolah Menengah Kebangsaan Mutiara, Wilayah Persekutuan Labuan telah mengadakan kejohanan sukantara peringkat sekolah bertempat di Kompleks Sukan Labuan dari 16 hingga 22 Januari 2020 mulai jam 2 hingga 4 petang.  Aktiviti ini yang diadakan di Kompleks Sukan Labuan turut disertai oleh murid-murid Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI).

Sukantara bertujuan memberi peluang kepada semua murid termasuk murid PPKI mewakili pasukan rumah sukan masing-masing dan menyumbang kepada pungutan mata keseluruhan. Pungutan mata terkumpul akan ditambah dengan sejumlah mata dalam Kejohanan Sukan Tahunan yang dijangka akan dilangsungkan pada pertengahan Februari nanti.

Antara acara yang dipertandingan ialah lontar peluru, lompat jauh, larian 100 meter pecut dan acara 400 meter. Sebahagian besar murid telah mengikuti pelbagai acara termasuk 47 orang murid PPKI yang diiringi oleh 16 orang guru termasuk Penolong Kanan Pendidikan Khas, Puan Roslaniah binti Zainal dan 4 orang Pembantu Pengurusan Murid (PPM).

Pelbagai acara telah disusun khusus menguji kemampuan mental dan fizikal para peserta untuk melepasi had masa dan had jarak dalam usaha memunggut sebanyak mungkin mata bagi disumbang kepada pasukan rumah masing-masing.

“Melalui aktiviti sukantara ini, murid-murid pelbagai peringkat keupayaan dalam bidang sukan dapat bersama-sama menyumbang mata kepada rumah sukan masing-masing” ujar Puan Roslaniah.

Guru sedang memberi penerangan kepada para peserta

Bagi guru pula, pengetahuan, kemahiran dan pengalaman mengendalikan sukantara akan digunakan sepenuhnya dalam pengelolaan kejohanan sukan peringkat sekolah nanti.

Pengetua SMK Mutiara, Encik Mohd Nizam bin Yasim berkata melalui penyertaan sukantara ini dapat menggalakkan murid-murid agar sentiasa mengamalkan cara hidup yang sihat ke arah kecerdasan dan kesejahteraan hidup. Di samping itu, murid-murid dapat membentuk sahsiah dan disiplin melalui aktiviti permainan yang terancang.

“Aktiviti sukantara ini meninggalkan kesan yang sangat baik untuk seluruh warga sekolah  tidak kira guru, murid dan PPM kerana dapat mengeratkan ikatan silaturrahim di antara semua melalui aktiviti yang diadakan bersama dan memupuk budaya saing yang positif di dalam suasana pertandingan yang komprehensif” Encik Mohd Nizam Yasim.

Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada semua warga sekolah atas sumbangan usaha, tenaga dan masa dalam menjayakan sukantara tahun ini.

Berita Oleh : SMK Mutiara

Acara lompat jauh
Acara larian 100 meter pecut

image_pdfimage_print