Murid SMK Mutiara Dinobat Adiwira Muda Pendidikan Labuan

Ansarullah (berdiri kiri) bersama para pemain dan lagenda badminton negara Koo Kien Kiat

Labuan, 16 Januari 2020 – Kejayaan menjadi naib johan perseorangan lelaki dalam pertandingan Juara Tangkis, Piala Tun Dr. Siti Hasmah telah membawa tuah kepada adik Mohd Ansarullah Bin Sabarudin, murid Tingkatan 4 di SMK Mutiara.

Selain berjaya merangkul hadiah tunai dan medal dalam pertandingan tersebut, beliau telah dipilih sebagai salah seorang Adiwira Muda peringkat Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan.

10 orang murid menerima Adiwira Muda Pendidikan Labuan

Anugerah telah disampaikan dalam majlis perhimpunan bulanan Januari yang telah diadakan pada 16 Januari 2020 di Bahagian Sumber dan Teknologi Pendidikan Negeri (BSTP). Anugerah Adiwira Muda adalah cetusan idea Encik Raisin bin Saidin, Pengarah Pendidikan W.P. Labuan untuk mengiktiraf kejayaan-kejayaan murid Labuan di peringkat kebangsaan dan antarabangsa. Anugerah ini mula diperkenalkan mulai tahun 2019.

Adik Ansarullah menerima sijil penghargaan daripada Encik Raisin Saidin

Adik Mohd Ansarullah telah berjaya melayakkan diri terpilih dalam kalangan 96 pemain badminton muda berbakat seluruh negara dalam program Juara Tangkis Tun Dr Siti Hasmah.

Program ini merupakan sebuah program pembangunan dan kejohanan badminton yang diperakui di peringkat kebangsaan yang dianjurkan oleh Kelab Badminton Sport Affairs dengan sokongan aktif dan perakuan daripada Kementeriaan Belia dan Sukan, Kementerian Pendidikan Malaysia, Majlis Sukan Negara dan Persatuan Badminton Malaysia yang diurus oleh Ikon badminton negara pada era 90-an Rashid Sidek. Objektif program ini adalah untuk mencari, memupuk dan membentuk juara masa hadapan.

Adik Mohd Ansarullah bermula dengan menyertai pemilihan yang diadakan di Kompleks Belia dan Sukan, Kota Kinabalu Sabah pada 20 November 2019 bersama 9 orang pemain lain yang terpilih dari beberapa buah sekolah di Labuan.

Dalam pemilihan tersebut adik Mohd Ansarullah telah berjaya terpilih menjadi wakil tunggal W.P Labuan seterusnya mewakili Pasukan Satria bersama dengan 4 orang lagi pemain dari Sabah yang dibimbing oleh bekas pemain legenda negara Koo Kien Keat dalam acara berpasukan (kategori perseorangan lelaki, perseorangan perempuan, beregu campuran, beregu lelaki dan beregu perempuan).

Kejohanan Juara Tangkis Tun Dr Siti Hasmah telah diadakan pada 20 – 21 Disember 2019 bertempat di Dewan Seri Sarjana, Uniten Bangi Selangor Darul Ehsan.

Setelah melalui dua peringkat perlawanan, akhirnya Pasukan Satria telah berjaya mara ke peringkat akhir menentang Pasukan Unggul yang dibimbing oleh seorang lagi ikon badminton negara iaitu Zakry Latif. Walau bagaimanapun pasukan Satria gagal menyaingi kehebatan pasukan Unggul dalam pertandingan akhir tersebut.

Kejayaan adik Mohd Ansarullah adalah hasil daripada usaha gigihnya sendiri bermula sejak sekolah rendah lagi di SK Bukit Kalam. Minatnya yang mendalam dan impiannya untuk mengikut jejak langkah Datuk Lee Chong Wei yang sering berjuang mengharumkan negara menjadi motivasi kepada dirinya.

Ketika ditemui, Adik Mohd Ansarullah melahirkan rasa syukur dan terima kasihnya yang tidak terhingga kepada kedua ibu bapanya yang sentiasa menjadi tulang belakang dan sentiasa ada memberi dorongan, sokongan dan mendoakan kejayaan untuk dirinya.

Beliau juga turut mengucapkan terima kasihnya kepada jurulatih yang pernah membimbingnya, guru-guru dan rakan-rakan.

Pengetua SMK Mutiara, Mohd Nizam bin Yasim turut memuji semangat juang dan jatidiri adik Mohd Ansarullah dalam mengejar impiannya dalam permainan badminton sehingga berjaya mencipta kejayaan di peringkat kebangsaan. Beliau turut menyeru agar murid-murid SMK Mutiara yang lain mencontohi adik Mohd Ansarullah dalam mengejar impian dan kejayaan.

Berita Oleh : SMK Mutiara

image_pdfimage_print