Alumni GES 1969 kunjungi semula SMK Labuan

Encik Ismail bersama ahli rombongan GES 1969 di hadapan Dewan Mutiara SMK Labuan

Labuan, 2 Dis – Seramai 33 bekas pelajar Government English School (GES) 1969 hadir untuk melawat SMK Labuan dan melihat kembali bangunan lama dan kelas-kelas yang mereka pernah duduki semasa bersekolah dahulu untuk mengembalikan nostalgia zaman persekolahan mereka, 16 November lalu.

Rombongan GES yang diketuai oleh Tuan Haji Saadun Datuk Haji Fadzil seorang pesara yang kini menetap di Kota Kinabalu berkata, kunjungan ke SMK Labuan adalah sebahagian pengisian acara GES Golden Reunion 50th Celebration.

Katanya, kebanyakan peserta rombongan ini adalah bekas pelajar yang kini adalah pesara yang menetap di dalam dan luar negara.

Antaranya ialah Tan Seck Yeong (pesara di Labuan), Wong Moi Moi (pesara di Labuan), Chong Su Liam (pesara di Birmingham, United Kingdom), John Liew (pesara di Vancouver, Canada) dan Patrick Leong (pesara di Kota Kinabalu).

Selain itu, John Bryant (pesara di Brunei Darussalam), John Han (pesara di Kota Kinabalu), Peter Yong (pesara di St Alban, United Kingdom), Huan Song Ng (pesara di England) dan Robin Medrana (pesara di Perth Australia).

“Tentu sekali banyak kenangan ketika berada di SMK Labuan. Semoga SMK Labuan terus cemerlang dalam bidang akdemik, kokurikulum dan sahsiah,” kata Tuan Haji Saadun yang teruja dapat bertemu semula dengan rakan-rakannya sekali gus dapat kembali semula ke SMK Labuan.

Alumni GES tidak melepaskan peluang mengunjungi bangunan dan kelas lama mereka
Ahli rombongan menandatangi buku pelawat

Rombongan GES disambut oleh Pengetua SMK Labuan Encik Ismail Abdullah, bersama guru-guru iaitu Cikgu Chua Chee Kiat, Cikgu Teo Boon Chian, Cikgu Rubaizah Basir, Cikgu Alex Liew Ten Shung dan Cikgu Wong Kam Kin.

Aktiviti ringkas dimulakan dengan sesi bergambar dan penyampaian cenderahati daripada Saadun kepada Ismail seterusnya dibawa ke bangunan lama dan kelas-kelas mereka dahulu.

Sementara itu, Encik Ismail berharap agar jalinan antara generasi senior sekolah ini dengan SMK Labuan akan membawa manfaat dalam pelbagai bentuk sama ada perkongsian pengalaman, bantuan idea, kewangan dan material pada masa hadapan.

Beliau juga mempelawa ahli-ahli rombongan untuk mengunjungi SMK Labuan sekali lagi sempena Sambutan SMK Labuan 100 Tahun pada tahun 2021.

“Saya mempelawa alumni SMK Labuan untuk menghadiri Sambutan SMK Labuan 100 Tahun pada tahun 2021. Saya yakin alumni akan membantu SMK Labuan dalam pelbagai aspek,” Encik Ismail Abdullah

Pada tahun 2017, seramai lima orang bekas murid GES sekitar tahun 1950-an dan 1960-an juga telah melawat SMK Labuan.

Klik sini, berita 2017 : Imbau Nostalgia Government English School (GES) yang kini dikenali sebagai SMK Labuan

Berita Oleh : SMK Labuan

Tuan Haji Saadun memberi cenderamata kepada Encik Ismail
Alumni GES teruja teruja dapat melawat kelas lama mereka

image_pdfimage_print