Pertandingan Keyboard Music Time Peringkat Kebangsaan Zon Malaysia Timur Tahun 2019 : Julung Kali Diadakan Di Labuan

Pasukan SK Pekan Dua, Juara Pertandingan Keyboard Music Time Kategori Tahap 1

Labuan, 14 Nov – Jabatan Pendidikan W.P Labuan buat julung kalinya telah diberikan kepercayaan untuk mengelolakan Pertandingan Keyboard Music Time Sekolah-Sekolah Rendah Peringkat Kebangsaan Zon Malaysia Timur Tahun 2019 melibatkan negeri Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan dengan kerjasama Financial Park (Labuan) Sdn. Bhd.

Program yang dianjurkan oleh Yamaha Music Malaysia Sdn Bhd dengan kerjasama Bahagian Sukan, Kokurikulum dan Kesenian (BSKK), Kementerian Pendidikan Malaysia dan Jabatan Pendidikan W.P Labuan telah berlangsung dengan jayanya di Dewan Konvensyen, Kompleks Ujana Kewangan WP Labuan, kelmarin.

Matlamat program ini bertujuan untuk menanam minat murid dari pelbagai latar belakang dan kaum untuk menguasai kemahiran muzik, di samping sebagai aktiviti menyokong dalam melaksanakan perpaduan di dalam kesenian muzik.

Pertandingan dibahagikan kepada murid sekolah rendah, kategori tahap 1 dan tahap 2, di mana setiap pasukan mestilah berjumlah antara 8 hingga 10 orang bagi setiap kategori.

Majlis telah disempurnakan oleh Encik Raisin Saidin, Pengarah Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan.

Encik Raisin Saidin berkata, kedatangan para peserta, guru, ibu bapa memberi ruang dan peluang kepada murid-murid di sini menyaksikan satu pertandingan muzik yang bukan sahaja berprestij malah pastinya akan menghiburkan sidang hadirin yang hadir menyaksikan pertandingan ini.

Beliau berkata lagi, sistem pendidikan muzik yang komprehensif dalam membangunkan kemahiran dan kecenderungan terhadap muzik melalui aktiviti seperti nyanyian, bermain alat muzik dan mencipta melodi indah yang boleh dibawa ke pentas yang lebih besar seperti bermain dalam orkestra di peringkat antarabangsa.

Encik Raisin Saidin juga menyarankan agar pihak Yamaha Music Malaysia Sdn Bhd mengembangkan lagi penganjuran ini dengan mengadakan Karnival Keyboard Music Time melibatkan negara-negara ASEAN seperti Indonesia dan Vietnam.

Pasukan keyboard SK Sungai Bedaun ceria bersama piala dan sijil kejuaraan kategori tahap 2

Sementara itu, Pengarah Pengurusan, Yamaha Music Malaysia Sdn Bhd, Mr Satohiro Kondo berkata matlamat utama Yamaha Music ialah menanam kecintaan terhadap muzik dalam jiwa setiap insan. Di Yamaha Music School, pelbagai variasi pembelaran muzik disediakan untuk semua peringkat umur, bermula seawal dua tahun lagi.

Pertandingan Keyboard Music Time ini telah dimenangi oleh pasukan Wilayah Persekutuan Labuan diwakili SK Pekan Dua dan SK Sungai Bedaun dengan masing masing menjuarai kategori tahap 1 dan 2.

Turut hadir dalam majlis tersebut, Penolong Pengarah Unit Pembangunan dan Kecemerlangan Seni, BSKK KPM, Puan Nor Hapipah nt Hj Md Shah, Timbalan Pengarah, Sektor Pembangunan Murid, Encik Asbola @ Hasbollah bin Amit dan Eksekutif Pemasaran, Financial Park (Labuan) Sdn Bhd, Encik Mohd Siaful bin Jaafar.

Pasukan Keyboard dari negeri Sabah
Pasukan Keyboard dari negeri Sarawak
Dari kiri : Encik Saiful, Mr Satohiro Kondo, Encik Raisin Saidin, Encik Asbolla, Puan Nor Hapipah bersama para juri

Fotografi oleh : Jeevareani A/L Samikanu dan Guru SK Sungai Bedaun

image_pdfimage_print