RIMUP Raya dan Program DWEN Mengeratkan Perpaduan Warga SK Sungai Bedaun

Labuan- Program Rancangan Integrasi Murid Untuk Perpaduan (RIMUP) Sambutan Aidilfitri dan Program Dasar Warga Emas Negara (DWEN) yang diadakan di Sekolah Kebangsaan Sungai Bedaun (SKSB) 14 jun lalu, menyaksikan keakraban antara murid, guru, ibu bapa, pekerja am, PIBG dan masyarakat sekitar tanpa mengira latar belakang dalam suasana yang sungguh meriah dan berwarna-warni.

Program RIMUP yang diperkenalkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) bertujuan untuk mempertingkat dan menyuburkan semangat kerjasama antara kaum sebagai pemangkin kepada perpaduan nasional.

Menurut Pn Dg. Sarifah Binti A. Mahmod Guru Besar SKSB, Program RIMUP Aidilfitri dan DWEN yang diadakan di SKSB  bertujuan untuk menggalakkan penyertaan masyarakat setempat bersama warga sekolah dalam kegiatan-kegiatan khas secara bersama.

“Kita berharap melalui program sebegini dapat melahirkan sikap kerjasama, tolong-menolong dan mewujudkan suasana muhibah di kalangan murid-murid dan masyarakat setempat secara sedar dan terancang. Suasana seperti ini sudah pasti dapat melahirkan persefahaman dan toleransi antara murid yang pelbagai kaum di sekolah ini”. Katanya ketika berucap dalam majlis berkenaan.

Katanya lagi, “RIMUP khas sempena perayaan kali pertama dianjurkan untuk tahun ini pada 11 Februari lalu bagi sambutan Tahun Baru Cina manakala kali ini pula sempena Hari Raya Aidilfitri. Majlis ini memang sangat dinantikan oleh murid-murid malah guru-guru juga . Ia adalah inisiatif yang baik bagi menanamkan semangat keakraban antara satu sama lain tanpa mengira latar belakang, kaum dan agama”.

“Tahniah kepada Unit Hal Ehwal Murid (HEM) kerana dapat merancang aktiviti ini  dalam jangka masa yang singkat. Majlis ini perlu dilaksanakan di sekolah supaya murid-murid dapat bersama-sama meraikan sambutan Hari Raya dan merasai kepelbagaian budaya dalam masyarakat yang berbilang bangsa sebagaimana termaktub dalam Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (PIPP) 2006-2010 iaitu ‘Membina Negara Bangsa”. Ujarnya lagi.

Puan Dg.Sarifah (Berdiri lapan dari kanan), Fam Siat Ling (berdiri lapan dari kiri) merakamkan gambar kenangan bersama ibubapa, guru-guru dan murid-murid semasa majlis Rimup Aidilfitri diadakan.

Majlis berkenaan diserikan dengan kehadiran dua orang warga emas yang diundang bagi Program DWEN iaitu Pn Aishah dan Pn Rokiah. Mereka telah menunjukkan cara menganyam ketupat yang merupakan juadah istimewa di hari raya. Murid-murid dan guru-guru begitu teruja mempelajari cara menganyam ketupat.

Bagi mengaplikasikan sesi pembelajaran tersebut, pertandingan menyanyam ketupat telah diadakan dengan disertai seramai 20 orang murid tahun 4, 5  dan 6. Johan pertandingan ini adalah kumpulan 4 yang disertai murid tahun 5 Baiduri. Naib johan disandang oleh kumpulan 6 daripada kelas 6 Baiduri manakala tempat ketiga dimenangi oleh kumpulan 7 daripada murid tahun 6 Delima.

Pertandingan “Glamour Raya” yang disertai 44 orang murid turut diadakan. Murid-murid begitu bersemangat memperagakan pakaian mereka dengan dihiasi hiasan yang sangat menarik.

Majlis tersebut telah dihadiri oleh tetamu jemputan iaitu Sarjan Fam Siat Ling, Pegawai Perhubungan Sekolah (PPS), Pn Wiwik Iswandari Binti Sudirman Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), Pasangan adik beradik Puan  Aisah  Hj Ibrahim dan Puan Rokiah Hj Ibrahim dan En Rosmani Bin Puteh, Ketua kg. Sg Bedaun.

Pelbagai juadah yang beraneka jenis dan lazat disediakan oleh ibu bapa dan guru-guru untuk dinikmati oleh anak-anak SKSB
“Booth” PIBK menjadi tumpuan oleh ibu bapa dan guru-guru untuk menikmati juadah yang sungguh lazat. Kelihatan KK Rosmani (tiga dari kanan) , Wiwik dan Sarifah bersama AJK Pibg.

Pihak sekolah merakamkan ucapan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih  kepada semua pihak khususnya Penggerak IbuBapa dan Komuniti (PIBK)  yang diterajui oleh Puan Wiwik Iswandari Binti Sudirman yang turut sama menyediakan ‘booth’ juadah raya bagi memeriahkan suasana sambutan Rimup Raya di SKSB.

Begitu juga ibu bapa dan guru-guru yang telah menyumbangkan juadah untuk dinikmati oleh anak-anak dan warga SKSB. Semoga para dermawan sekalian diluaskan rezekinya serta dimudahkan urusan hariannya.

Selamat Hari Raya Minal Aidil Wal Faiizin, Maaf Zahir dan Batin.

Berita Oleh : SK Sungai Bedaun

“Sedondon Raya”, Dg. Sarifah ceria bergambar bersama murid-murid yang mengenakan tema warna yang sama.

image_pdfimage_print