Kembar Pengakap Raja SMK Labuan Cemerlang Dalam SPM

Yap Joewin (kiri) dan Yap Melwin (kanan)

Adik beradik kembar Yap Joewin dan Yap Melwin merupakan calon SPM 2018 SMK Labuan yang telah berjaya mencapai keputusan cemerlang.

Yap Joewin telah berjaya mencapai semua A dalam SPM iaitu gred A+ dalam mata pelajaran Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Sejarah, Matematik, Matematik Tambahan, Fizik, Kimia dan Biologi. Gred A dalam Pendidikan Moral serta A- dalam Grafik Komunikasi Teknikal dan Bahasa Cina.

Adiknya Yap Melwin juga mencapai keputusan yang cemerlang iaitu 7A 3B. Iaitu pencapaian gred A+ dalam Sejarah, gred A dalam Bahasa Melayu dan Matematik, serta A- dalam Pendidikan Moral, Matematik Tambahan, Grafik Komunikasi Teknikal  dan Bahasa Cina, mendapat gred B+ dalam Bahasa Inggeris dan Kimia, serta gred B dalam Fizik.

Yap Joewin mencapai 7A dalam UPSR serta 10A dalam PT3, manakala Yap Melwin mencapai 6A dalam UPSR serta 6A dalam PT3.

Anak kembar kepada pasangan Yap Keng Soon seorang peniaga, serta Lau Chin Ying seorang guru Penolong Kanan Kokurikulum SMK Taman Perumahan Bedaun WP Labuan, mempunyai cita-cita yang berbeza. Yap Joewin bercita-cita menjadi seorang Jurutera Mekanikal, manakala Yap Melwin ingin menjadi seorang guru Grafik Komunikasi Teknikal.

Kedua-duanya aktif dalam aktiviti pengakap dan telah diberi matlamat untuk mencapai anugerah Pengakap Raja sebelum mereka tamat tingkatan lima.

Cikgu Lau Chin Ying, Yap Joewin, Encik Ismail, Yap Melwin

Ini merupakan cabaran yang sangat besar kerana persiapan untuk mencapai Pengakap Raja memerlukan mereka melalui beberapa kursus dan ujian, yang terpaksa berjalan seiring dengan usaha untuk mencapai kecemerlangan dalam akademik juga.

Berkat semangat dan dorongan ibu bapa, bimbingan guru pengakap SMK Labuan Cikgu Atiqah Syahidah Abd Rahman serta semua jurulatih daripada Pesuruhjaya Pengakap Negeri WP Labuan, akhirnya mereka dianugerahkan Pengakap Raja pada 10 Nov 2018 yang disampaikan oleh Ketua Pesuruhjaya Pengakap Negara , Y.Bhg. Mej. Jen. Prof Dato’ Dr Haji Mohd Zin bin Bidin.

Kejayaan mencapai keputusan cemerlang dalam SPM membuktikan bahawa penglibatan dalam aktiviti pengakap tidak menjejaskan persiapan akademik mereka, malahan dapat memberi lebih kekuatan dan keyakinan untuk mencapai kejayaan dalam kedua-dua bidang.

Kedua-dua beradik ini mengucapkan terima kasih dan penghargaan terutama kepada ibu bapa, guru-guru SMK Labuan, serta jurulatih-jurulatih daripada Pesuruhjaya Pengakap Negeri WP Labuan yang gigih membimbing mereka hingga berjaya.

Mereka berharap agar kejayaan dalam SPM serta gelaran Pengakap Raja yang mereka perolehi akan menjadi pembakar semangat untuk mereka mencapai kejayaan lebih besar dalam kehidupan akan datang.

Berita Oleh : SMK Labuan

image_pdfimage_print