Pembangunan Profesionalisme Berterusan (CPD) ‘Coaching And Mentoring’ SISC+ Bersama SMK Taman Perumahan Bedaun

Antara yang turut hadir bengkel secara dalam talian, Pengetua SMK Taman Perumahan Bedaun, Encik Ag Rozlan Manan (tengah) , Penolong Kanan Pentadbiran, Puan Chai Yee San (atas dua dari kanan) dan Penolong Kanan Kokurikulum, Puan Lau Chin Ying (barisan dua dari kanan)

Labuan, 2 Mac – Bengkel Pembangunan Profesionalisme Berterusan (CPD) ‘Coaching and Mentoring’ untuk School Leader Team (SLT) dan Middle Leader Team (MLT) SMK Taman Perumahan Bedaun oleh pegawai SISC+ Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan telah diadakan secara dalam talian menggunakan aplikasi ‘Google Meet’.

Bengkel ilmiah ini disampaikan oleh Pegawai SISC+ Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan (JPWPL), Puan Arny Samiraty Abdol Samad. Tujuan utama CPD Coaching and Mentoring ini diadakan adalah untuk memberikan bimbingan kepada School Leader Team (SLT), Middle Leader Team (MLT) di bawah pelaksanaan program Transformasi Sekolah 2025 (TS25).

Sasaran bengkel ini adalah untuk semua SLT dan MLT (semua Penolong Kanan, semua GKB, semua Ketua Panitia dan Penyelaras Mata Pelajaran). Seramai 28 orang guru yang menghadiri bengkel ini yang terdiri daripada Pengetua SMK Taman Perumahan Bedaun (SMKTPB), Encik Ag Rozlan bin Hj Manan, Penolong Kanan Pentadbiran, Puan Chai Yee San, Penolong Kanan HEM, Encik Awang Adi Bin Tuah, Penolong Kanan Kokurikulum, Puan Lau Chin Yin, Guru Kanan Bidang Bahasa, Guru Kanan Bidang Kemanusiaan, Guru Kanan Bidang Sains dan Matematik, Guru Kanan Bidang Vokasional dan Teknologi, dan semua Ketua Panitia Mata Pelajaran.

Pengetua SMK Taman Perumahan Bedaun, Encik Ag Rozlan bin Hj Manan merakamkan ucapan terima kasih kepada pegawai SISC+ Sektor Pembelajaran, Jabatan Pendidikan Labuan yang sudi meluangkan masa membimbing SLT dan MLT SMKTPB.

Beliau turut memaklumkan bahawa Bengkel CPD Coaching and Mentoring di SMKTPB dilaksanakan sepanjang tahun. Bengkel CPD Coaching and Mentoring yang dilaksanakan ini merupakan salah satu langkah menuju ke arah melahirkan modal insan unggul melalui Empat Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) Pendidikan di bawah Program TS25 iaitu disokong kepimpinan yang berkualiti dan berwawasan, guru yang kompeten dan beraspirasi tinggi, persekitaran pembelajaran yang menyeronokkan dan komitmen komuniti yang padu. Tambah beliau lagi, melalui Empat NKRA ini merupakan tunjang utama untuk mewujudkan sekolah yang berkualiti.

Menurut Puan Arny Samiraty, antara objektif bengkel ini ialah peserta dapat menyatakan tujuan coaching, mentoring dan kaunseling, peserta dapat mengenal pasti kompetensi seorang ‘coach’, dan peserta dapat mengenal pasti model Coaching.

Penceramah : Pegawai SISC+ Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan, Arni Samiraty sedang menjawab pertanyaan Penolong Kanan Pentadbiran, Puan Chai Yee San semasa sesi soal jawab secara dalam talian.

Melalui Bengkel CPD Coaching and Mentoring yang disampaikan selama 2 jam ini, Puan Arny Samiraty memberi penekanan bahawa sebelum Coach melaksanakan sesi Coaching dan Mentoring, Coach perlu kenal pasti individu (Coachee) di hadapannya iaitu dari aspek motivasi, kesediaan, keinginan dan keupayaan. Antara kata kunci yang perlu difokuskan dan difahami oleh setiap SLT dan MLT ialah ‘to transform-by asking’ (Coaching), ‘to duplicate-by telling’ (Mentoring) dan ‘to help-by guidance’ (Kaunseling) dalam aspek perbezaan sesi Coaching, Mentoring dan Kaunseling.

Puan Arny Samiraty turut menekankan bahawa setiap SLT dan MLT perlu tahu peranan masing-masing dalam melaksanakan sesi Coaching dan Mentoring kerana SLT dan MLT mempunyai bidang tugas masing-masing. Dalam melaksanakan sesi Coaching and Mentoring, setiap SLT dan MLT perlu menguasai 10 Kompetensi Coach  yang dibahagikan kepada tiga aspek penting iaitu pembinaan hubungan profesional, pengendalian sesi dan keberhasilan.

Semua proses yang berlaku semasa sesi Coaching dan Mentoring terlibat dalam GROW iaitu Goal, Reality, Obstacles/Options dan Way Forward. GROW merupakan antara Model Coaching yang paling ringkas dan mudah untuk dilaksanakan oleh setiap SLT dan MLT.

Dalam menggerakkan sesi Coaching and Mentoring secara proaktif di sekolah, SLT dan MLT diharapkan dapat memberi sepenuh komitmen yang tinggi terhadap keperluan program TS25 ini. Di samping itu, gerak kerja berpasukan oleh SLT yang sangat positif menjadi faktor penggalak kepada MLT bagi menggerakan transformasi pendidikan di sekolah.

Pihak sekolah mengucapkan terima kasih kepada Pegawai SISC+ JPWPL Arni Samiraty yang sudi meluangkan masa untuk memberi bimbingan, tunjuk ajar dan ilmu kepada SLT dan MLT SMKTPB ini untuk merealisasikan visi pelestarian TS25 di SMK Taman Perumahan Bedaun.

Berita Oleh SMK Taman Perumahan Bedaun

image_pdfimage_print