e-KEMFIT : Platform Baharu Dalam Pelaksanaan Kursus Di Kalangan Murid Sekolah Rendah

Peserta-peserta e-KEMFIT bergambar beramai-ramai sebelum mengakhiri program.

Labuan, 21 November –  Seramai 69 orang peserta tahun 1 hingga 6 daripada Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Chi Wen dan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Chung Hwa menghadiri Kem Fitrah Kasih yang dilaksanakan secara maya bermula jam 8.00 pagi melalui aplikasi google meet.

Kem Fitrah Kasih (KEMFIT) ini dilaksanakan bagi memantapkan aktiviti Pendidikan Islam bagi murid-murid Islam di SJKC. Ia merupakan program pembentukan jati diri seiring dengan keperluan syariat dengan menekankan aspek aqidah, ibadah, akhlak, pengurusan dan tanggungjawab sebenar sebagai hamba Allah, insan, anak dan murid.

Menurut penyelaras program Tuan Haji Sahrum bin Samlan, Penolong Pengarah Unit Pembangunan Adab dan Nilai Sektor Pendidikan Islam, Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan (JPWPL), KEMFIT dilaksanakan saban tahun yang bertujuan untuk memberi pendedahan dan pengukuhan kefahaman tentang asas akidah, ibadah dan akhlak Islam agar proses penghayatan nilai-nilai Islam dalam kehidupan seharian dapat diamalkan.

“Seperti tahun-tahun lalu, KEMFIT dilaksanakan selama dua hari di mana peserta perlu bermalam. Mereka akan dibimbing menjalani rutin harian bermula dengan aktiviti riadah, sesi suai kenal, sesi kuliah, solat berjemaah, makan beramai-ramai dengan adab yang betul, sesi perbincangan dalam kumpulan, pembentangan dan juga qiamulail. Namun disebabkan situasi pendemik covid-19 yang tidak mengizinkan, kem pada tahun ini dilaksanakan secara atas talian sahaja”.

“Kita mengharapkan agar peserta yang mengikuti kem ini dapat melaksanakan amalan ibadah secara konsisten seperti solat berjemaah, membaca al-Quran dan zikir setiap hari, suka mendengar tazkirah, kuliah mahupun ceramah, berwuduk dengan betul, menutup aurat dan sebagainya, inshaAllah” katanya semasa berucap di dalam kem tersebut.”.

Menurutnya lagi, pendedahan dan pengukuhan berkaitan dengan aspek disiplin diri seperti menepati masa, menjaga kebersihan seperti mencuci tangan, memakai hand sanitizer, menjaga penjarakan social, duduk di rumah jika tiada keperluan untuk keluar, menjaga kekemasan diri, semangat kerja sepasukan dan persaingan sihat sesama peserta amat dititikberatkan di dalam kem ini biarpun ianya dilaksanakan secara atas talian.

Pelaksanaan e-KEMFIT dan sesi perbincangan di kalangan peserta berjalan lancar dengan menggunakan aplikasi google Meet.

Terdapat dua jenis aktiviti yang boleh dilakukan di bawah program ini iaitu aktiviti berbentuk kem penghayatan Islam dan aktiviti pengukuhan berbentuk Kuiz. Aktiviti berbentuk kem penghayatan Islam bertujuan untuk mengukuhkan kefahaman dan penghayatan amalan Islam sepanjang kursus ini dan menekankan persaingan sihat. Manakala aktiviti kuiz dilaksanakan untuk menilai kefahaman peserta kursus.

Sektor Pendidikan Islam mengucapkan tahniah kepada Guru-guru Pendidikan Islam SJKC Chi Wen dan SJKC Chung Hwa selaku penyelaras program di peringkat sekolah dan ibu bapa yang berjaya memastikan peserta kursus hadir dengan jayanya mengikut ketetapan masa yang diberikan oleh pihak penganjur.

Berita Oleh : Sektor Pendidikan Islam

image_pdfimage_print