SPI Turun Padang : Promosi Kelas Aliran Agama

Album: Encik Mohd Nizam (tengah), Ustazah Kamariah (dua dari kiri), Encik Mohd Syahir (dua dari kanan), Ustaz Zainal (kanan) dan Puan Siti Zamriah (kiri) bergambar kenangan bersama pelajar tingkatan tiga KAA.

Labuan, 23 September – Sektor Pendidikan Islam (SPI), Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan (JPWPL) mengadakan Sesi Kunjung Bantu ke sekolah-sekolah yang menawarkan Kelas Aliran Agama (KAA) untuk mempromosikan  KAA bagi murid tingkatan empat tahun 2021.

Sesi Kunjung Bantu ke tiga buah sekolah yang menawarkan KAA iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan Mutiara (SMKM), Sekolah Menengah Kebangsaan Taman Perumahan Bedaun (SMKTPB) dan Sekolah Menengah Kebangsaan Rancha-Rancha (SMKRR) ini dihadiri oleh Ketua Penolong Pengarah, Sektor Pendidikan Islam Ustazah Kamariah Binti Salim dan Penolong Pengarah Perancangan dan Pembangunan Pendidikan Islam Ustaz Mohd Syahir Bin Mohd Yusoff .

Program yang bermula jam 8.30 pagi di SMK Mutiara berakhir dengan jayanya jam 12.50 tengah hari di Sekolah Menengah Kebangsaan Rancha-Rancha. Sasaran program adalah murid tingkatan 3 yang sedang mengikuti KAA di sekolah berkenaan. Turut hadir dalam program tersebut ialah pengetua SMKM, Encik Mohd Nizam bin Yassin dan pengetua SMKRR, Encik Yahaya Bin Puteh.

Objektif Kunjung Bantu Ke KAA adalah untuk menarik minat murid tingkatan tiga agar meneruskan pembelajaran di KAA semasa tingkatan empat tahun 2021 nanti.

Ustazah Kamariah berkata pelajar-pelajar tingkatan tiga aliran agama mempunyai peluang yang luas untuk memilih opsyen sama ada aliran STEM agama atau sastera agama semasa di tingkatan empat.

“JPWPL dalam rangka kerja membuat pemusatan KAA di Sekolah Menengah Kebangsaan Rancha-Rancha (SMKRR) mulai tahun 2021 dengan pengambilan pertama pelajar menengah atas iaitu tingkatan empat. InshaAllah tahun 2022, pelajar tingkatan satu hingga tingkatan lima akan berada di SMKRR” katanya semasa program kunjung bantu tersebut.

Promosi: Kamariah (kanan) menyampaikan taklimat berkaitan kemasukan pelajar ke Kelas Aliran Agama dan kemasukan pelajar ke Sekolah Khusus iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA)

Katanya, pada tahun hadapan pelajar tingkatan dua dan tiga di Sekolah Menengah Kebangsaan Taman Perumahan Bedaun (SMKTPB) dan Sekolah Menengah Kebangsaan Mutiara (SMKM) akan meneruskan pembelajaran mereka sehingga selesai kohort pembelajaran menengah rendah begitu juga pelajar  tingkatan lima di SMKM.

Dalam ucapannya Ustazah Kamariah menzahirkan pengharapan agar murid-murid tingkatan tiga ini dapat meneruskan pembelajaran di KAA.

“Hakikatnya, pelajar lepasan KAA telah menunjukkan prestasi yang cemerlang dan meneruskan pengajian di institut pengajian tinggi tempatan dan luar negara serta mungkin lebih baik daripada aliran lain. Malah ada di antara mereka yang menjawat jawatan penting di Syarikat Petroleum dan institusi kewangan”.

Justeru, stigma masyarakat yang beranggapan lulusan KAA hanya menjadi seorang ustaz dan ustazah adalah kurang tepat. Malahan di Labuan ini, JPWPL berharap agar pelajar lepasan KAA dapat mengisi jawatan guru pendidikan Islam yang amat diperlukan kini”

Sementara itu, Ustaz Mohd Syahir turut memberi ceramah motivasi bertajuk Auta versus Fakta Kelas Aliran Agama dan 5 sebab menjadi murid Kelas Aliran Agama.

Beliau berkata, senario remaja hari ini yang dilanda pelbagai masalah disiplin dan salah laku, maka aspek pendidikan agama harus lebih dititik beratkan di samping persekitaran sekolah yang beriklim dinie ke arah membentuk pelajar bukan sahaja cemerlang dalam bidang akademik malah mempunyai akhlak yang mulia.

“Pelajar KAA merupakan permata masa hadapan yang akan melahirkan tenaga professional yang berjiwa tasawur pemikiran Islam. Mereka menjadi contoh tauladan atas kecemerlangan akademik dan berkeperibadian mulia. Malah dicemburui oleh rakan-rakan kerana disayangi guru” katanya lagi.

Tekun: Murid-murid Tingkatan Tiga Sekolah Menengah Kebangsaan Mutiara begitu tekun mendengar promosi KAA yang disampaikan oleh penceramah.

Pengetua SMKM, Encik Mohd Nizam Bin Yassin berkata, pelajar  KAA beruntung berbanding aliran biasa kerana mereka memperolehi bahasa tambahan iaitu Bahasa Arab. Malah mereka juga berpeluang untuk meningkatkan kemahiran membaca Al-Quran di dalam Kelas Kemahiran Al- Quran (KKQ).

“Pihak sekolah telah menyediakan ruang dan peluang untuk pelajar memilih opsyen tingkatan empat tahun hadapan. Rebutlah peluang ini untuk anda meneruskan pembelajaran kerana asas KAA selama tiga tahun telah kamu lalui dengan jayanya” katanya semasa menyampaikan ucapan dalam program tersebut.

Seramai 85 pelajar tingkatan tiga mengikuti Promosi KAA yang diadakan di sekolah masing-masing iaitu 41 pelajar dari SMKM, 21 pelajar dari SMKTPB dan 23 pelajar daripada SMKRR. Program ini telah diurus setiakan oleh penyelaras KAA sekolah terlibat dengan jayanya.

Berita Oleh : Sektor Pendidikan Islam

Amanat: Yahaya menyampaikan taklimat mengenai perancangan sekolah dalam memperkasa KAA.
Potret kenangan: Ustazah Kamariah (dua dari kanan) dan Ustaz Mohd Syahir (kiri) merakamkan gambar kenangan bersama Encik Yahaya (dua dari kiri) dan Ustaz Mohd Fadzli (kanan) di Pusat Sumber SMKRR.
Kunjung Bantu: Gambar sekitar program Kunjung Bantu SPI ke KAA

image_pdfimage_print