SMK Taman Perumahan Bedaun Menempa Sejarah

Pada 16 Mac 2017, SMK Taman Perumahan Bedaun menempa sejarah  apabila mendapat keputusan SPM yang sangat membanggakan sekali gus mendapat lonjakan saujana bagi pencapaian SPM  tahun 2016 di W.P Labuan. Pengetua SMK Taman Perumahan Bedaun, Pn. Jijah bt. Mohamad Suhai yang baru saja memegang jawatan pengetua di SMKTPB  pada Februari 2016 sangat berpuas hati dan bersyukur atas kejayaan sekolah dalam peperiksaan SPM 2016. Menurut beliau, keputusan SPM 2016 merupakan satu pencapaian terbaik dalam sejarah SMKTPB semenjak tahun pertama SPM 2014.  Beliau berkata di sebalik kejayaan tersebut, pihak sekolah telah melakukan pelbagai perancangan dan strategi untuk mengharungi dugaan peperiksaan SPM 2016. Seawal bulan pertama lagi sekolah telah mula menggerakkan aktiviti sama ada mengadakan kelas tambahan, kelas bimbingan dan juga kaunseling. Begitu juga memberi fokus kepada para pelajar yang lemah seterusnya memberi dorongan bahawa mereka boleh melakukannya.

SMKTPB telah mencatatkan peningkatan GPS daripada 6.63 kepada 5.45 dan peratus lulus daripada  71.23 % kepada 96.12%  dengan pencapaian 100% lulus subjek Bahasa Melayu dan 96.12% bagi subjek Sejarah. Mata pelajaran lain yang turut meningkat dari segi GPMP dan peratus lulus ialah Bahasa Inggeris, Matematik, Sains, Pendidikan Islam, Pendidikan Seni Visual, Perdagangan dan Kesusasteraan Melayu. Menurut pengetua, kejayaan ini adalah hasil kerjasama warga sekolah, ibu bapa, murid-murid, PIBG dan pihak Maybank International Cawangan Labuan yang banyak membantu dalam Program Kecemerlangan Akademik. Tidak lupa juga sokongan padu daripada Jabatan Pendidikan W. P. Labuan yang diterajui oleh Pengarah Pendidikan , En. Raisin bin Saidin.

Secara keseluruhannya keputusan SPM 2016 ini berjaya meletakkan SMKTPB sebagai salah sebuah sekolah harian yang cemerlang di W.P Labuan. Harapan pengetua dan warga sekolah semoga pada tahun 2017 SMKTPB dapat merealisasikan impian sekolah untuk melahirkan calon SPM yang memperoleh semua A dalam semua subjek.

Berita Oleh : SMK Taman Perumahan Bedaun

image_pdfimage_print

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.