Warga SMK Mutiara Santuni Warga Emas

Pengetua merakamkan kenangan bersama jawatankuasa pelaksana program ziarah

Labuan – Sempena sambutan Hari Warga Emas Sedunia yang disambut pada 1 Oktober setiap tahun, SMK Mutiara telah melaksanakan program Ziarah Kasih Perwira Negara kepada 16 belas pesara tentera pada Sabtu lalu.

Program yang diselaraskan oleh Unit HEM SMK Mutiara ini adalah sejajar dengan Dasar Warga Emas Negara(DWEN) yang menjadi salah satu agenda penting di peringkat sekolah.

Menurut Penolong Kanan HEM, Encik Hisyam bin Abdul Aziz program pada tahun ini diadakan dengan kerjasama 3 agensi lain iaitu Persatuan Veteran Angkatan Tentera Malaysia (PVATM), Pusat Pungutan Zakat (PPZ) Cawangan Labuan dan Persatuan Anak Muda Labuan (PAMULA).

Antara objektif program ini ialah untuk mengucapkan terima kasih atas jasa-jasa veteran tentera yang telah berjuang untuk memerdekakan negara sehingga kini.

“Sambutan pada tahun ini adalah berbeza dengan sambutan sebelum ini.Pengagihan sumbangan dibuat dari rumah ke rumah dengan jumlah rombongan yang dihadkan kepada 15 orang sahaja. Ini adalah sebahagian daripada pematuhan kita kepada SOP dalam tempoh PKPP” kata beliau lagi.

Sesi beramah mesra dengan veteran ATM

Selain sumbangan daripada PPZ dan PAMULA , pihak sekolah turut mendapat sumbangan daripada guru-guru, murid-murid dan Anggota Khidmat Pelaksana (AKP) SMK Mutiara. Sebanyak 16 bakul bahan-bahan makanan dapat dikumpulkan selain daripada wang tunai.

Program yang bermula jam 8 pagi telah menziarah ke 16 buah rumah pesara tentera di beberapa buah kampung di sekitar Pulau Labuan. Bakul makanan telah disampaikan oleh Pengetua SMK Mutiara, Encik Mohd Nizam bin Yasim selaku ketua rombongan.

Manakala sumbangan tunai pula telah disampaikan oleh Encik Ahmad Adha bin Ahmad Zohdi selaku YDP PIBG SMK Mutiara.

Salah seorang penerima, Encik Hassanuddin bin Abdullah berkata, beliau sangat bersyukur atas ziarah dan sumbangan ini yang sedikit sebanyak dapat menampung perbelanjaan harian beliau sekeluarga.

Setiap ziarah ke rumah pesara tentera telah diakhiri dengan bacaan doa selamat yang dipimpin oleh Ustaz Zainal bin Abdul Wahab.

Antara veteran tentera yang dilawat

Lawatan berakhir pada jam 2 petang. Timbalan Ketua Cawangan PVATM WP Labuan, Tuan Haji A.Latiff bin Amdan mengucapkan terima kasih atas keprihatin warga SMK Mutiara, PPZ dan PAMULA kepada pesara-pesara tentera kerana sudi menghulurkan bantuan.

Turut serta dalam ziarah tersebut ialah AJK tertinggi PVATM, wakil PIBG SMK Mutiara dan guru-guru SMK Mutiara.

Berita Oleh : SMK Mutiara

Sebahagian daripada AJK tertinggi PVATM yang terlibat dalam program ziarah

image_pdfimage_print