Dialog Prestasi SMK Taman Perumahan Bedaun Terima Kunjungan Daripada Timbalan Pengarah JPWPL

En. Yusuf (tiga kanan) dan En. Ag Rozlan (tiga kiri) bersama Pegawai SISC+ serta guru-guru yang hadir dalam Dialog Prestasi

Labuan, 22 September – Sekolah Menengah Kebangsaan Taman Perumahan Bedaun (SMKTPB) telah mengadakan Dialog Prestasi Pra Percubaan SPM 2020 bersama Encik Yusuf bin Haji Mohamad, Timbalan Pengarah Sektor Pembelajaran, Jabatan Pendidikan W.P Labuan (JPWPL). Turut hadir bersama ialah Pegawai SISC+ Pn. Siti Zaharah Mohamad, Pn. Suriani Oxley dan Cik Juraidah Aman.

Dialog Prestasi pada kali ini memberikan tumpuan kepada isu atau permasalahan yang dikenal pasti daripada hasil keputusan Pra Percubaan SPM baru-baru ini. Selain itu, semua guru mata pelajaran juga telah membuat perkongsian intervensi bagi setiap panitia dalam meningkatkan pencapaian murid.

Pengetua SMK Taman Perumahan Bedaun, Encik Ag Rozlan A. Manan dalam ucapannya mengharapkan agar semua guru dapat memberikan komitmen yang tinggi dalam memastikan sasaran GPS (Gred Purata Sekolah) 5.00 tercapai untuk tahun ini.

Dalam pada masa yang sama, Encik Ag. Rozlan juga mengharapkan agar semua guru dapat mengenal pasti kelemahan murid dan melaksanakan intervensi yang bersesuaian bagi setiap murid.

Untuk rekod, seramai 94 orang murid SMKTPB akan menduduki peperiksaan SPM pada tahun ini. 

Dialog bersama guru- guru mata pelajaran pada kali ini lebih bermakna kerana guru-guru dapat mendengar amanat daripada Encik Yusuf.

Dalam ucapannya, beliau merakamkan ucapan tahniah kepada semua guru dan pihak sekolah kerana berjaya memperoleh sijil lulus 100% dalam peperiksaan SPM 2019. Beliau juga amat mengharapkan agar pencapaian ini dapat dikekalkan untuk tahun-tahun akan datang.

Encik Yusuf juga turut menyatakan keyakinannya kepada semua guru kerana percaya bahawa usaha yang berterusan pastinya akan membuahkan hasil yang membanggakan.

Guru-guru perlu yakin dan percaya bahawa setiap murid sememangnya mempunyai potensi diri yang tersendiri. Semoga SMKTPB terus mengorak langkah ke hadapan demi mencapai kecemerlangan akademik, kokurikulum dan juga sahsiah diri.

Encik Yusuf turut menyampaikan sijil pencapaian 100% lulus dalam Peperiksaan Pra Percubaan SPM kepada panitia Fizik dan Geografi. Turut hadir dalam program ini Pn. Chai Yee San Penolong Kanan Pentadbiran dan Pn. Lau Chin Ying Penolong Kanan Ko-kurikulum 

Berita Oleh : SMK Taman Perumahan Bedaun

image_pdfimage_print