Semarak Merdeka Di SMK Mutiara

Gambar kenangan : Encik Mohd Nizam bersama Warga SMK Mutiara menyambut sambutan Kemerdekaan 2020

Labuan – Sambutan bulan kemerdekaan tahun ini disambut secara berbeza sesuai dengan amalan normal baharu sempena PKPP yang dilanjutkan sehingga hujung tahun. Namun begitu semangat dan keazaman untuk meraikan bulan keramat tetap bernyala-nyala dalam kalangan warga SMK Mutiara.

Menurut Pengetua SMK Mutiara Encik Mohd Nizam bin Yasim, pelbagai aktiviti telah dilaksanakan dalam skala kecil dan sederhana tetapi tetap meriah.

“Walau dalam tempoh PKPP, warga sekolah tetap tidak melepaskan peluang untuk bersama-sama menyemarakkan bulan kemerdekaan. Acara tahunan ini perlu disambut dengan semangat kesedaran tentang peripentingnya erti kemerdekaan terutamanya kepada murid-murid sekolah” katanya lagi.

Antara aktiviti awal yang bermula pada 15 Ogos ialah pemasangan sebanyak 63 bendera kebangsaan di kawasan sekolah yang melambangkan tahun ke-63 kemerdekaan negara.

Pihak sekolah turut menyediakan sudut mini pameran berkaitan kemerdekaan negara di foyer B yang diusahakan oleh guru-guru Pusat Sumber SMK Mutiara. Persembahan dalam bentuk infografik di sudut ini telah memberi banyak maklumat berkaitan kemerdekaan kepada murid-murid.

Salah satu mercu utama sambutan kemerdekaan tahun ini ialah penghasilan replika jalur gemilang daripada bahan-bahan kitar semula sebesar 20 kaki panjang dan 10 kaki tinggi. Replika yang dihasilkan di foyer Blok B adalah menifestasi kerjasama guru-guru dan ibubapa SMK Mutiara dalam kebersamaan menyambut bulan kemerdekaan tahun ini.

Warga SMK Mutiara bertungkus lumus menyiapkan replika Jalur Gemilang
Encik Mohd Nizam bersama guru-guru SMK Mutiara
Sudut Mini Pameran Kemerdekaan

Majlis pelancaran sambutan bulan kemerdekaan peringkat sekolah telah diadakan pada 28 Ogos 2020 disempurnakan oleh pengetua sekolah, Encik Mohd Nizam bin Yasim dalam satu majlis ringkas namun penuh semangat.

Dalam majlis tersebut, Encik Jostelen Lamibai, PK Kokurikulum sekolah telah memimpin laungan MERDEKA sebanyak 7 kali sebagai gimik perasmian. Guru-guru dan murid-murid pula telah memperagakan baju bertemakan kemerdekaan dan kebudayaan etnik masing-masing sebagai lambang semangat kecintaan kepada negara Malaysia yang pelbagai budaya dan bangsa.

Selain itu, pengetua sekolah turut menyerahkan bendera Malaysia kepada Pengerusi Kelab Keluarga SMK Mutiara sebagai sokongan kepada aktiviti MERDEKA RIDE.

Laungan Merdeka dipimpin oleh Encik Jostelen
Penyerahan Bendera

MERDEKA RIDE anjuran Kelab Keluarga SMK Mutiara adalah aktiviti santai yang telah diadakan pada 8 September dan disertai oleh 15 guru dan 8 murid. Menurut Pengerusi kelab, Puan Mizan Adlia binti Mohd Shoib, para peserta telah berjaya mengayuh sejauh 22 kilometer sekitar pulau Labuan dan telah menamatkan kayuhan dalam masa 1 jam.

Selain itu, guru-guru SMK Mutiara turut menyemarakkan sambutan merdeka dengan aktiviti rekreasi menyelam. Mereka telah berjaya mempamerkan bendera sekolah sambil menyelam sekaligus memberi pengertian bahawa tiada apa yang mustahil jika kita bersungguh-sungguh.

Pusat Sumber Sekolah turut menganjurkan beberapa pertandingan berkonsepkan kemerdekaan. Antaranya ialah pertandingan deklamasi sajak merdeka, nyanyian lagu-lagu patriotik, selfie kreatif merdeka dan pertandingan menulis esei berunsurkan kemerdekaan.

Menurut Penyelaras Pusat Sumber Sekolah, Puan Shamsiah Ambo, pameran ini diadakan selama sebulan di Foyer B. Murid-murid turut berpeluang mendapat maklumat kemerdekaan di luar bilik darjah.

Sambutan bulan kemerdekaan tahun ini disambut dalam suasana normal baharu namun tetap meriah di SMK Mutiara. Semangat kerjasama, kesatuan dalam kepelbagaian memancarkan slogan Malaysia Prihatin penuh makna.

Berita Oleh : SMK Mutiara

Aktiviti rekreasi menyelam
MERDEKA RIDE anjuran Kelab Keluarga SMK Mutiara

image_pdfimage_print