Ismail Abdullah Kekal Jawatan YDP MPSM Labuan

Labuan, 12 Sept – Encik Ismail bin Abdullah berjaya mengekalkan jawatan sebagai Yang DiPertua(YDP) Majlis Pengetua Sekolah Menengah (MPSM) Cawangan W.P. Labuan buat kali kedua berturut-turut. Pemilihan yang turut melibatkan jawatankuasa tertinggi bagi tempoh 2020-2022 telah dibuat dalam Mesyuarat Agung MPSM pada Khamis lalu.

Pengarah Pendidikan W.P. Labuan, Puan Khaziyati Osman telah hadir merasmikan Mesyuarat Agung yang dibuat di salah sebuah hotel di pusat bandar.

Dalam ucapannya, beliau merakamkan ucapan terima kasih atas usaha-usaha yang telah dilaksanakan oleh semua pengetua di wilayah ini bagi memastikan kualiti sekolah berada pada tahap yang membanggakan.

Beliau turut menekan kepada prinsip kerja OBEDIENT (Outcome based, Believe, Efficient, Data driven, Innovative and creative, Effective, Now, Thinker) untuk diamalkan bagi memacu pendidikan di wilayah ini jauh ke hadapan.

“Kita mesti berusaha memastikan kehadiran murid ke sekolah kekal tinggi terutamanya murid-murid tingkatan 5. Kita juga perlu pastikan tiada murid yang mengalami defisit pembelajaran untuk menjamin peningkatan prestasi terutamanya dalam peperiksaan SPM tahun ini” katanya lagi.

Pengarah Pendidikan, Puan Khaziyati Osman merasmikan Mesyuarat agung MPSM

Terdahulu, Encik Ismail selaku YDP MPSM telah menyatakan sokongan padu kepada barisan kepimpinan pendidikan dan berharap dapat terus bekerjasama demi kemenjadian anak-anak di Labuan.

Pemilihan jawatankuasa tertinggi telah dilaksanakan secara tertib melibatkan semua pengetua sekolah menengah termasuk pengetua SM Sains Labuan dan Pengarah Kolej Vokasional Labuan. Timbalan Pengarah Sektor Pembelajaran, Encik Yusup bin Mohamad telah bertindak sebagai pemerhati kepada proses pemilihan yang telah dijalankan.

Jawatan Timbalan YDP telah dimenangi oleh Encik Mohd Nizam bin Yasim yang juga pengetua SMK Mutiara. Sementara itu jawatan Setiausaha Kehormat disandang oleh Pengetua SM St. Anne, Puan Mary Anita Abah manakala Puan Norazita binti Mohd Nor sebulat suara dipilih sebagai bendahari.

Turut hadir di dalam mesyuarat agung tersebut ialah Timbalan Pengarah Sektor Pembangunan Murid, Tuan Haji Abdul Rahman bin Ahmad.

Berita Oleh : MPSM Labuan

Penyerahan Nota Serah Tugas TYDP daripada Encik Jamatin bin Abdul Latif kepada Encik Mohd Nizam
Penyerahan Nota Serah Tugas Setiausaha Kehormat daripada Puan Dona Unduh kepada Puan Mary Anita Abah
MPSM W.P Labuan bergambar kenangan bersama Pengarah Pendidikan

image_pdfimage_print