Pembentangan Penetapan KPI Pencapaian Bahasa Melayu dan Sejarah SPM 2020 Membuka Peluang Perkongsian Antara Sekolah

Sebahagian Pengetua yang hadir, Tuan Haji Jamatin, Puan Anita, Encik Yahya, Encik Ag Rozlan, Encik Ismail

Labuan, 14 Ogos – Pencapaian Layak Sijil SPM merupakan satu agenda penting dalam pendidikan di peringkat menengah. Pencapaian ini akan menentukan halatuju murid-murid terutamanya untuk membolehkan mereka menyambung pelajaran ke peringkat tertier.

Menyedari hakikat ini, Sektor Pembelajaran Jabatan Pendidikan W.P Labuan telah menganjurkan taklimat pembentangan dan penetapan KPI bagi dua mata pelajaran wajib lulus dalam peperiksaan SPM tahun 2020 pada Rabu dan Khamis lepas.

Taklimat yang telah dihadiri oleh pengetua-pengetua dan guru-guru mata pelajaran berkenaan telah diadakan di Bilik Kiamsam, Sektor Sumber dan Teknologi Pendidikan (SSTP) Sungai Lada.

Semua pengetua sekolah termasuk dari Kolej Vokasional telah membentangkan tahap pencapaian semasa (TOV), peningkatan sasaran operasi (OTI), prestasi sebenar (AR) dan sasaran jangkaan prestasi (ETR) bagi kedua-dua mata pelajaran berkenaan.

Guru-guru yang hadir taklimat

Sesi pembentangan yang telah dipengerusikan oleh Timbalan Pengarah Sektor Pembelajaran, Encik Yusup bin Mohamad turut membincangkan secara terperinci murid-murid yang dikategorikan sebagai GALUS dan intervensi-intervensi yang bakal dilaksanakan bagi membantu murid berkenaan.

“Murid-murid GALUS perlu dibimbing dengan cara yang berbeza dengan murid-murid yang lain. Ramai dalam kalangan mereka terdiri daripada golongan B40 dan perlu diberi bantuan dari aspek jatidiri, motivasi dan kewangan” kata beliau.

Menurut beliau lagi, pengetua dan guru mesti mencari kaedah terbaik menyentuh hati murid-murid GALUS kerana kesediaan mental mereka adalah sangat penting sebelum pengisian pembelajaran.

YDP MPSM LABUAN, Encik Ismail Abdullah yang juga Pengetua SMK Labuan menyifatkan pembentangan ini telah membuka peluang perkongsian antara sekolah-sekolah menengah terutamanya dari aspek perancangan intervensi yang bersesuaian bagi sekolah masing-masing.

“Pihak sekolah mungkin boleh mengubahsuai dan menambahbaik intervensi yang dilaksanakan di sekolah lain berdasarkan keperluan sekolah masing-masing. Keutamaan kita ialah memastikan semua murid di wilayah ini layak mendapat sijil SPM dengan lulus dalam dua mata pelajaran utama iaitu Sejarah dan Bahasa Melayu” ujar beliau lagi.

Selepas sesi pembentangan, Encik Yusup telah merumuskan bahawa setiap sekolah perlu merancang dan melaksanakan intervensi berdasarkan situasi sekolah masing-masing. Keberkesanan intervensi perlu diukur secara objektif dengan lebih kerap tanpa perlu menunggu keputusan ujian atau peperiksaan.

Encik Yusup mempengerusikan Taklimat Penetapan KPI Mata Pelajaran

Beliau turut meminta pihak sekolah membuat perkongsian amalan terbaik intervensi yang telah menampakkan kesan dalam pembentangan akan datang yang turut melibatkan Pengarah Pendidikan W.P Labuan, Puan Khaziyati binti Osman.

Turut hadir dalam taklimat pembentangan kali ini ialah pegawai-pegawai dari Sektor Pembelajaran Jabatan Pendidikan W. P. Labuan termasuk SISC+.

image_pdfimage_print