SMK MUTIARA Pengerusikan Bengkel Task Force Pendidikan Islam SPM 2020

Labuan – Sebagai satu usaha meningkatkan prestasi mata pelajaran di dalam peperiksaan SPM tahun ini, Jabatan Pendidikan Labuan telah mengaktifkan pasukan Task Force bagi setiap mata pelajaran utama di peringkat negeri. SMK Mutiara telah diberi tanggungjawab untuk menerajui task force mata pelajaran Pendidikan Islam.

Bengkel pertama telah diadakan pada 10 Ogos 2020 bertempat di Bilik Mesyuarat SMK Mutiara dihadiri oleh semua ketua panitia Pendidikan Islam sekolah menengah di W.P. Labuan. Bengkel itu telah dipengerusikan oleh pengetua SMK Mutiara, Encik Mohd Nizam bin Yasim. Ketua Penolong Pengarah (KPP) Sektor Pendidikan Islam, Puan Hajjah Kamariah Salim turut hadir dalam bengkel tersebut.

Dalam ucapan aluan, Encik Mohd Nizam menekankan kepentingan pendidikan agama Islam dalam kehidupan seharian murid-murid dan bukan hanya kepada pencapaian di dalam peperiksaan semata-mata.

“Pencapaian lulus dalam SPM berada dalam sekitar 89% daripada 710 calon pada tahun 2019 dan ini bermakna terdapat 70 hingga 80 orang murid-murid kita tidak dapat menguasai perkara-perkara asas dalam pendidikan Islam. Justeru peranan kita menjadi lebih kritikal bagi memastikan setiap murid muslim menguasai fardhu ain yang menjadi asas kehidupan kita ” katanya lagi.

Dalam bengkel kali ini turut diadakan perkongsian amakan terbaik daripada Ustazah Lihah binti Amat dari SMK Labuan dan Ustazah Lily Ekmiyanti dari SM Sains Labuan. Sekolah-sekolah ini telah berjaya meningkatkan pencapaian dari segi peratus lulus dan cemerlang dalam SPM 2019.

Dalam pembentangannya, Ustazah Lihah telah menekankan aspek penguasaan kemahiran jawi dan kaedah mengingat fakta mudah melalui akronim untuk membantu murid-murid yang lemah untuk lulus dalam SPM.

Manakala Ustazah Lily Elmiyanti binti Kastor, dari SM Sains Labuan memberi fokus untuk pencapaian cemerlang dalam kalangan murid-murid sekolah berasrama penuh. Antara amalan terbaik yang digunakan ialah penggunaan modul Latih Tubi Soalan soalan Spm lepas dan Modul Latih tubi bagi tajuk tajuk sukar selain motivasi berterusan kepada pelajar lemah serta teknik menjawab yang terbaik.

Ustaz Syahir dari Sektor Pendidikan Islam, Jabatan Pendidikan W.P Labuan telah dilantik sebagai pegawai meja bagi Jawatankuasa ini. Di samping itu, Ustazah Siti Sarah binti Abdul Majid dari SMK Mutiara telah dilantik sebagai setiausaha bagi memudahkan penyelarasan aktiviti di peringkat negeri.

Antara aktiviti yang telah dipersetujui untuk dilakasanakan pada tahun ini ialah Peningkatan kompetensi guru-guru Pendidikan Islam termasuklah kemahiran menanda kertas jawapan pelajar, kemahiran tulisan jawi dan juga PLC penghasilan koleksi kaedah mudah Pdp untuk membantu murid-murid yang lemah.

Di akhir bengkel, Puan Hajjah Kamariah turut mengumumkan sejumlah peruntukan setiap sekolah bagi membiayai aktiviti-aktiviti yang melibatkan murid.

Berita Oleh : SMK Mutiara

image_pdfimage_print