SK Sungai Bedaun Bersedia Menerima Kehadiran Murid Untuk Sesi Persekolahan Pasca PKP

Gambar kenang-kenangan rombongan pelawat bersama sebahagian daripada guru-guru SK Sungai Bedaun. Lima dari kanan Tuan Haji Abdul Razak Sulaiman (Pegawai Khas Timbalan KPPM Sektor Operasi Sekolah).Turut hadir En Yusuf , Timbalan Pengarah Sektor Pembelajaran(enam dari kanan) , Dg Sarifah, Guru Besar (empat dari kanan) Dan Pegawai pegawai tertinggi Jabatan Pendidikan Labuan.

Labuan – SK Sungai Bedaun telah membuat persediaan dari segi fizikal sekolah mengikut SOP yang ditetapkan oleh KPM, MKN dan KKM.

Persediaan pembukaan semula sesi persekolahan telah dilaksanakan oleh pentadbir, guru-guru, AKP dan pekerja pembersihan sekolah. Kerjasama daripada semua pihak menjadikan SKSB bersedia menerima kehadiran murid untuk sesi persekolahan pasca PKP.

Pada 04 Julai 2020 (Sabtu), SK Sungai Bedaun telah menerima kunjungan pemantauan dan bimbingan dari Pegawai Khas Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia Sektor Operasi Sekolah Kementerian Pendidikan Malaysia, Tuan Haji Abdul Razak Sulaiman bersama rombongan pegawai Jabatan Pendidikan WP Labuan.

Sesi lawatan ke bilik-bilik kelas yang telah disusun atur mengikut SOP.

Tujuan lawatan ini diadakan adalah untuk memantau  dan memastikan pihak sekolah telah bersedia dalam pengurusan pelaksanaan SOP (Standard Operation Procedure) bagi mengelakkan penularan jangkitan wabak Covid-19 apabila sekolah dibuka semula nanti.

Sesi pemantauan  memfokuskan kepada persediaan sekolah sebelum sesi persekolahan norma baharu.

Selain itu, sekolah juga diingatkan agar menitikberatkan SOP dalam setiap aspek persediaan yang dijalankan oleh pihak sekolah sebelum sesi persekolahan bermula pada 14 Julai 2020 (Rabu).

Antara SOP yang dititikberatkan sewaktu pemantauan termasuklah stesen imbas suhu, penjarakan sosial (bilik darjah/bilik guru/pejabat), pelan dan label laluan kawasan sekolah dan bilik darjah, tatacara pembelian makanan di kantin, penyediaan bilik isolasi, penyediaan tempat membasuh tangan dan pensanitasi tangan. 

Sesi lawatan ke Makmal Sains

Tuan Haji Abdul Razak berpuas hati dan mengucapkan tahniah kepada pihak sekolah dengan persiapan yang telah dibuat bagi menerima kehadiran murid pada pembukaan sekolah 15 Julai nanti.

Guru Besar Sk Sungai Bedaun, Puan Dg Sarifah A.Mahmod berkata, semua  warga sekolah berganding bahu melakukan persiapan yang rapi serta mematuhi Garis Panduan Pengurusan Pembukaan Semula Sekolah.

Beliau berharap  agar segala usaha yang telah dijalankan pihak sekolah dapat membantu mencegah penularan serta memutuskan rantaian Covid-19.

Sementara itu, kelas prasekolah telah memulakan sesi pembelajaran pada 01 Julai 2020. Murid-murid prasekolah amat teruja untuk kembali ke sekolah. Alhamdulillah sesi persekolahan prasekolah di SK Sungai Bedaun berjalan lancar.

Harapan daripada Guru Besar agar ibu bapa saling bekerjasama untuk menyampaikan maklumat kepada anak-anak supaya bersedia mengamalkan norma baharu apabila kembali ke sekolah nanti.

Antara norma baharu yang perlu dipatuhi oleh ibu bapa adalah memastikan anak-anak tidak ke sekolah jika bergejala, menasihati anak mengamalkan penjarakan sosial, mengajar anak-anak langkah mencuci tangan dengan betul dan mendidik amalan batuk dan bersin dengan betul.

Hari pertama persekolahan prasekolah, murid teruja untuk belajar.

Untuk makluman, SK Sungai Bedaun memilih model persekolahan 1 sesi bagi prasekolah dan kelas perdana. Sesi persekolahan semula bagi murid tahun 5 dan  6 akan bermula pada 15 Julai 2020 manakala murid-murid yang lain akan kembali ke sekolah pada 22 Julai 2020.

Oleh itu, sama-sama kita merealisasikan harapan kerajaan Malaysia untuk memerangi wabak Covid-19 dengan menggunakan tanda pagar kita mesti menang. #Kitamestimenang.

Berita Oleh : SK Sungai Bedaun

Menyukat suhu apabila tiba di perkarangan sekolah.
Murid dihantar ke sekolah oleh ibu bapa dan maklumat murid direkod melalui sistem QR Code.

image_pdfimage_print