Kursus Pembugaran Pentaksiran Bilik Darjah (PBD) Semasa Pasca PKP

Kursus Pembugaran Pentaksiran Bilik Darjah (PBD) secara telesidang menggunakan aplikasi google meet berjalan lancar

Labuan, 25 Jun – Kursus Pembangunan Profesionalisme Berterusan Guru-Guru Pendidikan Islam Dalam Memantapkan Kemahiran Pentaksiran Bilik Darjah (PBD) telah diadakan secara dalam talian dengan disertai seramai 208 peserta dengan jayanya.

Kursus ini diadakan untuk meningkatkan kompetensi warga pendidik khususnya Guru Pendidikan Islam dan Bahasa Arab dalam mengaplikasikan Pengajaran dan pembelajaran (PdP) secara maya dan membugarkan kemahiran Pentaksiran Bilik Darjah.

Peserta kursus terdiri daripada Guru Besar, pegawai-pegawai SISC+, pegawai di Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan (JPWPL), Guru Pendidikan Islam dan Bahasa Arab serta guru-guru di wilayah ini.

Kursus telah disampaikan oleh penceramah jemputan iaitu Pegawai SISC+ Pembimbing Pakar Peningkatan Sekolah PPD Melaka Tengah, Puan Hjh Rohaizan Othman.

Peserta kursus yang hadir secara dalam talian.
Penerangan tentang cadangan aktiviti Pembelajaran Abad ke-21 (PAK21)

Menurut Puan Hjh Rohaizan, Pentaksiran Bilik Darjah (PBD) bertujuan menambah baik pembelajaran murid melalui pentaksiran formatif iaitu mentaksir perkembangan untuk pembelajaran secara berterusan dalam pengajaran dan pembelajaran serta pentaksiran sumatif yang  mentaksir perkembangan tentang pembelajaran pada akhir sesuatu tempoh, tajuk atau bidang pembelajaran.

“PBD akan memberi tumpuan kepada perkembangan pelajaran murid atau berorientasikan pembelajaran, bukan lagi berorientasikan peperiksaan. Ia berfokus kepada perkembangan dan kemenjadian murid secara holistik.

Pelaporan PBD dilakukan sebanyak dua kali iaitu di pertengahan tahun dan di akhir tahun”. Katanya semasa kursus tersebut.

Puan Hjh Rohaizan sedang berkongsi ilmu dan bersedia menjawab persoalan daripada peserta kursus.

Sementara itu, Ketua Penolong Pengarah Sektor Pendidikan Islam, Puan Kamariah Salim merakamkan ucapan terima kasih di atas kesudian penceramah berkongsi ilmu dengan warga pendidik di W.P.Labuan biarpun secara maya. Guru-guru turut berpeluang untuk bertanya soalan dan merungkai segala permasalahan berkaitan PBD .

”Tahniah diucapkan kepada guru-guru yang telah mengambil pelbagai inisiatif dalam memastikan penyampaian pengajaran dan pembelajaran (PdP) kepada anak didik mereka terus berjalan walaupun dalam keadaan sukar semasa pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Dalam konteks normal baharu iaitu pembelajaran semasa PKP, PBD masih dijalankan secara dalam talian melalui kaedah pemerhatian, penulisan dan lisan. Guru boleh menggunakan pelbagai kaedah pentaksiran dengan menggunakan bentuk komunikasi dan aplikasi yang bersesuaian untuk mentaksir murid”. Katanya semasa majlis penutupan kursus tersebut.

Kamariah menyampaikan ucapan ringkas semasa telesidang Kursus Pembangunan Profesionalisme Berterusan Guru-Guru Pendidikan Islam Dalam Memantapkan Kemahiran Pentaksiran Bilik Darjah (PBD).

Kursus yang dianjurkan oleh Sektor Pendidikan Islam Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan (JPWPL) diadakan selepas sesi pembukaan semula persekolahan setelah lebih tiga bulan bercuti disebabkan pendemik COVIC-19 yang melanda seluruh dunia.

Berita Oleh : Sektor Pendidikan Islam

image_pdfimage_print