Bacaan Surah Yassin dan Doa Selamat Sempena Pembukaan Semula Sekolah di Wilayah Persekutuan Labuan

Timbalan Pengarah Sektor Pengurusan Murid, Tn Hj Abdul Rahman bin Ahmad dan pegawai angkat sekolah Sahbudin bin Ag Muhamad turut hadir dalam majlis pagi tadi.

Labuan, 23 Jun – Majlis Bacaan Yaasin dan Doa Selamat sempena Pembukaan Semula Sekolah diadakan secara serentak bermula jam 8.30 pagi di 26 buah sekolah menengah dan sekolah rendah di Wilayah Persekutuan Labuan (JPWPL) secara online dengan disertai lebih daripada 1,110 orang warga pendidik di seluruh Labuan.

Majlis Bacaan Yaasin dan Doa Selamat diadakan untuk memohon perlindungan ke hadrat Allah s.w.t agar dipermudahkan segala urusan sesi pembukaan semula sekolah pada 24 Jun 2020 ini setelah lebih tiga bulan bercuti disebabkan pendemik Covic-19 yang melanda seluruh dunia. Cuti Pertengahan Penggal Persekolahan bermula 14 Mac 2020 dan ianya bersambung dengan cuti semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula 18 Mac 2020 sehinggalah 23 Jun 2020.   

Majlis tersebut telah diurus setiakan oleh Ketua Panitia Pendidikan Islam di semua sekolah di wilayah ini. Ianya turut dihadiri oleh Majlis Pengurusan Tertinggi (MPT), pegawai angkat sekolah, Ahli Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG),ibu bapa dan murid-murid.   

Menurut Timbalan Pengarah Sektor Pembelajaran merangkap Pemangku Pengarah, Encik Yusup bin Mohamad, majlis ini bertujuan untuk meniupkan semangat kembali ke sekolah setelah lama bercuti dan meningkatkan motivasi kepada para guru-guru agar bekerja dengan lebih bersunguh-sungguh dalam melaksanakan tugas hakiki iaitu pengajaran dan pembelajaran.

Dalam ucapannya selepas bacaan doa selamat, Encik Yusup bin Mohamad merakamkan ucapan terima kasih kepada guru yang telah mengambil pelbagai inisiatif dalam memastikan penyampaian pengajaran dan pembelajaran (PdP) kepada anak didik terus berjalan. Kaedah ‘Home Based Learning’ (HBL) dilaksanakan sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).  Kaedah HBL ini akan diteruskan kepada semua murid di sekolah rendah dan murid tingkatan satu hingga tingkatan empat di sekolah menengah sehingga sesi persekolahan mereka bermula.

Ketua Penolong Pengarah Sektor Pendidikan Islam, Puan Kamariah binti Salim turut merakamkan ucapan terima kasih di atas komitmen daripada ibu bapa yang cakna  terhadap pembelajaran anak-anak di rumah dengan menyediakan pelbagai kemudahan seperti akses internet dan peranti digital.

Sekitar Majlis Bacaan surah Yassin dan Doa Selamat Sekolah-sekolah di Wilayah Persekutuan Labuan secara telesidang menggunakan aplikasi google meet berjalan lancar.

“Kita memahami semangat berkobar-kobar anak-anak yang ingin kembali ke sekolah untuk belajar seperti biasa dan bertemu guru-guru serta rakan-rakan. Begitu juga kerinduan guru-guru untuk hadir ke sekolah bagi melaksanakan PdP. InshaAllah pada 24 Jun 2020 ini sesi persekolahan semula akan dibuka bagi murid-murid tingkatan 5 dan tingkatan 6 di lapan buah sekolah menengah dan sebuah Kolej Vokasional di Labuan”. Katanya semasa Majlis Bacaan Yassin dan Doa Selamat  Sekolah Menengah St Anthony secara maya pagi tadi.

Sekolah-sekolah di wilayah ini dalam keadaan kesiapsiagaan menerima kehadiran murid dan pembukaan semula sesi persekolahan. Pemantauan dan kunjung bantu daripada pegawai-pegawai Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan (JPWPL) ke semua sekolah telah dilaksanakan. Begitu juga penataran Garis Panduan Pengurusan Sekolah Pasca PKP kepada guru-guru, PIBG turut dilakukan bagi memastikan pengurusan sekolah berjalan lancar, Pengajaran dan Pembelajaran berlaku dalam keadaan selamat dengan mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP).

Kamariah Salim menyampaikan ucapan ringkas semasa telesidang Majlis Bacaan Yassin dan Doa Selamat bersama warga Sekolah Menengah St Anthony.

image_pdfimage_print