Lambaian Kasih dan Sanjungan Budi Pengarah Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan

Labuan, 20 Mei 2020 – Encik Raisin Saidin, Pengarah Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan (JPWPL) telah dinaikkan pangkat sebagai Timbalan Pengarah Kanan, Sektor Perancangan dan Pengoperasian, Bahagian Pengurusan Sekolah Harian, Kementerian Pendidikan Malaysia bermula 6 Mei 2020.

Majlis Lambaian Kasih dan Sanjungan Budi Pengarah Pendidikan JPWPL telah diadakan secara dalam talian sempena Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) bertempat di Bilik Mesyuarat Botanikal.

Majlis secara maya ini telah dihadiri oleh hampir 250 orang warga pendidikan WP Labuan.

Dalam ucapannya, Encik Raisin Saidin menzahirkan ucapan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada semua Warga Pendidikan Labuan yang sentiasa memberi kerjasama dan sokongan sepanjang tempoh beliau berkhidmat sebagai Pengarah Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan.

“Saya bersyukur kerana pernah berjuang bersama tuan/puan yang sangat komited, amanah dan professional dalam memikul tanggungjawab. Semoga kecemerlangan tersebut akan terus dipertingkatkan demi Labuan tercinta ini”.

“Saya sentiasa mendoakan agar tuan/puan sekalian diberikan kekuatan dan petunjuk untuk memimpin sekolah masing-masing seterusnya memacu kemakmuran Labuan”. Encik Raisin Saidin

Sepanjang tempoh 4 tahun 7 bulan menerajui Jabatan Pendidikan WP Labuan, beliau yang sinonim dengan tagline ‘Roh Guru Sentiasa Mendarah Daging’ ini telah banyak membawa perubahan dan kejayaan.

Antaranya ialah pengemblengan sumber manusia, pengurusan kewangan, pengurusan sekolah dan akademik serta pengurusan pentadbiran yang lebih efektif.

Seluruh warga Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan merakamkan setinggi-tinggi ucapan tahniah dan syabas kepada Encik Raisin Saidin di atas pelantikan sebagai  Timbalan Pengarah Kanan, Sektor Perancangan dan Pengoperasian, Bahagian Pengurusan Sekolah Harian, Kementerian Pendidikan Malaysia.

Semoga tuan terus maju jaya di bawah kepimpinan baharu ini demi kemenjadian murid-murid di Malaysia.

image_pdfimage_print