Edisi 5 : Keluaran Khas Sempena Perintah Kawalan Pergerakan
Selamat Hari Pekerja Tahun 2020

Assalamualaikum
Salam sejahtera
Catatan Pengarah Pendidikan WP Labuan

1 Mei 2020

Selamat Hari Pekerja kepada seluruh warga pendidikan Jabatan Pendidikan WP Labuan di semua peringkat pengurusan, di ibu pejabat dan sekolah.

Kita melalui satu pengalaman yang lain daripada kebiasaan dalam tempoh sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berikutan penularan wabak Covid-19. Satu pengalaman yg kita tidak pernah terfikir sebelum ini.

Bekerja dari rumah, mengajar dari rumah, guru berinteraksi dengan anak-anak murid dari rumah dan mengambil kehadiran murid dari rumah bagi setiap sesi PdP.

Semua ini dilakukan secara maya. Tentu saja pelbagai halangan terpaksa ditempuhi. Tetapi ayuh guru-guru Labuan, teruskan usaha murni memikul amanah guru. Bangga dapat mengharungi pengalaman ini. Bakal diceritakan kepada generasi akan datang.

Demikian juga pegawai-pegawai di Jabatan Pendidikan WP Labuan, bermesyuarat dari rumah menggunakan teknologi terkini.

Merancang, melaksana, memantau dan membuat penambahbaikan kepada aktiviti-aktiviti berpusat kepada murid yang dilaksanakan semasa PKP. Semua ini dilaksanakan secara maya. Terima kasih atas dedikasi anda semua.

Jiwa dan roh guru hadir dalam diri saya pada saat ini. Teringat saya akan sambutan Hari Guru yang kita sambut dan rayakan setiap tahun. Tahun ini tidak akan ada sambutan seperti tahun-tahun yang berlalu. Tiadalah sorakan gempita kerana johan sekolah paling ceria kerana keseragaman pakaian Hari Guru, kehadiran paling ramai, sorakan paling ceria dan lain-lain. Ini semua adalah sejarah yg akan disebut sampai bila-bila.

Hari Guru adalah hari kita. Besar maknanya kepada kita. Tinggi nilainya, kerana guru adalah pembina peradaban dan tamadun manusia. Hari Guru lambang kesatuan hati guru-guru.

Saya doakan semua guru WP Labuan diberikan Allah kesihatan yang baik dan meneruskan tugas dengan penuh dedikasi.

Selamat Hari Pekerja tahun 2020.

Salam mesra kepada semua guru di pelbagai peringkat.

Raisin Saidin
Pengarah Pendidikan
JPWP Labuan
1 Mei 2020

Stay at home
Kita boleh menang!!!

image_pdfimage_print