Pelancaran Ihya Ramadhan Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan 2020

Labuan, 24 April 2020 – Ramadhan sudahpun menjelang tiba. Bulan yang mulia, penuh keberkatan, kerahmatan dan keampunan yang Allah janjikan kepada seluruh umat untuk mendapat pahala yang berlipat ganda. Bulan ini disambut penuh meriah oleh seluruh umat Islam di seluruh dunia.

Bagi mereka yang mempunyai azam yang tinggi untuk merubah hidup, Ramadhan menjadi salah satu titik permulaan bagi mereka untuk membina diri dan keluarga yang lebih dekat dengan Allah S.W.T.

Ramadhan adalah merupakan madrasah tarbiyah ruhiyyah wa jasadiyah untuk mendidik dan membentuk diri menjadi mukmin sejati serta meningkatkan ketaqwaan kepada Allah SWT dengan satu tujuan agar diri menjadi hamba yang diredhai dan dicintai Allah serta selamat di dunia dan akhirat.

Justeru, pelbagai amalan sunat yang semestinya kita kerjakan tanpa meremehkan tuntutan fardhu.

Menyedari hakikat inilah, Kelab Pendidikan dengan kerjasama Sektor Pendidikan Islam, Jabatan Pendidikan W.P.Labuan meneruskan kesinambungan tarbiyah dengan menyusun pelbagai pengisian di bulan Ramadhan Al-Mubarak ini. Mudah-mudahan melalui penyertaan program seumpama ini, akan membuahkan hasil dan diterima sebagai amal ibadah di sisi Allah SWT.

Daripada Abu Hurairah RA bahawa Nabi SAW bersabda :

“ Sesiapa yang berpuasa Ramadhan kerana iman dan ketaatan kepada Allah, serta mengharapkan keredhaannya, akan diampunkan semua dosanya yang telah telah lepas. ”
(Hadith Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Pada tahun 2020 ini, kita semua menyambut Ramadhan kareem dalam suasana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Memulakan suatu yang baharu di rumah bersama keluarga. Iaitu amalan yang kebiasaannya dahulu dilakukan secara beramai-ramai seperti solat tarawih yang kebiasaannya secara berjemaah di masjid, bersungkai beramai-ramai, bertadarus dan bertadabbur Al Quran secara berkumpulan dan sebagainya. Namun, itu bukanlah penghalang untuk kita melakukan ibadah-ibadah lain untuk mengimarahkan Ramadhan pada kali ini.

Oleh yang demikian, bagi menyambut seruan Rasulullah S.A.W., kami warga JPWPL bersedia untuk merebut ganjaran yang berlipat ganda yang telah dijanjikan oleh Allah S.W.T. dengan menjayakan program Ihya’Ramadhan, inshaAllah.

Program Bacaan Yassin secara dalam talian setiap hari jumaat

Program ini tidak lain tidak bukan adalah untuk kelangsungan tarbiyah warga JPWPL di bulan Ramadhan yang mulia ini.

Tujuan Program Ihya’ Ramadhan 1439H ini dilaksanakan adalah untuk:

  1. ​Menyemarakkan ramadhan kareem dalam diri setiap muslim khususnya ahli kelab dan ummat Islam amnya.
  2. ​Meningkatkan amalan di bulan ramadhan melalui amalan bersedekah, bertadarus, mendengar tazkirah, menjalin ukhuwah.
  3. ​Merungkai permasalahan berkaitan ibadah berpuasa, ibadah fardhu ain dan fardhu kifayah.
  4. ​Mengeratkan muhibbah dan silaturrahim di kalangan ahli kelab.
  5. Menanamkan sifat dan rasa bersyukur, saling berkongsi rezeki dan
    membantu orang sekeliling yang hidup dalam kesempitan dan kelaparan melalui amalan bersedekah.

Aktiviti program Ihya’Ramadan tahun 2020:

  1. Tabung infa’ Ramadhan
  2. Tazkirah Jumaat
  3. Soal jawab agama `Biar tahu jangan keliru’
  4. Bacaan surah yassin setiap pagi Jumaat
  5. Tadarus Al-Quran berjemaah di rumah masing-masing.
  6. Penyampaian sumbangan ‘kasih sayang’ warga kelab pendidikan.
  7. Kuiz agama
  8. Edaran template & bahan digital berkaitan kaifiat berpuasa

Majlis Pelancaran Ihya Ramadhan dan Tabung Infaq Ramadhan Kelab Pendidikan JPWPL telah disempurnakan oleh Encik Raisin Saidin, Pengarah Jabatan Pendidikan WP Labuan dalam program bacaan Yassin secara dalam talian, hari ini.

“InsyaAllah dengan usaha murni pelancaran Tabung Infaq Ramadhan Kelab Pendidikan ini juga diharap dapat meringankan beban mereka yang kurang bernasib baik terutamanya dalam tempoh yang sukar ini serta menyemai kasih sayang yang lebih erat di kalangan warga kelab pendidikan”.


“Tabung ini akan dibuka sehingga penghujung bulan Ramadhan bagi menggalakkan warga JPWPL untuk sama-sama menyumbang dan merebut pahala di bulan penuh barakah nanti,” Encik Raisin Saidin

Ahli kelab yang ingin memberi sumbangan kepada Tabung Infaq Ramadan Kelab Pendidikan boleh menghubungi pengerusi kelab Encik Azeryn Hj Mamma.

Saya akhiri ucapan ini, dengan serangkap pantun:

“Marhaban ya Ramadhan..
Pohon langsat bertunas menjulang,
Dahannya patah jatuh ke halaman,
Puasa Ramadhan kembali menjelang,
Salah dan khilaf mohon dimaafkan”

“saya dan keluarga mengucapkan Selamat Menjalani Ibadah Puasa kepada semua ahli Kelab Pendidikan dan rakan muslimin.
Sekian, wabillahi taufiq walhidayah, wassalamualaikum warohmatullahi wabarakatuh”

image_pdfimage_print