Edisi 3 – Keluaran Khas Sempena Perintah Kawalan Pergerakan :
PdP DALAM TEMPOH PKP DI LABUAN BERJALAN LANCAR

Murid SK Patau-Patau menyiapkan tugasan yang diberikan oleh guru melalui internet

Labuan, 17 April 2020 – Dalam tempoh arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang memasuki fasa ke-3 sehingga 28 April ini, Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) di Labuan  tetap berjalan dengan lancar.

Meskipun berhadapan dengan cabaran baharu kepada pendidik dengan penutupan sekolah, guru-guru Labuan sentiasa memastikan murid-murid mereka terus dapat belajar walau dengan cara apa sekali pun.  

Mengikut kajian dan analisis yang dibuat oleh Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan dengan kerjasama pihak sekolah, didapati bahawa penggunaan aplikasi WhatsApp merupakan kaedah yang paling popular digunakan oleh guru-guru di Labuan. Murid-murid juga mudah menggunakan kaedah ini. 

Hal ini kerana,  aplikasi WhatsApp mudah dan telah sedia ada digunapakai oleh hampir keseluruhan  ibu bapa yang memiliki telefon pintar. 

Seramai 1118 orang guru atau 88.5% guru di Labuan menggunakan aplikasi WhatsApp sebagai medium interaksi bersama ibu bapa dan murid.

WhatsApp  dan telegram digunakan oleh para guru untuk menyampaikan maklumat, video, rakaman suara, arahan, tugasan dan latihan kepada murid-murid.

Pembelajaran digital google classroom yang telah sedia ada digunakan di Kementerian Pendidikan Malaysia untuk pembelajaran murid dapat membantu guru selain aplikasi lain yang membolehkan interaksi secara terus dengan murid dapat dilakukan.

Bagaimanapun tidak semua ibu bapa mampu  untuk menyediakan fasiliti pembelajaran dalam talian. 

Sehubungan itu, guru mengambil inisiatif sedia ada dengan menggunakan buku teks, buku latihan sebagai bahan pembelajaran dan telefon sebagai medium perantaraan interaksi.

Semuanya ini untuk memastikan pembelajaran tetap berjalan lancar walaupun mereka tidak berada di sekolah mahupun di dalam bilik darjah.

Tinjauan penglibatan guru-guru di Wilayah Persekutuan Labuan mendapati 93.75% melaksanakan PdP dalam tempoh arahan Perintah Kawalan Pergerakan sehingga 3 April 2020.

Perkembangan pembelajaran digital dan PdP berbantukan internet di Labuan juga menunjukkan peningkatan yang positif.

Encik Raisin Saidin, Pengarah Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan berharap PdP guru mengajar dari rumah sentiasa berjalan dengan baik dan lancar sepanjang tempoh PKP berjalan.

Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan telah mengenalpasti beberapa isu dan cabaran dalam melaksanakan PdP sepanjang PKP ini. Antara isu dan cabaran ialah :

  • Tidak semua ibu bapa mampu untuk menyediakan fasiliti pembelajaran dalam talian.
  • Ibu bapa berkongsi telefon pintar mereka dengan anak-anak . Bagi ibu bapa yang mempunyai ramai anak bersekolah, masalah ini bertambah lebih berat.

“Saya merakamkan ucapan terima kasih kepada ibu bapa yang amat memahami pelaksanaan PdP semasa PKP ini dan mengambil berat tugasan yang guru hantar ke telefon pintar serta laptop ibu bapa.” Encik Raisin Saidin

Berikut adalah kaedah yang digunakan oleh guru-guru di Wilayah Persekutuan Labuan mengikut kaedah pembelajaran :

Sumber : Sektor Pembelajaran, Jabatan Pendidikan WP Labuan

Berikut pula adalah data penglibatan guru-guru Wilayah Persekutuan Labuan dalam PdP bermula 30 Mac sehingga 3 April 2020 :

Test
Sumber : Sektor Pembelajaran, Jabatan Pendidikan WP Labuan

Koleksi gambar yang mewarnai pelaksanaan PdP semasa PKP di Labuan.

Murid SK Tanjung Aru membuat latihan bertulis di rumah

image_pdfimage_print