Kem Interaksi Pemimpin Muda Asah Bakat Kepimpinan Murid-Murid SMK Mutiara

Gambar kenangan peserta program Kem Interaksi Pemimpin Muda (KIPM) 3.0 bersama guru-guru SMK Mutiara

Labuan, 9 Mac 2020 – SMK MUTIARA dengan kerjasama Persatuan Belia Harmoni, UMSKAL telah berjaya melaksanakan Kem Interaksi Pemimpin Muda (KIPM) 3.0 pada 6 hingga 8 Mac 2020 yang lalu.

KIPM yang turut mendapat kerjasama daripada Pertumbuhan IKRAM Malaysia dan MAIWP telah menghimpunkan seramai 150 peserta yang terdiri daripada Pengawas Sekolah, Pengawas Pusat Sumber(PSS) dan Pembimbing Rakan Sebaya (PRS).

Menurut Penyelaras Program, Ustazah Rohani binti Tali, kem kepimpinan 3 hari ini telah dikelolakan sepenuhnya oleh Persatuan Belia Harmoni (PBH) Labuan yang terdiri daripada 40 mahasiswa dan mahasiswa daripada UMSKAL sebagai fasilitator.

Selain itu, seramai 10 orang guru SMK Mutiara terlibat dalam memastikan keselamatan dan kebajikan semua peserta terjaga.

“Sepanjang 3 hari ini, para peserta kem telah menjalani pelbagai aktiviti dalam membina jati diri kepimpinan termasuklah membina keperibadian mulia, perwatakan hebat dan komunikasi serta interaksi berkesan. Antara aktiviti yang telah dijalankan ialah termasuklah Explorace 9 stesyen, sesi ceramah Terlajak Laris dan sesi motivasi diri” Ustazah Rohani binti Tali

Para peserta kem tetap bersemangat walaupun penat menjalani pelbagai aktiviti yang mencabar mental dan fizikal.

Penceramah sedang berinteraksi dengan peserta program, murid-murid SMK Mutiara

Salah seorang peserta, Adik Mohd Afiq Dzulfadli ketika ditemui berkata beliau bersyukur kerana berpeluang menyertai KIPM kali ini. Adik Mohd Afiq yang juga terpilih sebagai peserta terbaik lelaki menyifatkan aktiviti yang dilaksanakan telah berjaya meningkatkan keyakinan dirinya dalam melaksanakan tanggungjawab sebagai ketua murid SMK Mutiara.

Peserta terbaik wanita pula disandang oleh Adik Nur Ain Haziqah binti Mohd Rashidin. Beliau begitu teruja kerana aktiviti-aktiviti yang diterapkan berjaya memberi pengalaman baharu kepada dirinya. Beliau turut berazam menggunakan segala pengalaman itu dalam melaksanakan tugas-tugasnya sebagai Penolong Ketua Pengawas sekolah.

Majlis penutupan perasmian telah disempurnakan oleh Pengetua SMK Mutiara, Encik Mohd Nizam bin Yasim. Dalam ucapannya, beliau telah menyuntik semangat dan motivasi kepimpinan kepada para peserta dengan membawa contoh tokoh-tokoh yang telah berjaya menunjukkan daya kepimpinan yang tinggi dalam usia yang sangat muda.

Antaranya ialah Sultan Mohamed Al-Fateh yang ketika itu berusia 21 tahun telah berjaya membuka Kota Constantinople yang dibatasi oleh pagar empat lapisan setinggi 25 kaki dan sepanjang 160 kaki. Manakala Usamah bin Zaid pula telah dilantik sendiri oleh Baginda Rasulullah s.a.w sebagai panglima perang pada usia 18 Tahun.

“Sejarah telah membuktikan bahawa usia bukanlah penghalang untuk menjadi pemimpin hebat. Seorang pemimpin mesti mempunyai pengetahuan, kemahiran dan nilai-nilai yang baik. Ketokohan kepimpinan boleh diasuh dan digilap bukan dilahirkan semata-mata” ujar beliau.

“Di zaman milinuem ini pula, dunia telah menyaksikan Perdana Menteri termuda di dunia dari Austria, Sebastian Kurn yang berusia 32 tahun. Manakala Finland, sebuah negara terhebat dalam pendidikan pula dipimpin oleh seorang Perdana Menteri wanita, Sanna Marin yang berusia 34 tahun” tambah beliau lagi.

Salah seorang penceramah jemputan sedang memberi motivasi kepada murid-murid SMK Mutiara

Beliau turut menyeru kepada semua peserta agar segala kemahiran dan pengalaman yang diperolehi dijadikan sebagai azimat dan panduan dalam melaksanakan tugas dan tanggungjawab mereka sebagai pengawas sekolah.

Di akhir ucapan, Encik Mohd Nizam turut menzahirkan ucapan terima kasih dan menyampaikan sijil-sijil penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan KIPM 3.0 kali ini.

Turut hadir dalam majlis ini ialah Dr. Muhammad ‘Ammar bin Abdul Wahab, wakil Pertumbuhan IKRAM Malaysia, Mohd Nadzri bin Mohammad @ Namli, Pengerusi Belia Harmoni Labuan, Puan Nurul Izzati binti Abdul Razak, Penyelaras Program dan Mohammad Azmi bin Abdul Ahmad, Pengarah program KIPM 3.0.

Berita Oleh : SMK Mutiara

Encik Mohd Nizam menyampaikan hamper kepada peserta terbaik lelaki Mohd Afiq Dzulfadli
Peserta terbaik perempuan Nur Ain Haziqah binti Mohd Rashidin

image_pdfimage_print