SMK Rancha-Rancha Melahirkan Pemimpin Masa Depan

YB Datuk Rozman, Encik Raisin Saidin, Encik Yahya, Tuan Haji Abdul Rahman bergambar beramai-ramai dengan pemimpin muda SMK Rancha-Rancha. Turut bersama pemimpin-pemimpin jemputan dari SMK Taman Perumahan Bedaun, SM Sains dan Pemimpin Kecil SK Sungai Lada dan SK Sungai Bedaun .

Labuan 19 Feb 2020 – Buat julung-julung kalinya SMK Rancha-Rancha telah mengadakan satu program Dialog Pemimpin Muda Bersama YB, Datuk Haji Rozman Bin Datuk Haji Isli, Ahli Parlimen P166 Labuan.

Program yang diadakan di Anjung Budaya, Kampung Layang-Layangan ini merupakan program yang berhasrat membentuk kemenjadian murid untuk menjadi pemimpin masa depan.

Program ini melibatkan pemimpin muda sekolah seramai 108 orang yang terdiri daripada Pengawas-pengawas sekolah, Pembimbing Rakan Sebaya (PRS) dan Pengawas Pusat Sumber Sekolah. SMK Rancha-Rancha juga turut menjemput pemimpin muda dari Sekolah Menengah Sains Labuan dan Sekolah Menengah Taman Perumahan Bedaun Labuan di samping pemimpin kecil dari Sekolah Kebangsaan Sungai Lada dan Sekolah Kebangsaan Sungai Bedaun untuk turut sama berkongsi pemikiran dan pengalaman dalam dialog tersebut.

YB Datuk Rozman, bersama Encik Raisin Saidin, Tuan Haji Abdul Rahman, DSP Mohd Firdaus dan En Yahya

Datuk Rozman berkata program seumpama ini merupakan satu bentuk program yang membentuk murid-murid untuk berani menyampaikan idea serta berkongsi pendapat serta pemikiran yang lahir daripada pemimpin muda. Mereka inilah yang akan mewarnai masa depan negara kerana pemimpin muda adalah pemimpin masa depan.

Beliau juga mengucapkan tahniah kepada SMK Rancha-Rancha kerana mempunyai inisiatif untuk mengadakan program dialog ini semata-mata untuk mengetengahkan kepimpinan anak muda khususnya di peringkat sekolah supaya mereka ini dapat menjadi pemimpin yang berkarisma pada masa akan datang.

Tambahnya pula, pemimpin yang sedia ada silih berganti dan persiapan perlu dibuat sekarang untuk melahirkan pemimpin yang berkredibiliti agar kita tidak ketandusan pemimpin berkaliber.

Sebanyak 10 soalan dikemukakan oleh pemimpin-pemimpin muda yang berkisar tentang aspek politik, pembangunan pemimpin muda, sosial serta isu-isu pendidikan. Dialog yang berlangsung selama hampir dua jam itu mampu memberikan impak besar dari segi keberanian pemimpin-pemimpin muda untuk menyuarakan isu-isu yang bersifat semasa.

Yang Berhormat Datuk Rozman Bin Datuk Haji Isli turut menyampaikan watikah pelantikan kepada pemimpin muda SMK Rancha-Rancha.

Terdahulu, Encik Raisin Saidin, Pengarah Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan juga mengucapkan tahniah kepada SMK Rancha-Rancha kerana berjaya menyahut saranannya untuk mengetengahkan kepimpinan muda yang dilontarkannya semasa Program ‘Maitah Badudun Mesra Kampung” di Dewan Komuniti, Kg Sungai Bedaun pada tahun 2016.

Beliau juga mengucapkan terimakasih kepada YB Datuk Rozman yang sanggup turun padang untuk berjumpa dengan pemimpin muda SMK Rancha-Rancha. Beliau mengharapkan agar idea seperti ini perlu diteruskan dan mahu SMK Rancha-Rancha menyambut ideanya dan menjadi pengelola untuk siri akan datang.

Dalam majlis itu juga, YB Datuk Rozman juga turut menyampaikan watikah pelantikan kepada semua pemimpin muda di Sekolah Menengah Kebangsaan Rancha-Rancha yang terdiri daripada pemimpin tiga peringkat yang membantu melicinkan pengurusan sekolah.

Turut hadir dalam program berkenaan ialah Encik Raisin Saidin, Pengarah Jabatan Pendidikan Labuan, Tuan Haji Abdul Rahman, Timbalan Pengarah, Sektor Pembangunan Murid, DSP Mohd Firdaus Ramli, serta Encik Yahya Ahmad Puteh, Pengetua SMK Rancha-Rancha Labuan.

Berita Oleh : Encik Yahya Ahmad Puteh, Pengetua SMK Rancha-Rancha

Encik Raisin Saidin menyampaikan ucapan alu-aluan dalam majlis Dialog Pemimpin Muda Bersama Ahli Parlimen Labuan

image_pdfimage_print