ACHILLEA Ungguli Sukan Tahunan SMK Mutiara Kali Ke-17

Kegembiraan jelas terpancar : Kontinjen Rumah Achillea dengan Piala Johan Keseluruhan

Labuan, 17 Feb – Sekolah Sukan Negeri, SMK Mutiara telah berjaya menganjurkan kejohanan sukan Tahunan kali ke-17 dengan jayanya. Agenda penting dalam takwim sekolah ini telah berlangsung dengan penuh meriah mulai 11 sehingga 15 Februari 2020.

Menurut Encik Jostelen Lamibai, Penolong Kanan Kokurikulum merangkap Pengerusi Pengelola kejohanan, sebanyak 67 acara sukan pelbagai kategori dipertandingkan dalam tempoh 5 hari. Kebanyakkan acara padang dilaksanakan di padang sekolah pada waktu petang manakala semua acara balapan telah dianjurkan di Kompleks Sukan Labuan.

Acara perasmian pembukaan telah disempurnakan oleh Timbalan Pengarah Pendidikan, Sektor Pembangunan Murid, Tuan Haji Abdul Rahman bin Ahmad pada 12 Februari 2020 bertempat di Kompleks Sukan Labuan. Dalam ucapannya beliau menyarankan semua atlet mesti bersungguh-sungguh menunjukkan kehebatan dan keupayaan masing-masing dalam acara yang diceburi.

“Semua atlet perlu menunjukkan semangat juang tinggi dan bertanding dengan adil demi kecemerlangan sukan. Semangat ini perlu dibawa ke dalam bilik darjah supaya kita dapat mengimbangi kehebatan dalam bidang Kokurikulum dan Akademik” katanya lagi.

Tuan Haji Abdul Rahman bin Ahmad, Pengetua dan Tetamu lain bersama pemenang

Terdahulu Pengetua SMK Mutiara, Encik Mohd Nizam bin Yasim dalam ucapannya mengalu-alukan kesudian hadir tetamu kehormat untuk merasmikan kejohanan dan mengucapkan terima kasih atas kehadiran Naib YDP PIBG, Puan Zuraidah binti Ahmad, para ibubapa dan murid-murid. Beliau turut mengucapkan terima kasih atas komitmen guru-guru dalam memastikan Pengelola an kejohanan kali ini berjalan lancar Walaupun dalam cuaca panas terik.

Seramai 267 atlet daripada 4 rumah sukan termasuk atlet daripada PPKI telah mengambil bahagian. Acara untuk murid PPKI hanya melibatkan 2 acara sahaja iaitu 100m dan 4 x 100 meter. Rumah sukan Achillea telah berjaya muncul juara keseluruhan dengan mengutip 22 pingat Emas 29 pingat Perak dan 21 pingat Gangsa. Rumah Dahlia dan Begonia pula berjaya menjadi naib Johan dan tempat ketiga masing-masing.

Kejohanan kali ini telah melabuhkan tirainya pada jam 11 pagi tadi telah menyaksikan 4 rekod baharu tercipta. Adik Aizul bin Husin dari rumah Dahlia berjaya mencatat dua rekod baharu melalui acara kegemaran beliau iaitu 110 meter lari berpagar dan 100 meter lelaki bawah 18 tahun. Beliau telah mencatat 14:73 saat dalam 100m berpagar memadam rekod lama 15:33 saat catatan adik Aidil Mubarak pada tahun 2017.

Selain itu adik Aizul turut berjaya mencatat 10:88 saat dalam acara pecut 100meter L18 meleburkan rekod lama 10:93 saat yang dibuat oleh adik Mohd Arif bin Aspan pada 2013.

Adik Aizul ketika ditemui turut melahirkan rasa puas hati kerana berjaya memecahkan dua rekod dalam dua acara kegemarannya. “Saya tidak menyangka dapat mencatat masa terbaik dan memecah rekod kejohanan. Saya akan terus berlatih dan berusaha bersungguh-sungguh untuk membawa nama baik SMK Mutiara dalam MSSWPL nanti” kata beliau lagi.

Sementara itu Adik Nur Izzah Faiqah binti Isman dari Rumah Achillea turut cemerlang dalam 100 meter lari berpagar P18 dengan catatan rekod baharu 18:54 saat mengatasi rekod lama 18:81 saat yang dibuat oleh adik Stella Josiris pada tahun 2007. “Saya bersyukur atas kejayaan memadam rekod yang telah berusia 13 tahun dan akan terus berusaha dengan lebih tekun pada masa akan datang” ujar adik Nur Izzah lagi.

Mana kala adik Beverly Liew Hui Wen juga dari Rumah Achillea pula cemerlang dengan rekod baharu dalam acara 1500m P18. Beliau berjaya mencatat masa 6 minit 28:06 saat untuk mengatasi rekod lama 6 minit 42:21 saat yang dicipta Adik Hegalashini a/p Gopalakrishnan pada tahun 2015.

Atlet Terbaik mengikut kategori telah dimenangi oleh Adik Ayriel Firdaus Bin Alias dengan pencapaian 4 Pingat Emas dan 1 Gangsa bagi Kategori Lelaki Bawah 15 Tahun. Adik Chai Jia Sing pula mengungguli Kategori Perempuan 15 Tahun ke bawah dengan 3 Pingat Emas dan 2 Pingat Perak.

Dalam kategori bawah 18 Tahun pula, atlet terbaik lelaki diraih oleh Adik  Aizul Bin Husin dan adik Beverly Liew Hui Wen bagi Kategori wanita. Selain acara 100m dan 110m berpagar, Adik Aizul telah berjaya menggondol 2 lagi pingat Emas dalam acara 400 Meter Lari Berpagar dan 4X100 Meter serta satu pingat Gangsa melalui acara 4X400 Meter. Manakala adik Beverly Liew Hui Wen pula berjaya mendapat 5 pingat emas dalam acara yang disertai, 800 Meter, 1500 Meter, 3000 Meter Terbuka, 4X100 Meter dan 4X400 Meter.

Kejayaan memecah dua rekod kejohanan telah menobatkan adik Aizul bin Husin Sebagai Olahragawan sekolah tahun ini. Olahrawati pula dirangkul oleh Adik Beverly Liew Hui Wen dengan 5 Pingat Emas selain mencipta satu rekod baharu kejohanan.

Acara penutup telah menyaksikan kehebatan guru-guru rumah Dahlia berjaya menjadi Johan dalam acara 8 x 50m. Selain itu, rumah Dahlia turut menjadi Johan perbarisan rumah.

Berita Oleh : SMK Mutiara

Wajah ceria murid-murid SMK Mutiara

image_pdfimage_print