Empat Guru PPKI SMK Mutiara Berpindah Tempat Bertugas

Pengetua SMK Mutiara Encik Mohd Nizam turut sama dalam jamuan perpisahan

Labuan, 14 Feb – Suasana sedih menyelubungi majlis perpisahan empat guru Program Pendidikan Khas dan Inklusif (PPKI) SMK Mutiara hari ini. Mereka terlibat dalam proses penempatan semula (redeployment) oleh Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan dan akan memulakan tugas di sekolah baharu bermula 17 Februari ini.

Guru-guru yang terlibat ialah Puan Maslika Binti Ramli@Yusoff , Cik Lee Vi Ly dan Puan Helmi Binti Yusup. Mereka ditempatkan semua (redeployment) ke PPKI SMK Lajau mulai Isnin ini. Manakala seorang lagi iaitu Cikgu Masitoh binti Hassan di tempat semula di PPKI SK Pekan Satu.

Majlis yang diadakan di ruang rehat Bangunan PPKI dimulakan dengan bacaan tahlil dan doa selamat bagi memohon keberkatan kepada Cikgu Siti Nora binti Abdul Razak, salah seorang guru PPKI yang akan menunaikan ibadat umrah pada Hujung bulan ini.

Seterusnya majlis turut memberi kesempatan kepada keempat-empat guru berkenaan berucap buat kali terakhir di hadapan kira-kira 50 murid PPKI sekolah ini.

Dalam kesedihan mereka meluahkan rasa gembira dan selesa sepanjang bertugas di sekolah ini dan memohon maaf seandainya ada perlakuan daripada mereka membuat guru, PPM dan murid-murid berkecil hati. Guru-guru ini juga menyampaikan kata-kata semangat kepada murid agar terus memajukan diri masing-masing. Suasana bertukar menjadi sedih apabila sebahagian murid PPKI tidak dapat mengawal emosi dan mula menangis menahan kesedihan masing-masing.

Kebanyakkan daripada mereka telah bersama-sama mengharungi kehidupan di PPKI SMK Mutiara selama hampir 5 tahun. Keadaan murid-murid PPKI yang memerlukan perhatian, bimbingan dan komitmen daripada guru-guru menyebabkan hubungan antara mereka sangat rapat dari hari ke hari. Tidak hairanlah majlis perpisahan ini terkesan di hati mereka.

Puan Maslika binti Yusuf ketika menyampaikan ucapan perpisahan turut mengalirkan air mata menahan rasa sebak. Beliau yang mula berkhidmat di sekolah ini sejak 8 tahun yang lalu berasa sangat sedih kerana terpaksa berpisah dengan anak-anak kelainan upaya ini. Baginya anak-anak ini sangat istimewa dan begitu rapat di hatinya. SMK Mutiara juga sangat dekat di hatinya kerana di sini beliau telah bertemu jodoh dengan Cikgu Mohd. Khairul Ikhsan Bin Mohd. Abd. Razak, juga seorang guru PPKI di sekolah ini.

Penolong Kanan PPKI, Puan Roslaniah Binti Zainal ketika menyampaikan ucapan merakamkan ucapan terima kasih atas pengorbanan, kesabaran dan komitmen guru-guru dalam melaksanakan tugas dan tanggungjawab mereka sebagai guru. “Penempatan semula ini dibuat atas kepentingan perkhidmatan dan bukannya atas sebab-sebab lain” ujarnya lagi.

Majlis telah diakhiri dengan jamuan makan pagi untuk semua murid dan Guru PPKI yang disumbangkan oleh warga PPKI SMK Mutiara. Turut hadir di dalam majlis ini ialah Naib Yang Dipertua PIBG, Puan Zuraidah binti Ahmad.

Berita Oleh : SMK Mutiara

Kesedihan jelas terpancar di wajah murid-murid PPKI SMK Mutiara

image_pdfimage_print