Kehadiran Ibu Bapa Murid SK Sungai Bedaun Dapat Sambutan Memberangsangkan

Murid-murid ceria merakamkan kenangan bergambar bersama ibubapa sebaik selesai majlis Penutupan

Labuan, 28 Januari 2020 – Kehadiran ibu bapa murid SK Sungai Bedaun ke Majlis Penutupan Program Transisi dan Guru Penyayang Tahun 1 bagi tahun 2020 pada 17 Januari lalu, mendapat sambutan yang memberangsangkan dengan catatan kehadiran seramai 71 orang.

Ini menampakkan satu respon positif daripada ibu bapa dalam memberi sokongan kepada aktiviti-aktiviti sekolah yang mana berkait rapat dengan kemenjadian murid itu sendiri.

Guru besar SK Sungai Bedaun, Puan Dg Sarifah A.Mahmod merakamkan ribuan terima kasih atas kesudian para ibu bapa yang hadir meskipun dengan kekangan kerja di luar yang begitu sibuk.

Murid-murid telah menunjukkan bakat masing-masing dengan mempersembahkan beberapa persembahan yang mencuit hati para penonton.

Program Transisi Tahun 1 merupakan satu program yang bertujuan untuk membantu murid-murid menyesuaikan diri dengan keadaan, persekitaran dan pembelajaran yang berbeza daripada alam pendidikan di prasekolah atau tadika.

“ Melalui Program Transisi ini, para guru dapat menyelaras keperluan kognitif, emosi dan jasmani murid-murid secara menyeluruh sebelum memulakan proses pengajaran dan pembelajaran secara formal di Tahun 1. Adalah diharapkan kanak-kanak yang datang dari pelbagai latar belakang sosio ekonomi, persekitaran dan pengetahuan akan dapat menyesuaikan diri dan bersedia meneruskan pembelajaran secara formal.” Ujar Puan Dg Sarifah.

Majlis ini telah dirasmikan oleh Pegawai Angkat sekolah, Encik Mohamad bin Pindut. Hadir bersama dalam majlis ini ialah Puan Wiwik Iswandari Sudirman, YDP PIBG SK Sungai Bedaun.

Encik Mohamad selaku pegawai angkat sekolah turut berasa gembira atas kerjasama padu yang diberikan oleh ibu bapa SK Sungai Bedaun. Beliau mengharapkan agar para ibu bapa dapat terus menyokong segala usaha sekolah dalam membangun sahsiah serta akademik anak-anak murid.

Murid-murid gembira bergambar bersama Encik Mohamad (empat dari kiri) Puan Dg. Sarifah (tiga dari kiri) , Puan Wiwik (dua dari kiri) , Puan Zubaidah (kiri sekali) dan Puan Mylsa -Guru Kelas (kanan sekali) sambil memegang hadiah masing-masing.

Majlis turut diceriakan dengan pelbagai persembahan menarik daripada kesemua 112 orang murid Tahun 1 yang begitu cilik sekali. Dalam tempoh 3 minggu transisi ini, murid-murid telah didedahkan dengan pelbagai kemahiran bukan sahaja asas menulis, membaca dan mengira, malahan juga unsur kebudayaan dan kesenian.

Majlis diakhiri dengan sambutan hari lahir murid-murid yang lahir pada Bulan Januari dan sesi pemotongan kek. Sambutan ini adalah di bawah program Bimbingan dan Kaunseling, yang dikendalikan oleh Puan Norsidah Binti Mat Yassin, selaku guru Bimbingan dan Kaunseling sekolah.

Berita Oleh : SK Sungai Bedaun

Encik Mohamadmenyampaikan hadiah kepada Adik Muhammad Fahmi Zharfan murid terbaik sepanjang Program Transisi dilaksanakan sambil diperhatikan oleh Puan Dg. Sarifah (dua dari kiri) dan Puan. Wiwik Iswandari(kiri sekali)
Murid-murid yang lahir pada bulan Januari juga diraikan menyambut hari jadi mereka
En. Mohamad Pindut (empat dari kiri) bergambar kenangan sebaik selesai merasmikan majlis Penutupan Minggu Transisi Tahun 1 SKSB . Turut kelihatan Puan Dg. Sarifah (tiga dari kiri) Puan Wiwik (dua dari kiri) Penolong-penolong kanan dan AJK Pelaksana Program

image_pdfimage_print