SMK Mutiara Rangkul Dua Anugerah Dalam Simposium dan Ekspo Kaunseling Peringkat Kebangsaan

Pengetua SMK Mutiara merakam penghargaan kepada Penolong Kanan HEM, Encik Hisyam Abdul Aziz dan dua orang Kaunselor sekolah iaitu Encik Mohd Hafiz (kiri sekali) dan Puan Normaisaraf (Kanan sekali)

Labuan, 29 Januari 2020 – SMK Mutiara telah dianugerahkan dua pengiktirafan dalam Simposium dan Ekspo Kaunseling Serta Pembangunan Sahsiah Murid  Peringkat Kebangsaan Kali ke-6 yang telah berlangsung pada 11 sehingga 13 November 2019 di Infrastructure University Kuala Lumpur.

Anugerah berjaya diperolehi oleh Unit Hal Ehwal Murid SMK Mutiara atas penarafan cemerlang kebangsaan dalam kategori Pengurusan Sahsiah Terpuji Gemilang (Sekolah Menengah). Satu lagi anugerah yang diterima ialah dalam kategori Perkhidmatan Kaunseling Cemerlang (Sekolah Menengah).

Kedua-dua anugerah disampaikan oleh Pengarah Pendidikan W.P.Labuan, Encik Raisin Saidin pada 16 Januari 2020 sempena majlis Perhimpunan Bulanan Jabatan di Sektor Sumber Teknologi Pendidikan (SSTP), Sungai Lada.

Program ini dianjurkan oleh Bahagian Pengurusan Sekolah Harian (BPSH), Kementerian Pendidikan Malaysia sebagai acara tahunan untuk mengiktiraf pencapaian cemerlang dalam pengurusan kaunseling sekolah-sekolah di Malaysia.

Penolong Kanan HEM SMK Mutiara, Encik Hisham Abdul Aziz ketika ditemui berkata pengiktirafan yang diterima adalah sangat bermakna kerana secara langsung pihak kementerian telah mengiktiraf usaha-usaha dan amalan-amalan terbaik sekolah ini dalam menangani masalah disiplin dalam kalangan murid-murid yang berisiko.

Beliau turut menyingkap sejarah pada tahun 2016 di mana SMK Mutiara telah dikategorikan sebagai sekolah Hotspot Salah laku Disiplindi Wilayah Persekutuan Labuan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia.

Bermula daripada itu, pihak sekolah telah berusaha bersungguh-sungguh untuk menangani masalah disiplin dalam kalangan murid-murid. Antara program yang terhasil ialah Suluhkan Sinar iaitu program di bawah Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) di mana agensi-agensi kerajaan dan swasta turut dilibatkan dalam program sekolah khusus untuk memberi khidmat bantu dan bimbingan mengikut kepakaran masing-masing.

“Kes salah laku disiplin murid ditangani secara berfokus dan berperingkat. Murid-murid yang tidak dapat ditangani melalui sesi kaunseling individu dan berkelompok akan diserapkan di dalam Kem Suluhkan Sinar. Jika murid-murid masih tidak menunjukkan perubahan disiplin diri yang positif, mereka akan diserap masuk ke dalam program Cabaran Suluhkan Sinar (The Good Behavior Game)” jelasnya lagi.

Encik Raisin Saidin menyampaikan Sijil Penghargaan kepada Encik Mohd Nizam sambil diperhatikan oleh Ustaz Syahir dan Encik Azryn

Program ini telah dibiayai secara konsisten oleh agensi kerajaan dan swasta sejak tahun 2016 sehingga kini. Penganjuran sulungnya pada tahun 2016 telah dibiayai sepenuhnya oleh Isar Group.

Seterusnya program ini turut mendapat sokongan daripada Pejabat Ahli Parlimen Labuan dan agensi-agensi kerajaan di Labuan seperti Perbadanan Labuan, Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), PEMADAM, Jabatan Kesihatan, Jabatan Pertanian, Jabatan Kebajikan Masyarakat, Pusat Koreksional, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Belia dan Sukan, Jabatan Pengangkutan Jalan dan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI).

Turut memberi sokongan dan bantuan ialah tentera udara dan darat yang berpangkalan di Labuan, Education Performance and Delivery Unit (PADU), Koperasi SMK Mutiara Berhad dan PIBG SMK Mutiara.

Pelibatan pelajar-pelajar UMS KAL, Labuan Combat Gym dan Majlis Perwakilan Kanak-Kanak (MPKK) adalah sebagai nilai tambah bagi memantapkan program ini.

“Klinik Psikiatri Jabatan Kesihatan turut mengguna pakai data murid-murid berisiko di bawah kawalan Unit Bimbingan dan Kaunseling, SMK Mutiara sebagai data sokongan dalam mengenal pasti murid-murid yang perlu dibantu. Mereka yang diserap masuk ke dalam program Cabaran Suluhkan Sinar telah dibimbing oleh tiga orang doktor psikiatri dan Majlis Perwakilan Pelajar UMS KAL. Pegawai-pegawai Jabatan Belia dan Sukan pula bertindak sebagai pemudah cara” ujar Encik Hisham lagi.

Keupayaan SMK Mutiara menggembleng tenaga dan sumber-sumber tempatan dalam menangani kes-kes salah laku disiplin di sekolah telah menjadi inspirasi kepada Perbadanan Labuan untuk mengangkat program ini ke peringkat negeri.

Program ini telah dijenamakan semula sebagai TANGKIS ( Tak Aku Nak Gagal Kali Ini dan Selamanya) sesuai dengan usaha gigih pihak sekolah dan komuniti yang tidak jemu dalam menangani kes-kes salah laku disiplin dalam kalangan murid-murid di Wilayah Persekutuan Labuan.

“Setiap murid berhak mendapat peluang kedua dan semoga ada sinar yang terang menunggu di hujung terowong yang gelap” kata Encik Hisham menutup perbualan mengulas kejayaan SMK Mutiara merangkul dua anugerah peringkat kebangsaan Tahun 2019.

Berita Oleh : SMK Mutiara

image_pdfimage_print