Program Jom Hadir Ke Sekolah Berjaya Tingkat Bilangan Murid Hadir Penuh Di SK Sungai Bedaun

Puan Dg.Sarifah (tengah) bergambar bersama guru-guru dan murid-murid SK Sungai Bedaun

Program Jom Ke Sekolah merupakan salah satu program yang dilaksanakan di S.K. Sungai Bedaun yang bertujuan untuk meningkatkan bilangan murid yang hadir penuh ke sekolah setiap tahun.

Pada tahun ini, pelancaran Program Jom Ke Sekolah disempurnakan oleh Guru Besar S.K Sungai Bedaun, Puan Dg.Sarifah Bt. A.Mahmod.

Majlis dimulakan dengan perutusan Guru Besar dan selepas itu acara memotong reben bunting Jom Ke Sekolah sebagai penanda perasmi.

Program cetusan idea daripada Guru Besar, Puan Dg. Sarifah Bt.A.Mahmud ini bertujuan memberi kesedaran kepada murid tentang pentingnya hadir ke sekolah setiap hari persekolahan dan berada di dalam kelas pada setiap masa pengajaran dan pembelajaran.

Dalam ucapannya, Puan Dg. Sarifah meminta agar semua murid hadir awal ke sekolah agar dapat mengikuti Program Hening Pagi yang dilaksanakan oleh guru bertugas mingguan pada setiap hari persekolahan ketika perhimpunan pagi di dewan.

Guru Besar , Puan Dg. Sarifah (3 dari kiri) melancarkan Program Jom ke Sekolah sambil diperhatikan oleh PK Pentadbiran , Puan Noraliza (dua dari kiri), PK Hal Ehwal Murid, Puan Zubaidah (empat dari kanan) , PK Kokurikulum, Encik Mohd. Aizam (paling kiri) dan Guru Bimbingan dan Kaunseling, Puan Norsidah (paling kanan) selaku penyelaras program.

Antara intervensi yang telah dilaksanakan oleh pihak sekolah adalah murid yang hadir penuh layak mengikuti cabutan bertuah di hujung sesi persekolahan.

Pada tahun lepas, seramai 52 orang murid telah berjaya hadir penuh sepanjang sesi persekolahan 2019.

Pelbagai hadiah cabutan disediakan oleh pihak sekolah .  Antaranya ialah basikal, beg sekolah, peralatan sekolah , hamper dan sebagainya. Seramai tiga orang murid berjaya mendapat cabutan utama iaitu tiga buah basikal yang disumbangkan oleh penyumbang perseorangan.

Guru besar berharap pada tahun ini jumlah murid yang hadir penuh akan semakin meningkat dan seterusnya dapat meningkatkan kualiti pembelajaran dan pencapaian akademik murid S.K.Sungai Bedaun.

Program ini dikelolakan oleh Unit Hal Ehwal Murid S.K.Sungai Bedaun dan Unit Bimbingan & Kaunseling menjadi penyelaras program.

Berita Oleh : SK Sungai Bedaun

Puan Dg. Sarifah merasmikan Pelancaran Jom Ke Sekolah Peringkat S.K.Sungai Bedaun bagi tahun 2020

image_pdfimage_print