Empat murid SMK Mutiara sertai Orienteering Kadet Pasukan Badan Beruniform Kebangsaan 2019.

Encik Nizam ceria dan bangga dengan pencapaian anak murid SMK Mutiara

Labuan, 19 Nov – Seramai 4 murid SMK Mutiara telah terpilih menyertai program Orienteering Kadet Pasukan Badan Beruniform peringkat kebangsaan yang telah berlangsung di Labuan dari 15 hingga 18 November 2019.

Mereka yang terpilih ialah adik Muhd Amsyar Dzulqarnain Bin Amirullah (T.4) dan Mohd Afiq Zulfadhli Bin Jafar (T.4) dari pasukan Kadet Bomba dan Penyelamat, adik Nor Faiqah (T.4) dari Kadet Remaja Sekolah (KRS), adik Mohammed Affizie Bin Sawang @ Rizal (T.3) dari Kadet Jabatan Pengangkutan Jalan (Kadet JPJ).

Program anjuran Bahagian Kokurikulum dan Kesenian (BKK), KPM ini telah dikelolakan sepenuhnya oleh Jabatan Pendidikan W. P. Labuan melibatkan semua negeri seluruh Malaysia, walau bagaimanapun Terengganu dan Pulau Pinang tidak dpt menghantar peserta ke program ini.

Lokasi utama pelaksanaan program meliputi seluruh Pulau Labuan dan Pulau Papan. Para peserta telah mengikuti pelbagai aktiviti menarik sepanjang program ini.

Antara aktiviti menarik ialah pertandingan menumpah ambuyat dan membungkus kelupis yang dilaksanakan dengan kerjasama penduduk kampung Sungai Bedaun. Selain itu para peserta turut berpeluang menerokai keindahan pulau Labuan berjalan kaki melalui Chimney Trail yang penuh warisan sejarah dan berkayak merentasi selat ke Pulau Papan.

Adik Amsyar mewakili pasukan Labuan menerima anugerah johan pertandingan ikatan dan simpulan tali.

Ketua Penolong Pengarah Kanan, yang hadir sebagai wakil rasmi Pengarah BKK, Tuan Haji Mohd Rashid Mean menyifatkan program orienteering ini telah berjaya memberi pengalaman di luar bilik darjah sebagai pelengkap kepada kandungan pembelajaran di dalam bilik darjah.

Acara perasmian penutupan berlangsung di Pusat Kokurikulum telah disempurnakan oleh Pengarah Pendidikan W.P. Labuan, Encik Raisin bin Saidin.

Pasukan Kadet Beruniform W.P. Labuan telah dinobatkan sebagai juara keseluruhan dengan menjuarai 3 kategori aktiviti berbentuk pertandingan antara negeri. Pasukan W.P. Labuan telah berjaya menjadi johan dalam pertandingan ikatan seraya dan serong, simpulan tali temali dan video pendek 1 minit.

Pasukan Selangor pula mendapat tempat kedua keseluruhan manakala Pasukan Johor di tempat ketiga.

Pengetua SMK Mutiara, Encik Mohd Nizam bin Yasim yang berkesempatan hadir di dalam majlis penutupan mengucapkan tahniah kepada semua murid yang berjaya mengharungi cabaran orienteering ini dengan jayanya.

Beliau juga mengucapkan terima kasih kepada semua guru SMK Mutiara yang terlibat sebagai ajk pelaksana dan guru pengiring sepanjang program ini berlangsung.

Berita Oleh : SMK Mutiara

Salah satu aktiviti Orienteering Kadet Pasukan Badan Beruniform Kebangsaan 2019

image_pdfimage_print