SMK Labuan Johan Video Promosi Karnival Kelab Program Pelancongan Pelajar Kebangsaan 2019

Datuk Isham bin Ishak KSU MOTAC (7 kiri) dan En Md Firdaus Zakaria (kiri) serta tetamu jemputan bersama guru-guru dan murid-murid SMK Labuan

Labuan, 11 Nov – Video Promosi Pelancongan Malaysia telah membawa tuah kepada Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Labuan setelah dinobatkan sebagai Johan pertandingan Video Promosi sempena Karnival Kelab Program Pelancongan Pelajar (K3P) peringkat Kebangsaan yang diadakan di Melaka Raya Grand Ballroom, Hotel Novotel, Melaka pada 7-10 November lalu.

Pasukan SMK Labuan bagi acara Video Promosi yang diwakili lima pelajar Tingkatan Empat iaitu Muhammad Haziq Afdlin Roziman, Kizzer Poh Wee Shen, Nur Hazareyna Eyzanie Abd Rashid, Nurul Zakyrah Jafry dan Siti Zahara Sulaiman membawa pulang hadiah wang tunai RM1,500, medal dan sijil penghargaan.

SMK Labuan turut menyertai acara Explorace Tourism yang diwakili Dean Williams Rabain, Irlyn Nabilah Mohamed Irwansyah, Syura Sudirman, Amaneina Syahirah Abd Rahman dan Radina Hamir yang kesemuanya pelajar Tingkatan Empat.

Nama SMK Labuan terus menjadi sebutan apabila pesertanya Irlyn Nabilah Mohamed Irwansyah dinobatkan sebagai Peserta Terbaik Perempuan

Acara Video Promosi SMK Labuan dibimbing Cikgu Rafidah Md Pee manakala Cikgu Alicia Pinsom membimbing acara Explorasi Tourism.

En Md Firdaus Zakaria (4 kiri), Cikgu Rafidah (kanan) bersama pasukan Video Promosi SMK Labuan

Sementara itu, naib johan bagi acara Video Promosi disandang SMK Bukit Rangin Kuantan, Pahang dan ketiga, SMK Sultan Sulaiman, Terengganu.

Program K3P anjuran Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC) itu disertai 160 orang murid daripada 16 buah negeri termasuk Wilayah Persekutuan Labuan yang diwakili oleh SMK Labuan (10 murid dan 2 guru).

Majlis perasmian dan penyampaian hadiah disempurnakan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan, Warisan dan Budaya Malaysia (MOTAC) Datuk Isham Ishak.

Turut hadir Timbalan Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Melaka mewakili Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Malaysia Haji Jamsari Mariman dan Pengarah Jabatan Pelancongan, Warisan dan BudayaMalaysia, WP Labuan (MOTAC Labuan) Md Firdaus Zakaria.

Cikgu Rafidah Md Pee mengucapkan terima kasih atas sokongan padu Pengetua SMK Labuan Encik Ismail Abdullah sehingga membolehkan peserta acara Projek Video Promosi meraih kejayaan yang cemerlang di peringkat kebangsaan.

Peserta Terbaik Perempuan Bengkel Malam Seni Budaya : Irlyn Nabilah binti Mohamed Irwansyah

Sementara itu, Ismail berkata kemenangan manis itu merupakan penutup kegemilangan SMK Labuan pada tahun 2019.

Katanya, ia juga merupakan sumbangan kecil SMK Labuan untuk meletakkan nama Wilayah Persekutuan Labuan di persada kebangsaan supaya masyarakat luar lebih mengenali Labuan yang secara kebetulan penganjur program itu ialah Kementerian Pelancongan, Warisan dan Budaya Malaysia.

“Tahniah dan terima kasih kepada Cikgu Rafidah dan Cikgu Alicia Pinsom, Pengarah MOTAC Labuan Encik Md Firdaus, pegawai MOTAC Labuan, PIBG dan ibu bapa yang banyak membantu merealisasikan kejayaan murid-murid SMK Labuan di peringkat kebangsaan pada tahun ini,” katanya ditemui selepas menyambut kepulangan pasukan SMK Labuan di Lapangan Terbang Labuan, malam kelmarin.

Tambah Encik Ismail, kejayaan SMK Labuan itu selari dengan slogan ‘SMK Labuan Juara: Setiap Murid Bernilai’ yang membuktikan pelajar sekolah itu juga bukan sahaja mampu memberikan saingan kepada pasukan lain di peringkat kebangsaan malah mampu bergelar juara.

Turut menyambut kepulangan pasukan juara itu ialah Penolong-penolong Kanan Zalina Zunkepely (PK Pentadbiran), Marziawati Mardan (PK HEM), Cheah Teong Aik (PK Kokurikulum) dan Kitli Beka (PK Petang) serta Penolong Pengarah Sektor Pembangunan Murid Asmawi Haji Ahmad.

Sementara itu, Pengarah Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan, Encik Raisin Saidin turut mengucapkan tahniah kepada pasukan SMK Labuan di atas kejayaan yang membanggakan Labuan di peringkat kebangsaan.

Berita Oleh : SMK Labuan

Encik Ismail, Encik Asmawi dan pentadbir sekolah menyambut kepulangan wira SMK Labuan

image_pdfimage_print