Pasukan Inovasi Jabatan Pendidikan W.P. Labuan Meriahkan Pameran Inovasi SK Sangkabok

Pasukan Inovasi Jabatan Pendidikan WP Labuan

Jabatan Pendidikan W.P. Labuan telah menerima pelawaan dari SK Sangkubok, Kuala Penyu Sabah untuk menyertai pameran inovasi sempena Program Perkongsian Komuniti Profesional (PLC)  Melalui Penciptaan Alat Dan Bahan Inovatif  anjuran sekolah tersebut.

Rombongan seramai enam guru dan tiga murid dari Labuan telah diketuai oleh Puan Kamariah binti Haji Salim, Penolong Pengarah Sektor Perancangan.

Menurut Puan Kamariah, penyertaan ini adalah untuk memeriahkan aktiviti inovasi yang julung-julung kali dilaksanakan oleh sekolah berkenaan. Di samping itu, sekolah-sekolah di W. P. Labuan dapat mengeratkan jalinan dan jaringan dengan sekolah-sekolah di Sabah yang sememangnya telah sedia terjalin.

“Melalui platform sebegini, guru-guru dan murid dapat bertukar-tukar idea inovasi dan mengeratkan hubungan profesional secara lebih efektif. Ia merupakan landasan bagi pembudayaan inovasi di peringkat sekolah.” Puan Kamariah

SMK Mutiara telah menghantar sepasukan pempamer terdiri dari 3 murid dan seorang guru pengiring. Mereka mempamerkan hasil inovasi bertajuk PERJANJIAN HUDAIBIYAH. Inovasi ini telah dihasilkan oleh Panitia Sejarah SMK Mutiara yang diketuai oleh Puan Nurul Sulreza Aida binti Zulkifli berbentuk nyanyian dengan lirik lagu berkaitan kisah perjanjian Hudaibiyah.

Para pelajar SMK Mutiara sedang menerangkan invovasi sejarah kepada para pengunjung

Inovasi ini turut tampil dengan Kata Kunci bagi memudahkan murid-murid mengingati fakta-fakta sejarah perjanjian tersebut.

Menurut Adik Amsyar yang merupakan penyanyi dalam inovasi ini, beliau menyifatkan kaedah menyanyi dengan menggunakan irama lagu kesukaan remaja dapat menarik minat murid kepada isi kandungan mata pelajaran Sejarah. Selain Sejarah, inovasi ini juga sesuai untuk mata pelajaran Pendidikan Islam.

Turut serta membuat pameran ialah dua wakil SK Pantai iaitu Ustaz Shahnon bin Othman dengan inovasi bertajuk Kit Doa Qunut dan Cikgu Norhidayah binti Omar dengan inovasi bertajuk My Magical Tree Teaching Strategy : Adjective Spinner & Fish Your Catch.

Ustaz Syahnon Bin Othman sedang menerangkan kit doa Qunut kepada pengunjung.

Selain itu, dua guru dari SKK Sk St. Anne tidak ketinggalan mempertaruhkan inovasi bertajuk Reugo 2.0 dan Little Star. Inovasi ini telah dihasilkan masing-masing oleh cikgu Noorshiela Aida binti Abdullah dan cikgu Hamidah binti Abdullah.

Pameran inovasi ini telah dirasmikan oleh Tuan Haji Muhid Bin Hj Misrin, Pegawai Pendidikan Daerah Kuala Penyu.  Dalam ucapannya, beliau mengucapkan terima kasih kepada Jabatan Pendidikan W. P. Labuan kerana telah bersungguh-sungguh memenuhi jemputan SK Sangkubok. Hal ini menunjukkan kerjasama antara agensi dapat dijalinkan melalui pelbagai cara termasuk perkongsian inovasi. Beliau berharap agar kerjasama sebegini dapat ditingkatkan pada masa-masa akan datang.

“Warga pendidik  perlu sentiasa kreatif dan inovatif dalam menghasilkan banyak inovasi berimpak tinggi dan bermanfaat kepada murid, sekolah serta dunia pendidikan”. Tuan Haji Muhid

Sementara itu, Guru Besar SK Sangkabok, Cikgu Fadliezan Bin Tingan mengucapkan terima kasih kepada PPD Kuala Penyu, semua pempamer bahan inovasi khususnya daripada JPN Labuan dan ibu bapa atas kesudian hadir dalam program ini.

“Di sebalik kemenjadian murid, warga pendidik memainkan peranan penting dalam menarik minat murid dalam bidang inovasi. Kualiti murid dilihat melalui hasil keberkesanan proses persekolahan secara holistik. Tahniah kepada SMK Mutiara dan SMK Pekan Menumbuk yang berjaya menampilkan murid sebagai  innovator.” Beliau turut menyampaikan sijil-sijil penghargaan kepada pempamer-pempamer inovasi yang telah menyertai program kali ini. Cikgu Fadliezan, Guru Besar SK Sangkabok

Berita Oleh : Encik Mohd Nizam Yasim, Pengetua SMK Mutiara

Puan Nurul Hidayah binti Omar menerangkan mengenai “My Magical Tree Teaching Strategy : Adjective Spinner & Fish Your Catch” kepada murid SK Sangkabok.
Tuan Haji Muhid Bin Hj Misrin (kanan di barisan hadapan), Cikgu Fadliezan Bin Tingan (tengah), Puan Kamariah Binti Salim (kiri) bergambar bersama innovator Labuan.

image_pdfimage_print