Pertandingan Inovasi Sejarah Menengah Atas 2019 Peringkat W.P Labuan : SMK Mutiara Rangkul 3 Anugerah

SMK Mutiara telah merangkul anugerah pingat Perak dalam Pertandingan Inovasi PAK 21 Sejarah Menengah

Labuan, 15 Okt – SMK Mutiara telah merangkul anugerah pingat Perak dalam Pertandingan Inovasi PAK 21 Sejarah Menengah Atas Peringkat Wilayah Persekutuan Labuan yang telah diadakan pada 10 Oktober 2019 (Khamis) bertempat di Dewan Samudera, Sekolah Menengah Sains Labuan.

Pertandingan ini dianjurkan oleh Sektor Pembelajaran, Jabatan Pendidikan W.P Labuan dengan kerjasama Pasukan Task Force Sejarah yang dianggotai oleh guru-guru Sejarah Menengah Atas di W.P Labuan.

Tujuan inovasi ini dibuat bagi membantu menarik minat murid dan juga mengingat fakta sejarah dengan mudah khususnya kepada murid-murid yang akan menduduki SPM bermula November ini.

Pertandingan yang dianjurkan secara tahunan ini memerlukan setiap sekolah menghantar seramai lima orang peserta dan juga 10 orang penyokong daripada setiap sekolah yang terdiri daripada murid tingkatan 4 dan 5.

SMK Mutiara telah menghantar lima orang murid tingkatan 4 iaitu Darryiel Karllen (4 HBS), Mohd Afiq Zulfadhli dan Muhd Amsyar Dzulkarnain (4 CST), Venus Mina dan Nur Izzah Faiqah (4 BGV).

Guru Pembimbing dan Murid SMK Mutiara Johan bagi kategori Best Station Gallery Walk

Menurut Nurul Sulresza Aida selaku Ketua Panitia (KP) Sejarah, murid-murid telah menghasilkan beberapa inovasi dalam mata pelajaran Sejarah iaitu lirik lagu berdasarkan peristiwa sejarah, idea kata kunci bergambar dan juga Jadual Mudah Belajar bertajuk Perjanjian Hudaibiyah.

Usaha untuk menyertai pertandingan ini mengambil masa seminggu untuk disiapkan. Murid-murid telah dibantu oleh guru-guru Sejarah yang lain iaitu Cikgu Ihya Fatimah Rangkuti Ishak, Cikgu Nurul Shazwani Samad dan Cikgu Noor Hidayah Binti Ramli.

Selain mendapat pingat Perak dalam kategori inovasi , SMK Mutiara turut mendapat tempat ketiga keseluruhan dalam Pertandingan Inovasi PAK21 Mata Pelajaran Sejarah dan mendapat Johan bagi kategori Best Station Gallery Walk.

Bagi kategori Best Station Gallery Walk, pemenang diadili menerusi undian ramai oleh murid-murid yang menjadi penyokong bagi setiap sekolah. Juri-juri pula merupakan wakil guru sejarah daripada setiap sekolah.

Berita Oleh : SMK Mutiara

image_pdfimage_print