Lawatan SK Parit Jawa, Muar Ke SK Sungai Bedaun : Perkongsian Amalan Terbaik Program Transformasi Sekolah

Puan Dg. Sarifah (duduk, tengah), Puan Fakariah (duduk lima dari kiri), Puan Rina Farrina (duduk, lima dari kanan) mengabdikan gambar kenangan bersama ahli rombongan SK Parit Jawa, Muar Johor

Labuan, 15 Okt – Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Bedaun menerima kunjungan muhibbah seramai 9 orang guru dan 17 orang murid daripada SK Parit Jawa, Muar Johor pada 10 Oktober lalu.

Guru Besar SK Sungai Bedaun (SKSB)  Puan Dg Sarifah Binti A. Mahmod,  berkata, fokus lawatan penanda arasan ini ialah Program Sekolah Transformasi (TS) serta berkongsi amalan terbaik dalam pelaksanaan program TS kedua-dua buah sekolah. SKSB merupakan sekolah transformasi kohort 2 manakala SK Parit Jawa,Muar pula kohort 3.0.

“Kita berharap agar perkongsian dalam siri lawatan ini memberi makna kepada kedua-dua sekolah dalam usaha untuk memantapkan kepimpinan sekolah, memaksimumkan potensi guru dan murid menerusi peningkatan kualiti pengajaran dan pembelajaran.” Katanya ketika ditemui.

Menurutnya lagi, melalui perkongsian amalan terbaik yang dilaksanakan di kedua-dua buah sekolah ini,  guru-guru berpeluang untuk mengetengahkan hasil inovasi masing-masing bagi mengukuhkan pengajaran dan pemudahcara (PdPc) dalam kelas, dapat mengenal pasti kekuatan sumber, anggota organisasi yang sedia ada serta bertukar-tukar idea dalam usaha meningkatkan pencapaian kurikulum, ko kurikulum, peningkatan sahsiah dan pengurusan ke arah membangunkan persekitaran pembelajaran yang berkesan dengan mengutamakan kemenjadian murid.

Program Transformasi Sekolah 2025 (TS25) merupakan sebahagian daripada usaha Kementerian Pendidikan Malaysia ke arah melahirkan modal insan unggul melalui  persekitaran pembelajaran yang menyeronokkan, disokong dengan kepimpinan yang berkualiti serta guru yang kompeten dan beraspirasi tinggi.

Persembahan Bicara Berirama membuat persembahan sempena mengalu-alukan kedatangan mbongan daripada SK Parit Jawa.

Rombongan ini diiringi oleh Puan Siti Zaharah Binti Mohamad, pegawai SISC+ yang merupakan rakan elit TS25 SKSB dari JPN Labuan dan Puan Arni  Samiraty Bt Abdol Samat, Pegawai Penyelaras STEM.

Ketibaan rombongan yang diketuai oleh Puan Fakariah Binti Ismail, Penolong Kanan Pentadbiran telah disambut dengan persembahan kulintangan  daripada murid-murid tahun 3 hingga tahun 6. Kumpulan kulintangan ini telah dilatih oleh ibubapa yang merupakan anggota Penggerak Ibu Bapa dan Komuniti (PIBK).

Rombongan juga turut melihat persembahan bicara berirama oleh murid-murid tahun 4 hingga 6 dibawah bimbingan guru-guru Panitia Bahasa Melayu.

Siri lawatan SK Parit Jawa ke SKSB dimulai dengan lawatan ke tiga buah kelas Pra sekolah iaitu Kelas Pra Baiduri, Pra Delima dan Pra Mutiara.

Seterusnya melawat Galeri Permata iaitu tempat menyimpan pelbagai khazanah berharga seperti piala kemenangan, hadiah, keratan akhbar mengenai aktiviti dan pencapaian sekolah serta  sejarah sekolah.

Puan Dg. Sarifah (kiri), Puan Fakariah (dua dari kiri), Puan Siti Zaharah (tengah), Puan Rina Farrina (dua dai kanan), Puan Arni Samiraty (kanan) bergambar di Galeri Permata.

Musalla Al Kauthar destinasi lawatan seterusnya, di mana musalla ini telah dipilih mewakili Wilayah Persekutuan Labuan kategori sekolah rendah dalam Anugerah Surau Imarah Sekolah-sekolah (ASIS) yang lalu. Persekitaran musalla yang bersih dan ceria ini berjaya mewujudkan suasana  pembelajaran yang menyeronokkan sekali gus meningkatkan kemenjadian murid dan sekolah berkualiti.

Turut menjadi tarikan di SKSB ialah Sudut STEM iaitu Program Sains, Matematik, Kejuruteraan dan Teknologi (STEM). Pelbagai hasil kerja murid dan info berkaitan STEM dipamerkan. SKSB telah dipilih untuk menjadi sekolah rintis Pendidikan STEM peringkat Wilayah Persekutuan Labuan.

Ahli rombongan berkesempatan melihat pameran bahan inovasi yang dihasilkan oleh guru-guru SKSB. Antaranya ialah Huruf Cun Cda oleh Cikgu Rasyidah Awang Sah, , ‘My Town Map’ oleh Panitia Bahasa Inggeris, ‘S.Train’ oleh cikgu Mylsa Avinnie Musah, Mari Mengenal Malaikat oleh Ustazah Anfal Amir dan KKHPS  oleh cikgu Syukri Masri. Mereka begitu teruja dan saling bertanya mengenai inovasi yang dihasilkan oleh guru-guru.

Puan Nor Aliza menerangkan mengenai ‘My Town Map’ kepada guru-guru
SK Parit Jawa yang dihasilkan oleh Panitia Bahasa Inggeris.

Dalam sesi lawatan tersebut, turut disampaikan taklimat mengenai Perkongsian Pelaksanaan Program Transformasi Sekolah (TS) dan kejayaan sekolah sepanjang tahun 2018 hingga Oktober 2019. Taklimat tersebut disampaikan oleh Puan Rina Farina binti Dakim, Penolong Kanan Pentadbiran.

Majlis menandatangai memorandum Persefahaman Kolaboratif Startegik di antara kedua-dua SKSB dan SK Parit Jawa turut diadakan di akhir sesi lawatan.  

Puan Dg. Sarifah (duduk, kanan), Puan Fakariah (duduk, kiri) menandatangani memorandum Persefahaman Kolaboratif Startegik Amalan Terbaik Program Transformasi sambil disaksikan Puan Siti Zaharah (berdiri, lapan dari kanan), Puan Arni Samiraty (berdiri, lapan dari kiri), serta guru-guru SKSB dan SK Parit Jawa.

Semoga dengan adanya jalinan ini kedua-dua pihak akan saling berkongsi ilmu dan bertukar pandangan ke arah pemantapan Pengurusan Sekolah dan Pelaksanaan Program TS25 di tempat masing-masing.

Berita Oleh SK Sungai Bedaun

Ahli rombongan sempat meluangkan masa bergambar bersama murid-murid Pra sekolah.

image_pdfimage_print