Program Bacaan Yasin dan Solat Hajat SMK Taman Perumahan Bedaun

Tazkirah ringkas dan ucapan wakil guru Cikgu Azzif

Labuan – Unit Pendidikan Islam, SMK Taman Perumahan Bedaun WP Labuan telah mengambil usaha dan inisiatif untuk mengadakan Majlis Bacaan Yasin dan Solat Hajat untuk calon-calon Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3), Pentaksiran PAV dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) peringkat sekolah bagi tahun 2019.

Aturcara rasmi majlis ini bermula sewal jam 5.30 petang dengan kehadiran guru-guru serta ibu bapa ke Surau Ar-Rayyan, Taman Mutiara Labuan. Seramai 150 jemaah yang hadir terdiri daripada calon-calon PT3, PAV dan SPM, ibu bapa dan juga penduduk kariah Taman Mutiara.

Majlis Bacaan Yasin dan Solat Hajat ini secara rasmi dimulakan dengan Solat Maghrib secara berjemaah dan bacaan Surah Yaasin yang dipimpin oleh Ustaz Mohd Daud Bin Abdul Rahman.

Selepas bacaan surah Yaasin, hadirin menunaikan solat hajat secara berjemaah kemudian diikuti solat Isyak serta bacaan doa khusus untuk kecemerlangan calon-calon PT3 dan SPM tahun 2019 yang dipimpin oleh Ustaz Mohd Azman Bin Abdul Rahim.

Selesai sahaja solat Isyak dan solat Hajat, majlis diteruskan dengan tazkirah ringkas oleh Cikgu Azzif Anuwar mewakili guru SMKTPB merangkap Guru Kelas Tingkatan 5 Gamma untuk calon-calon PT3, PAV dan SPM.

Dalam tazkirahnya, Cikgu Azzif mengingatkan agar calon-calon PT3, PAV dan SPM untuk sentiasa berdoa kepada ALLAH bagi memohon pertolongan dan pada masa yang sama menggandakan usaha selagi mampu kerana Tuhan akan memberikan yang terbaik bagi hamba-hamba-Nya yang sentiasa berusaha dan tidak mengenal erti putus asa.

Di akhir majlis, sekolah juga berbesar hati memberikan cenderahati kenangan kepada Pengerusi Jawatankuasa Surau ar-Rayyan, Hj Alauddin Bin Masri kerana memberi keizinan kepada sekolah melaksanakan majlis bacaan Yasin dan solat Hajat di Surau ar-Rayyan.

Penyampaian cenderahati ini disampaikan oleh Penolong Kanan Pentadbiran, En. Ag. Rozlan Bin Manan. Sebelum bersurai, jamuan makanan disediakan kepada semua jemputan, guru dan ibu bapa dan pelajar yang hadir.

Berita Oleh : SMK Taman Perumahan Bedaun

Penyampaian Cenderahati oleh Cikgu Awang Rozlan kepada Tn Hj Alauddin

image_pdfimage_print